BEN ASHAARI

Friday, May 30, 2014

SAMBAL KERING...


rsz_sambal_kering
Assalammualaikum, salam Jumaat...penat...tu aje boleh kata, huhu. Hari ni che mat cuma selera nak makan sambal kering, percaya tak sampai mimpi buat sambal kering ni semalam. Kata orang, apa yang kita teragak nak makan, yang tulah sebagai pembuka selera. Semalam che mat tak masak apa pun, hari malas ke dapur. Hari ni pun kalau ikutkan macam nak isytihar hari malas ke dapur, tapi tak boleh atas sebab2 tertentu. Sambal kering ni kalau makan sama nasi panas, makk oiiii..sedap okeh. Kalau nak ratah macam tu saja pun sedap juga. Che mat memang sarankan anda buat sambal ni masa bulan puasa, dan makan masa sahur. Ada nasi, ikan goreng, kicap dan sambal kering macam ni, ok sangat...silap2 bertambah!...Yang ni che mat masukkan kentang, tapi kalau anda nak simpan lama, mungkin gunakan tempe, ikan bilis dan kentang tu anda ganti dengan kacang tanah goreng. Bukan apa bila ada kentang, takut pulak sambal cepat berkulat. Resipi memang mudah sangat, ok jomm che mat kongsikan sama anda..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit
1 keping tempe bersaiz besar (che mat guna tempe bungkus plastik)
3 biji kentang
1/2 camc teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
6 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas dan cuci, toskan. Kemudian belah dua dan hiris nipis, goreng dengan api sederhana hingga garing, angkat dan toskan. Tempe dipotong 3, hiris nipis dan goreng hingga garing, angkat dan toskan. Ikan bilis ditoskan dan perah. Kemudian goreng hingga garing, angkat dan tos. Ketepikan.
  2. Dalam alat pengisar (blender), masukkan buah keras, bawang putih dan bawang merah. Kisar hingga halus. Masukkan cili merah dan kisar hingga lumat, tak perlu sampai cili terlalu halus. Ketepikan.
  3. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Masak hingga garing dan naik minyak. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tambah garam secukup rasa. Masukkan gula (kurang lebih 2 camca besar atau secukup rasa), kacau rata dan masak sekejap.
  4. Tambah tempe goreng, kentang goreng dan ikan bilis goreng tadi. Gaul rata2 dan masak dengan api kecil hingga sambal kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan....


Wednesday, May 28, 2014

KUIH BANGKIT SANTAN....WARISAN KITA..

rsz_kueh_bangkit

Assalammualaikum, salam semua. Macam nak raya aje kan che mat...biasalah, mood raya datang awal...haha, dah2 jangan nak merepek, ingat puasa dulu.. Hari ni mood rajin datang tapi mood rajin tu bukan che mat nak bikin kuih bangkit, tapi nak buat botok2. Memandangkan ikan tenggiri takde, cuma ada ikan tongkol, che mat batalkan niat nak buat botok2 dan ditukar program membangkit pulak. Kali ni che mat cuba resipi dari blog seorang peranakan cina di sini. Dan ini percubaan, maka che mat buat 1/2 adunan dari resipi asal. Kuih bangkit satu kuih tradisi orang2 kita dan menjadi kegemaran orang2 tua, terutama mereka2 yang tak makan mentega atau majerin. Nampak mudah tapi ada kala ia menyeman, maksudnya takmo bangkit, dia dok diam saja, keras kematu macam mozek pun ada juga. Tapi resipi yang che mat cuba ni, alhamdulillah, elok, gebu, ringan, rapuh dan cair dimulut. Ini kuih kegemaran Bak sebenarnya. Bau dia pun harum satu rumah, terasa macam era zaman tok2 kita dulu kala membakar kuih sacara tradisional pulak...nostalgia...

