BEN ASHAARI

Sunday, August 30, 2015

LAKSA JOHOR, SENTIASA DI HATI

rsz_j_laksa

Assalammualaikum, salam semua. Entri yang sepatutnya che mat masukkan dalam blog semalam, tapi atas sebab kesibukkan yang tidak dapat dielakkan, ia terpaksa ditunda pada hari ni. Dan hari ini juga che mat menerima tetamu, maka malam baru ada masa nak masukkan entri Laksa Johor. Bukanlah satu yang baru bila che mat masukkan entri Laksa Johor. Ia satu menu orang Johor yang begitu sinonim dan menjadi kebanggan kami bangsa Johor. Walaupun ia diberi nama 'Laksa', tapi kita tidak menggunakan mi laksa sebagai 'mi nya', sebaliknya diganti dengan spaghetti. Tetapi kuahnya menggunakan rempah ratus dan herba2 yang selalu digunapakai dalam masakan orang2 melayu kita. Laksa Johor boleh dikategorikan resipi fusion kerana ada penggabungan antara timur dan barat. Cara memakan laksa Johor yang asli di negeri Johor, ialah menggunakan tangan. Pelik?.....tapi itulah kenyataannya...

rsz_j_laksa1
Kuah laksa Johor biasanya pekat. Seperti kuah spaghetti, ia kena pekat agar ia melekat dengan spaghetti bila digual. Bahan2 penting dalam kuah laksa Johor ialah ikan parang (boleh juga guna ikan kembong, ikan selayang/sardine atau ikan tenggiri), udang basah. udang kering dan isi ikan kurau masin selain santan. Rempah2 tu nanti anda boleh lihat dalam resipi. Keistimewaan laksa Johor ialah, spaghetti tadi di 'chap' atau digulung seperti sanggul sebelum dihidangkan. Bahan2 ulam seperti bawang, kacang panjang, bunga kantan, daun kesom dan daun selasih, dimayang halus. Timun pula dihiris nipis memanjang kemudian digulung dan dimayang halus. Nampak rumit sanngat ke?....relaks dan bertenang, che mat cuma cerita bagaimana che mat bikin...harap tak sikit banyak anda dapat gambarannya....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 kg ikan kembong, siang, cuci bersih dan toskan
400 gram udang, kupas, asingkan isi dan kulitnya
1 keping isi ikan kurau masin bersaiz 3 inci x 3 inci, buang kulitnya dan rendam
3 - 4 camca besar udang kering, cuci dan rendam
3 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan segar
2 camca besar penuh kerisik
3 camca besar cili kisar
2 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
2 camca besar penuh ketumbar serbuk
1 camca besar penuh jintan manis serbuk
1 genggam daun kesom (atau secukupnya)
1 genggam daun selasih (atau secukupnya)
3 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
3 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Spaghetti secukupnya
Tauge secukupnya, buang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, dimayang halus
Daun selasih, dimayang halus
Bunga kantan, dimayang halus
Timun, dibuang kulit, hiris memanjang nipis2, kemudian gulung dan dimayang halus
Bawang besar, dimayang halus
Sambal belacan (5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan bakar = tumbuk halus)
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Lobak asin jeruk, rendam 15 minit, toskan, perah dan didadu kecil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR:- Ikan direbus, kemudian asingkan isi dan tulangnya. Tumbuk isi ikan hingga lumat. Tulang2 ikan dikisar halus menggunakan air rebusan ikan, tapis dan ketepikan. Celur isi udang sehingga bertukar warna, toskan. Kemudian masukkan pula kulit udang dan masak dengan api sederhana untuk 10 - 15 minit. Matikan api, biar suam dan kisar kulit udang bersama air rebusannya hingga halus dan tapis. Udang kering, isi udang yang direbus dan isi ikan kurau masin juga dikisar hingga halus. Ketepikan semuanya untuk kegunaan kemudian.
  2. Satukan bawang besar dan bawang putih yang telah dikisar tadi bersama rempah kari, ketumbar serbuk dan jintan manis serbuk. Kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1 cawan). Masukkan lengkuas yang diketuk bersama cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan isi ikan yang ditumbuk, air rebusan ikan, air rebusan kulit udang, isi udang, udang kering dan isi ikan kurau yang dikisar halus tadi. Kacau rata dan biar mendidih.
  4. Masukkan santan, kerisik, bunga kantan dan asam gelugor. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan kacau sentiasa. Masak hingga kuah pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun kesom dan daun selasih. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  5. UNTUK LAKSA JOHOR:- Spaghetti direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan minyak masak. Rebus hingga spaghetti lembut. Kemudian toskan dan biar suam. Menggunakan garfu, cedok sedikit spaghetti tadi, gulungkan dan lilit menggunakan garfu sehingga menjadi bentuk seakan2 sanggul (dichap). Buat 2 - 3 sanggul (chap) untuk satu pinggan.
  6. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 sampingan. Akhir sekali sudukan sedikit (atau secukupnya) sambal belacan. Perahkan jus limau kasturi dan gaul hingga rata. Baca bismillah dan doakan makan, maka boleh lah anda nikmati Laksa Johor...Selamat mencuba!!.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk ikan, che mat rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam (mungkin kena tambah 5 - 10 minit lagi, bergantung pada jenis periuk tekanan yang anda guna dan 'BACA' arahan pada buku panduan periuk tekanan masing2 sebelum anda guna). Kemudian kisar terus ikan tadi bersama tulang dan air rebusannya. Ini kerana tulang dan isi ikan telah menjadi lembut seperti ikan sardine....


4 comments:

Ummul Azkee said...

saya pernah mkn skali tak silap...nnti n cuba buat lahh..

Sharifah Aini said...

suka sangat laksa johor ni walaupun saya pure Kelantan... sedap!-

Natrah Mohamed said...

Ok. Nak cuba. Ntah2 amik masa seharian kat dapur nanti. Hihi.. Almaklumlah, bila masak menu yang tak pernah masak, asyik belek tepon, nak pastikan ikut step. kalau laksa Kelantan, sambil pejam sebelah mata pun bleh buat. hehe.. Bahan tak banyak, blender dan campak semua dalam periuk.

Anyway, jemput singgah blog saya MamaBijakAnakSihat

humaira sany said...

nak try buat utk en husban la mcm sdp

jom singgah blog saya
humairasany.blogspot.com

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.