BEN ASHAARI

Thursday, April 23, 2015

PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_pucuk_turi_kacang_hijau

Assalammualaikum, salam Khamis.  Selamat berpuasa bagi yang berpuasa. Hari ni che mat masak satu menu yang agak unik dan orang Johor biasa masak gaya macam ni. Pucuk turi masak lemak sama kacang hijau. Pucuk turi atau belah2 utara panggil pucuk geti sedap dimasak lemak, dibikin urap dan ada juga yang masak asam (yang ni che mat tak pernah cuba). Ada yang suka disimpul seperti selalu che mat masak. Tapi kali ni kita masak seperti biasa, iaitu daun turi dilurut dari tangkainya. Ada beberapa jenis daun turi, ada yang bunga putih dan ada yang bunga bewarna ungu kemerahan. Bagi yang tak biasa makan pucuk turi, mesti tertanya2 rasa dia macam mana. Rasa pucuk turi lemak dan selalunya guna daun yang lembut saja untuk dimasak...

rsz_pucuk_turi_kacang_hijau1

Ini pertama kali che mat masak sendiri pucuk turi dicampur dengan kacang hijau. Pernah sekali dulu che mat pergi ke rumah saudara dan beliau masak dalca, disebabkan kacang dhal habis, dia ganti dengan kacang hijau. Che mat mula2 pelik, macam was2 nak cicah roti canai, lepas dia kasi tau  kacang dhal habis, ganti dengan kacang hijau, baru lah che mat berani rasa..dan serius sedap ,agak unik. Menu ini cara memasaknya mudah dan untuk rencah terpulang pada anda, samada nak guna ikan bilis atau udang kering. Jangan lupa sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin sebagai pelengkap hidangan. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk turi, asinglan dari tangkainya, cuci dan toskan
1/3 cawan kacang hijau, rebus hingga kembang
1 camca besar udang kering, rendam sekejap, toskan dan tumbuk hancur
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
1 kiub ikan bilis Maggi (optional)
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan santan cair, udang kering tumbuk, bawang besar dan bawang putih ke dalam periuk. Kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan pucuk turi dan masak hingga pucuk turi lembut, Tambah air jika perlu.
  2. Masukkan kiub ikan bilis, hancurkan (jika guna) dan kacang hijau rebus tadi. Kacau perlahan dan tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih, kacau sentiasa. Akhir sekali masukkan hirisan cili merah, dan masak sekejap. Rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng @ ikan masin..

1 comment:

hazeleyed lady said...

Alhamdulillah.
Nampak sedap.
kali terakhir saya rasa yang ibu masak adalah sekitar tahun 1972...ketika saya masih sekolah rendah. Hihi

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.