rsz_kueh_bangkit1

Untuk resipi ini akan menghasilkan kurang lebih 100 keping kuih bangkit santan, tapi ini semua bergantung pada saiz acuan yang anda guna. Kalau guna acuan besar, maka kuranglah bilangannya, begitu juga sebaliknya. Satu lagi kalau anda suka sepit, boleh saja nak sepit, cuma bila dibakar ia akan kembang dan naik (kalau tak, bukan lah kuih bangkit namanya, yea tak?) dan corak2 tadi masih kelihatan tapi tidak ketara sangat. Contoh macam che mat buat tu guna acuan ada bentuk2 chenta, lepas bakar masih ada bentuk cuma agak kurang terserlah. Tapi kata bonda kuih bangkit che mat macam 'tampuk manggis'...yea juga kan. Nampak sweet pulak....ehemmm.....Nak buat untuk raya nanti?...Ok che mat kongsikan resipi...

rsz_kueh_bangkit4
Sebelum tu, nak tunjuk acuan yang che mat guna untuk kuih bangkit. Anda boleh beli dikedai menjual bahan2 kek atau kedai serbanika, che mat beli di Cowboy Kulai, corak depan tu anda boleh tukar2. Dan petua untuk mendapatkan hasil terapan yang cantik, anda sapu sedikit minyak pada corak2 acuan tadi sebelum anda terap adunan biskut...boleh?...mesti boleh punya kan, blog che mat resipi ciken dodol aje, very the easy one lahh...no fussy2 punya.... (^__*)\/

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung sagu ubi
200 gram tepung sagu rumbia (boleh beli dikedai menjual bahan2 kek)
3 helai daun pandan, cuci dan lap kering
175 gram gula aising, diayak
3 kuning telur gred A
100 ml pati santan (perah tanpa air @ guna santan kotak)
Sedikit santan extra, jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan tepung sagu ubi dan sagu rumbia dalam kuali, daun pandan dipotong kecil dan masukkan ke dalam kuali. Goreng dengan api kecil sambil dikacau selalu, selama 15 minit atau hingga tepung ringan dan suam. Matikan api dan biar tepung tadi sejuk. Ayak tepung ke dalam bekas. Ketepikan.
  2. Putar gula aising dan kuning telur hingga berkrim dan tidak berbintil2. Masukkan pati santan dan kacau hingga sebati. Tuang sedikit demi sedikit bancuhan tadi ke dalam tepung sambil digaul rata hingga menjadi doh. Uli sekejap dan rehatkan 10 minit.
  3. Panaskan oven pada suhu 170C, sapu dulang pembakar dengan sedikit minyak (che mat alas dengan kertas minyak). Bahagikan doh kepada 3 bahagian. Ambil satu bahagian, canai antara 2 lapisan plastik setebal 1/2 cm. Sapu acuan dengan sedikit minyak masak (jika anda guna acuan seperti dalam gambar, kalau guna acuan biasa, boleh celup dalam tepung sagu sahaja). Terap adunan tadi dan alihkan ke dalam dulang pembakar, jarakkan sedikit. Buat hingga siap. Jika adunan mula berderai semasa dicanai, tambah sedikit santan 'extra' dan diuli sekejap..
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan. Bakar selama 25 minit atau hingga bahagian bawah kuih bangkit perang dan kuih ringan (anda akan nampak kuih bangkit naik dan merekah sedikit). Letak loyang pembakar pada rak no.2 oven dari bawah. Bila masak, sejukkan atas jaringan dan simpan dalam bekas kedap udara.....Selamat mencuba!!.


