BEN ASHAARI

Monday, May 29, 2017

RESIPI AGAR-AGAR CENDOL

rsz_aac
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat curi2 masa kemas kini entri di blog. Bila bulan puasa, menu yang dimasak tak jauh beza dengan hari2 biasa. Dan kalau dapat masa berpuasa ni elakkan masak berlebihan sehingga tak habis. Begitu juga bila membeli di bazar Ramadan. Kadang2 mata kita ni nampak semua nak, semua sedap. Bila dah buka puasa, kau tonggak air, terus macam dah kenyang separuh. Lepas tu tengok benda2 yang beli kat bazar tadi macam tak bernafsu dah. Satu lagi cabaran bulan puasa ni ialah, bila kita yang berpuasa tapi kena masak, bab ni kadang2 che mat stress juga tapi dah tanggungjawab kita, tu pasal sekarang ni masak yang mudah2 saja. Sejak Bak takde, che mat sendiri agak kurang mood nak memasak. Tapi kehidupan ini bukan satu perjalanan yang boleh kita lalui mengikut perasaan semata2, kena berpijak di bumi yang nyata, betul tak...

rsz_aac1
Bercerita pasal Agar2 cendol, ini antara menu berbuka semalam. Yang ni che mat bikin pagi, dalam jam 10 macam tu. Resipi tak susah dan in sya Allah semua orang boleh buat. Agar2 cendol paling nyaman dimakan bila sejuk. Yang ni memang menjadi hidangan feberet dibulan puasa. Kalau suka boleh bekukan dalam bekas2 kecil, tapi kita malas wakk, buat ajer dalam loyang 8 inci x 8 inci. Oh yea, jika bekukan dalam bekas bercorak (maksudnya bila agar2 dikeluarkan dari acuan, bahagian bawahnya akan bercorak), pastikan kita bekukan bahagian putih dahulu (bahagian cendol), kemudian baru bekukan bahagian gula merah. Macam che mat bikin dalam loyang, jadi bekukan yang gula merah dulu, kendian baru tuang yang putih...Boleh faham kan....alhamdulillah...Mari kita semak resipi dan jangan lupa mencuba nanti...

BAHAN-BAHAN A (LAPISAN GULA MERAH) :-)
120 gram gula melaka, potong kecil
380 ml air
5 gram agar2 serbuk
130 ml santan
1 helai daun pandan, disimpul

BAHAN-BAHAN B (LAPISAN CENDOL) :-)
380 ml air
5 gram agar2 serbuk
50 gram gula pasir
130 ml santan
1/2 camca besar tepung jagung
1 cawan isi cendol, ditoskan
1 helai daun pandan, disimpul
Secubit garam

page

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK LAPISAN BAWAH :- Sediakan loyang 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 1 inci. Letakkan loyang tadi dalam bekas yang lebih besar (seperti dalam gambar 1). Satukan semua bahan2, kecuali santan, ke dalam periuk. Masak hingga agar2 dan gula larut. Tuang santan, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan tapis, tuang ke dalam loyang tadi.
  2. Untuk mempercepatkan agar2 beku, che mat tuang air dalam bekas yang ada loyang agar2 dan masukkan beberapa ketul ais kiub. Sementara kita siapkan adunan bahagian atas, agar2 pun dah beku.
  3. UNTUK LAPISAN ATAS :- Dalam periuk, satukan semua bahan2 B kecuali santan, tepung jagung dan cendol. Kacau rata dan masak hingga gula dan agar2 larut. Sementara itu satukan santan dan tepung jagung, kacau rata. Masukkan bancuhan santan tadi ke dalam periuk, perlahankan api dan kacau rata, masak hingga mendidih. Matikan api dan tapis, biarkan sekejap dan masukkan cendol, kacau rata (seperti dalam gambar 2).
  4. UNTUK AGAR2 CENDOL :- Keluarkan loyang berisi agar2 yang telah keras. Kemudian cakar2 permukaannya dengan garfu (seperti gambar 3). Perlahan2 tuang bancuhan agar2 cendol atasnya. Biarkan hingga hilang wap panas dan simpan dalam peti sejuk hingga keras. Potong dan boleh hidangkan untuk berbuka puasa.
CATATAN MAT GEBU :- Jika guna santan kotak saiz kecil (200ml), tambah sedikit air untuk mendapat ukuran 260 ml, kemudian dibahagikan dua bahagian (130 ml setiap satu bahagian). Tujuan agar2 lapisan bawah dicakar dengan garfu, ialah untuk memastikan ia melekat dengan adunan cendol bila agar2 beku nanti...Selamat mencuba!


No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.