BEN ASHAARI

Monday, March 20, 2017

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

rsz_tempoyak1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi yang begitu klasik, errrr...sebelum2 ni pun dah banyak kali juga dah dijadikan entri blog. Takpe, lagi banyak, lagi meriah yea dak, walaupun ulang tayang. Sambal tempoyak daun kayu salah satu makanan tradisi orang2 Negeri Sembilan. Begitu klasik dan ini antara identiti mereka. Ada juga yang hairan bila tau che mat ada sedara mara di Rembau dan Labu. Arwah datok, orang Labu (Suku Biduanda) dan arwah uwan pulak dari Rembau (Suku Tiga Nenek). Dan mak che mat anak orang peranakan cina yang dijadikan anak angkat mereka (arwah datok dan uwan). Berkemungkinan besar, arwah uwan (arwah uwan ni dulu bidan) sambut mak che mat masa dilahirkan dulu dan diberi amanah untuk menjaganya. Masa kecik2 dulu, mak che mat pernah dibawa balik ke Rembau untuk satu jangka masa yang agak lama. Kemudian dibawa kembali ke Sedenak. Itu sebabnya kami biasa dengan masakan2 orang nismilan. Kata orang, 'akar umbi' jangan dilupa...

tempoyak
Bercerita pasal sambal tempoyak daun kayu. che mat guna hanya beberapa jenis yang ada sekitar rumah. Tapi semua daun atau ulam2 yang 'penting' seperti dalam gambar tu ada 1- Pucuk ubi, 2- Daun kadok, 3- Pucuk labu, 4- Daun kunyit dan 5- Petai. Semua ulam-ulaman tadi, kecuali petai, perlu dimayang halus seperti kita bikin bunga rampai. Che mat guna santan segar yang diperah dari 2 biji kelapa parut, anggaran santan dalam 1+ liter. Biasanya masakan ini lebih sedap setelah disimpan sehari. Kalau tak habis, biasanya kami bekukan dalam freezer. Oh yea, di IG che mat @matgebu , ada videonya, kalau nak tengok boleh ke klik sini... Resipi seperi berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 helai daun kunyit, pilih yang lembut
25 helai daun kadok
5 - 6 tangkai pucuk labu
5 papan petai, ambil isinya
1+ liter santan pekat, dari 2 biji kelapa parut
1 cawan tempoyak
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung (che mat campur yang merah dan hijau)
2 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Pucuk labu digentel dengan tapak tangan, tujuan untuk membuang bulu2 halusnya. Daun kunyit dibuang tulang tengahnya. Petai diambil isinya. Kesemua ulam2 daun (pucuk ubi, pucuk labu, daun kadok dan daun kunyit) dimayang halus seperti bunga rampai. Kemudian cuci dan toskan dalam tapis. Biar hingga kering. Isi petai dihiris nipis. Ikan bilis ditumbuk sedikit (jika guna ikan bilis saiz kecil, tak perlu tumbuk). Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama tempoyak dan pati santan. Kacau rata dan hidupkan api. Biar hingga mendidih dan pekat sedikit, guna api sederhana dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan daun2 yang telah dimayang tadi, petai dan ikan bilis. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, jika perlu. Masak sekejap lagi hingga petai empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

2 comments:

Juls Julie80 said...

Selalu jugak buat menu ni sbb plg senang campak2 jer..

Ni kiranya cmg ni have a lotsss of mixx la ni ekkkk😝😝

Mas Zull said...

assalamualaikum cik mat..buat berbuka puasa sedap ni...:)

** Mama Maszull

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.