Tuesday, May 27, 2014

SANDWICH TELUR @ EGG SANDWICH..

rsz_egg_sandwich
Pernah makan egg sandwich atau sandwich telur?...Che mat sendiri pun ada lah 1 - 2 kali buat, tu pun kalau ada telur rebus lebih, terutama telur pengantin..hehe. Pagi tadi ada 3 biji telur rebus baki dari .lontong yang che mat buat. Ok, kita buat sandwich telur. Resipi dia mudah. Merata kat internet ada, pilih aje yang mana rasa sesuai atau boleh cuba2 buat resipi sendiri, asal jangan pengsan lepas makan sudah lah. Sesuai untuk sarapan dan untuk bekal anak2 anda ke sekolah pun boleh juga. Roti sandwich tu che mat bakar sekejap sebelum disusun dengan bahan2 sandwich. Bahan2 pun yang asas saja, guna daun salad, timun dan tomato. Cuma ada lah bahan2 lain yang che mat masukkan dalam telur rebus tu, yang tu nanti kita cerita dibawah. Satu lagi dalam resipi guna serbuk cili paprika, kalau takde boleh ganti dengan lada hitam kisar. Nak mencuba, jomm che mat kongsikan resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur rebus, dikupas kulitnya
1 1/2 camca besar mayonnaise
1 camca teh pes mustard
1/2 biji bawang besar, cincang
1/2 camca teh serbuk cili paprika (boleh ganti dengan lada hitam kisar)
1 biji jeruk gherkins, cincang halus
Sedikit garam
4 keping roti sandwich
Daun salad secukupnya
Hirisan timun secukupnya (dalam 8 keping)
Hirisan tomato secukupnya (dalam 8 keping)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dua biji telur dilecek hancur, sebiji lagi dicincang kasar. Masukkan ke dalam bekas bersama bawang besar yang dicincang, jeruk gherkin, mayonnaise, pes mustard, serbuk cili paprika @ lada hitam tumbuk dan sedikit garam. Gaul rata dan sesuaikan rasa. Ketepikan sebentar.
  2. Bakar roti sandwich sekejap (yang ni ikut suka, takmo bakar pun boleh). Kemudian ambil sekeping roti, susun dengan daun salad secukupnya, timun dan tomato, 4 keping setiapnya. Sudukan 1/2 bahan no1 atasnya. Ratakan dan tutup dengan sekeping roti lagi. Buat kaedah sama dengan baki roti dan bahan2. Tekan sedikit dan kalau anda suka boleh dikerat 2 sandwich tadi sebelum dihidangkan.

LONTONG, SARAPAN ORANG JOHOR..

rsz_lontonggg
Assalammualaikum, salam Selasa. Lontong sarapan orang Johor dan ia boleh juga dikira merangkap makan tengah hari jika anda malas nak masak...macam che mat...hehe. Kalau orang Johor, lontong ni kira dah biasa. Apa itu lontong?...Kalau di Johor dan Singapura (mungkin juga di beberapa daerah di Indonesia), lontong ialah beras yang dimasak dalam daun pisang yang dibentuk seperti silinder dan direbus beberapa jam hingga ia menjadi padat seperti ketupat. Dan dimakan bersama kuah lodeh serta bahan2 pelengkapnya. Ia antara hidangan popular semasa hari lebaran. 

rsz_lontonggg1
Tempoh hari masa teman FB che mat kasi tau, kalau di Singapura, mereka hidangkan lontong dengan begedil sebagai salah satu bahan pelengkap selain telur rebus, serunding dan sambal tumis atau kuah kacang. Jadi begedil yang che mat buat tu hari digandingkan bersama lontong ini...ok lah, rasa dia pun boleh masuk juga dengan lontong (sebab biasanya kami makan dengan soto atau dimakan begitu saja, cicah sos). Satu lagi nak cerita, pasal kuah lodeh, ada macam2 versi, yang gaya masak lemak biasa pun ada, ada yang ditumis dan sebagainya. Kali ni che mat buat yang ditumis. Anda boleh juga guna rencah udang hidup atau udang kering. Ok, resipi pun senang saja...semua orang boleh cuba....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, hiris serong
1/4 biji kobis bulat, hiris, cuci dan toskan
1 biji lobak merah saiz sederhan, dipotong macam anak mancis
1 biji sengkuang saiz kecik, kupas dan potong macam anak mancis
2 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub
2 keping tauhu, dipotong kiub
1 cekak soo hoon, kerat pendek
Fucuk @ tauhu kering selebar 2 tapak tangan orang dewasa, potong kecil dan rendam hingga lembut
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1/2 camca teh serbuk kunyit
1.5 liter santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 genggam udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan
1 camca teh jintan manis (optional)

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Ketupat nasi secukupnya
Telur rebus, dipotong 2
Serunding
Begedil
Sambal tumis @ sambal kacang

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH LODEH :- Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 4 camca besar), tumis serai dan lengkuas tadi, masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Tuang santan cair dan kacau rata.
  2. Masukkan sayur2 dan bahan2 yang keras dahulu seperti lobak merah, sengkuang, tempe dan fucuk (toskan), kacau dan masak hingga lembut. Tambah kacang panjang, tauhu dan kobis, gaul rata dan jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Biar mendidih sekejap.
  3. Tambah soo hoon dan tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api kecil dan kacau perlahan. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK LONTONG :- Masukkan ketupat  atau nasi impit dalam mangkuk sesuai, tuang sayur lodeh bersama2 isinya. Hias dengan telur rebus, begedil, serunding, sambal tumis atau kuah kacang. Hidangkan segera untuk sarapan atau boleh dinikmati bila2 masa...Selamat mencuba!!

Monday, May 26, 2014

GULAI TEMPOYAK IKAN SUNGAI...

rsz_tempoyak_ikan_petai1
Assalammualaikum, salam semua. Menu yang che mat masak hari ni sudah pasti bukan menjadi kegemaran mereka2 yang tidak makan ikan sungai atau ikan air tawar. Ikan air tawar atau ikan sungai menjadi kegemaran bonda, che mat ok saja, tapi bukan semua ikan. Kalau ikan yang biasa seperti ikan putih, terebol, haruan, seluang tu che mat suka. Yang lain tu boleh juga cuma tak berapa sangat. Atas permintaan che mat masak gulai tempoyak ikan sungai, campur pulak dengan petai, serius memang pengsan!...Ikan tu che mat kasi goreng dulu, kalau tak goreng tak kuasa nak makan, susah sebab tulang dia berselirat. Tapi ini ikut style masing2 lah kan, samada nak goreng dulu ke, nak panggang dulu ke atau tak nak pun boleh, yang nak makan pun anda...Kalau nak guna resipi ini untuk masak ikan laut pun boleh, guna ikan kembong, tapi tak yah goreng...Jomm che mat share resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor ikan air tawar (che mat guna ikan terebol) bersaiz lebar 3 jari orang dewasa
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1/4  cawan isi petai
1 keping asam gelugor
2 camca besar tempoyak
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 genggam cili padi kampung, yang hijau
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sungai disiang, buang sisik, kemudian perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 15 minit, cuci bersih dan toskan. Kemudian lumur dengan 1 camca teh serbuk kunyit dan sedikit garam. Gaul rata2, perap 10 minit. Goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama tempoyak. Kacau rata, tambah serai titik dan santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan petai dan asam gelugor. Masak sekejap. Tambah air jika anda rasa perlu.
  3. Tambah ikan sungai yang telah digoreng tadi, masukkan daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan biar mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api kecil sambil dikacau perlahan. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan ulam2man..


Sunday, May 25, 2014

BEGEDIL AYAM....

rsz_begedil_ayam (1)

Salam semua, petang tadi che mat saja2 merajinkan diri bikin begedil ayam. Kadang2 macam tu lah, ada benda yang kita rancang tak menjadi, tapi bertukar jadi benda lain. Entah kenapa masa lihat kentang dalam bakul di dapur, che mat terbayang begedil. Cari2 dalam freezer, ada pulak sekeping dada ayam tanpa tulang, ini sudah bagus. Maka bermulalah operasi membuat begedil ayam. Sebenarnya ia begedil kentang yang dicampur isi ayam. Kalau sebut begedil ayam nanti orang fikir macam nugget ayam pulak. Kalau anda nak guna daging pun boleh, tapi che mat ikut apa yang ada saja. Bila buat begedil teringat kat kat sahabat che mat yang sorang ni, dia peminat begedil...ehemm...

rsz_begedil_ayam2

Resipi asal che mat ambil dari blog Azie Kitchen di sini. Dan seperti biasa sukatan ikut banyak mana yang che mat ada, contohnya resipi asal guna 200 gram isi ayam kisar, tapi che mat cuma ada dalam 150 gram dan kentang pulak dalam 450 gram (selepas dikupas kulit). Kentang che mat goreng dengan api sederhana hingga empuk, kalau anda nak rebus pun boleh, tapi digoreng lebih enak dan tidak terlalu benyek. Enak dihidangkan bersama soto, atau dimakan sebagai cemilan waktu petang. Selain itu dari teman FB che mat, di Singapura, ada juga yang menghidangkan lontong diletak begedil sebagai pelengkap...menarik juga kan. Apa gaya anda guna untuk mempelbagaikan begedil, tak perlu khuatir atau rasa janggal dengan pandangan orang lain. Akhirnya kita juga yang makan, bukan mereka..betul tak?...Ok, che mat kongsi resipi begedil ayam...

BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram kentang yang telah dikupas kulitnya, direndam
150 gram daging ayam, dicincang lumat
1 biji bawang besar bersaiz sederhana, didadu
1 camca besar bawang goreng
1 camca teh serbuk lada sulah
1 pokok kecil daun sup, hiris halus
1 pokok kecil daun bawang, hiris halus
1/4 camca teh garam atau secukup rasa
1 biji telur, dipukul sedikit
Sos cili atau sos kegemaran anda untuk dimakan bersama begedil

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kentang ditoskan, kemudian dipotong berbaji. Goreng hingga empuk, guna api sederhana dan kacau sekali sekala. Angkat dan toskan, letak atas tissue dapur bersih dan biar minyak terserap. Kemudian tumbuk kentang tadi hingga lumat. Ketepikan.
  2. Panaskan 1 camca besar minyak masak, tumis bawang besar hingga layu, masukkan daging ayam cincang dan masak hingga daging ayam berubah warna. Angkat dan toskan. Masukkan ke dalam kentang yang ditumbuk lumat tadi.
  3. Masukkan bawang goreng (ramas sedikit), hirisan daun sup, daun bawang, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Gaul rata2. Kemudian ambil adunan sebesar duit 50 sen lama atau lebih sedikit, bulat2kan. Kemudian leperkan sedikit, susun dalam loyang. Buat hingga siap.
  4. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celup sebiji begedil dalam telur dan masukkan ke dalam minyak panas. Jangan goreng terlalu banyak, che mat goreng 6 biji begedil sekali, bergantung pada saiz kuali anda.
  5. Biar hingga begedil keemasan baru diterbalikkan untuk mengelak bergedil hancur. Masak sekejap lagi, dan boleh diangkat. Buat kaedah sama untuk baki bagedil. Hidangkan bersama sos kegemaran anda atau disajikan bersama soto dan sebagainya...

SAMBAL UDANG PETAI GAYA NYONYA...

rsz_sambal_petai_udang
Assalammualaikum, salam Ahad. Entri permulaan hari ini che mat sajikan dengan satu menu kegemaran rakyat Malaysia dan jiran2nya seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Sebenarnya che mat bikin apam tepung gandum semalam, tapi rasa boring pulak nak makan dengan kelapa, jadi buat sambal tumis udang petai, boleh juga cicah dengan apam, dalam masa sama untuk santapan berbuka puasa buat bonda. Ada beza ke sambal tumis biasa dengan orang2 nyonya atau peranakan?..Sebenarnya tak de beza banyak, cuma ada penambahan 1 - 2 bahan saja, seperti buah keras dan sedikit hirisan lengkuas. Pstt, cun tak mangkuk yang che mat guna untuk isi sambak tu?...Ia pemberian sahabat FB Puan Monaliza Mohammad Diah. Mangkuk datang dari Jepun ni, tapi dipos di sini..Terima kasih banyak2 Kak Mona atas pemberian ini..ehemm ada lagi yang lain, tu kita guna nanti2 ok....Che mat kan tulis resipi untuk sambal udang petai gaya nyonya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
20 ekor udang bersaiz besar
2 papan petai
1 biji bawang besar
1 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah, buang biji
1/2 inci halia
1/2 inci belacan, dibakar
3 biji buah keras, hiris
2 keping nipis hirisan lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dikupas kulitnya, belah sedikit bahagian belakang dan buang uratnya, cuci dan toskan. Petai diambil isi cuci dan toskan. Bawang besar dihiris bulat, leraikan. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (aggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa dan kacau rata.
  3. Masukkan petai, dan masak sekejap. Tambah udang dan bawang besar, gaul rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula atau secukup rasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, nasi lemak, ubi rebus, roti atau lempeng.

Saturday, May 24, 2014

KANGKUNG BELACAN SOTONG...

rsz_kangkung_belacan_sotong
Tadi petang boleh ngidam nak makan kangkung belacan?...Dasat jugak selera aku ni, tapi bukan lah makanan yang susah nak masak, yang mudah2 saja. Tapi kangkung belacan yang ni siap ada sotong, gatal?..Yang tu belakang kira, kalau bergaru, baru kira2. Kangkung belacan kena dimakan panas, senang cerita kalau dah sejuk, rasa dia agak kurang enak. Kalau ikut kan, che mat debikkan cili padi biar pedas, tapi sebab Bak tak tahan pedas, kena lah guna cili merah dan cili hijau saja. Kalau ada kangkung belacan, ngamkan dengan sambal dan ikan goreng...cukup sangat dah. Susah ke nak masak kangkung belacan?..Kalau anda pertama kali ke dapur mungkin lah nampak susah, tapi sebenarnya senang ya amat. Yang penting anda pandai hidupkan api dapur, pandai pegang sudip dan tau asas2 memasak...insha Allah menjadi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ikat sayur kangkung (kurang lebih 2 cekak)
1 biji bawang besar, hiris
4 ekor sotong saiz besar
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siang kangkung, kemudian rendam sekejap dan toskan hingga kering. Sotong dibersihkan, kerat bulat cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 2 camca besar. Tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum, masukkan sos tiram dan kacau rata. Tambah sotong, bawang besar hiris dan tuang sedikit air. Kacau dan biar sotong masak sekejap.
  3. Masukkan kangkung, gaul rata dan perasakan dengan sos ikan secukup rasa. Masak dengan api besar. Biar kangkung layu sedikit, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi, sambal  belacan dan ikan goreng..


SAMBAL GORENG JAWA DAN SAMBAL BELACAN BUAH KUINI..

rsz_sambal_jawa_goreng
Assalammualaikum, salam Sabtu. Anda masak apa ni hari?...Che mat masak dah, tapi yang cincai2 saja. Menu sambal goreng jawa yang anda lihat ini bukan che mat tadi, tapi hari Khamis lepas, dua hari dah. Semalam nak masukkan tapi lebih baik entri mi rebus dari sambal goreng sebab dah malam. Jadi hari ni baru kasi masuk entri sambal goreng. Menu sambal goreng begitu sinonim dengan masyarakat jawa, dan menjadi pelengkap hidangan nasi ambeng. Kalau raya tak sah hidangan tanpa sambal goreng, terutama di Johor amnya dan masyarakat jawa khusunya. Tapi sekarang ia sudah menjadi hidangan semua bangsa. