BEN ASHAARI

Wednesday, September 21, 2016

RESIPI AYAM SEMUR PONTIANAK

rsz_asp
Assalammualaikum, salam Rabu. Lama juga dah tak kemas kini blog. Salah satu sebabnya, che mat masak benda2 yang simple dan dah berulang kali juga dijadikan entri blog. Bonda che mat kurang sehat seminggu dua ni, dia demam, batuk dan selsema, tapi sudah beransur pulih. Itu pun salah satu sebab kenapa che mat tak masak sangat. Makan kena jaga tak boleh yang berminyak dan bergoreng. Tapi hari ni nak langgar pantang sikit, kita masak ayam semur pontianak....errr, seram ke bila dengar nama pontianak. Toksah risau, pontianak yang ini bukan akak baju putih rambut panjang yang suka nyanyi atas pokok tu, tapi ni Pontianak, salah satu daerah di Kalimantan, Indonesia. Kiranya ini resipi Indon...

rsz_asp1
Respi aslinya menggunakan daging dan jika anda nak guna daging apa salahnya. Che mat gantikan dengan ayam sebab ada yang tak boleh makan daging. Resipi ini macam masak kicap berempah tapi ada sedikit penambahan dalam penggunaan bahan2nya seperti buah keras dan biji pala. Jika suka pedas anda boleh masukkan cili padi. Menu macam ini enak dimakan bersama nasi panas dan boleh juga dihidangkan dengan ketupat. Nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram ayam. dipotong ikut suka, cuci dan toskan*
3/4 camca besar serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*digaul rata dan perap 20 minit)
3 biji bawang putih, hiris
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau,hiris serong memanjang
1 camca besar jus asam jawa
2 biji tomato saiz sederhana, sebiji didadu kecil, sebiji lagi di belah 6
2 camca besar kicap pekat
4 camca besar kicap lemak manis
Garam jika perlu
1 cawan air

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
3/4 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah keras, dihiris
1/2 biji pala, ditumbuk kasar
1 inci kayu manis, dipecah2kan
1 camca teh lada putih biji
1 kuntum bunga lawang, ditumbuk kasar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng 1/2 masak, angkat dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Kemudian masukkan dalam pengisar kering dan kisar hingga bahan2 rempah halus dan menjadi serbuk. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan tomato yang didadu kecil dan masak hingga tomato layu. Tambah rempah kisar tadi dan kacau rata, masak sekejap dan tuang air.
  3. Masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan jus asam jawa, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, gaul rata dan masak dengan api kecil untuk 5 - 6 minit. Tambah bawang besar, cili merah dan cili hijau, kacau.
  4. Rasa dan jika perlu baru masukkan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan baki tomato yang dibelah 6 tadi, kacau dan masak sekejap. Boleh matikan api dan hidangkan sama nasi panas. Selamat mencuba!
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda guna daging, sukatannya lebih kurang 500 gram tapi nak lebih pun boleh. Rebus dulu daging tadi dengan hirisan halia dan bawang putih hingga daging empuk, kendian baru dimasak semur. Gantikan air dalam resipi di atas dengan air rebusan daging...

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.