BEN ASHAARI

Wednesday, September 9, 2015

SUP KAKI AYAM BEREMPAH..

rsz_sop_ceker
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Musim jerebu melanda Malaysia, kampung che mat tak nampak mata hari, jam 12 dah macam jam 8 pagi, masa tengah tulis entri ni, hujan turun, syukur alhamdulillah, sejuk sikit. Hari ni che mat bikin sup kaki ayam. Bonda adalah penggemar sup kaki. Che mat agak kurang sikit sup kaki ayam ni, tapi bukan tak makan, cuma kurang 'aktif'. Dari sumber2 internet, banyak diperkatakan khasiat kaki ayam ni, antaranya dapat mencegah penyakit tulang reput dan satu lagi kandungan kologen dalam kaki ayam yang banyak manfaatnya. Resipi che mat agak mudah dibuat, kalau tak makan kaki ayam, boleh guna ayam. Sedap makan bersama roti, atau boleh makan dengan mi hoon, mi kuning atau makaroni. Kuah sup akan menjadi pekat bila kaki ayam betul2 empuk. Hirup macam tu pun besss....Jangan lupa sambal kicap, baru lah Johor....ehemm..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg kaki ayam
2 batang serai, diketuk
3 camca besar rata rempah sup
1 camca besar rata rempah kurma
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
5 biji kentang
1 genggam bawang goreng
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN SAMPINGAN :-)
Bawang goreng
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kaki ayam dibersihkan, buang bahagian kukunya. Gaul kaki ayam dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata dan perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Kentang dikupas, kemudian belah 4 setiap 1, cuci dan rendam. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah sup dan rempah kurma hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 - 5 camca besar). Tumis serai, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih hingga harum. Masukkan pes rempah dan kacau rata, masak sekejap.
  3. Masukkan kaki ayam tadi, gaul rata dan tuang air secukupnya (anggaran 3 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan kiub pati ayam, daun sup yang dikerat kasar dan 1 genggam bawang goreng. Kacau rata dan biar menididih perlahan.
  4. Masukkan kentang (toskan), dan masak hingga kaki ayam lembut dan kentang empuk. Perasakan dengan garam secukup rasa dan tambah lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng sebelum dihidangkan bersama sambal kicap..


4 comments:

Lisa Nurulain said...

alaahaii sedapnya time ujan macam iniiii

yanie yusuf said...

yeahh hari ni nk makan sup lah sedappnya tgk..


yanieyusuf

JunAina said...

Lama tak mengomen kat sini cuma nak habaq sup tu pekena dengan bihun pun sedapp sejuk2 ni CMG.

TunSha Ayunie said...

Demam2 sejuk2... layannye lah sup kaki ayam ni... bagi semangkuk penuh pun layan je kaki ayam tu....

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.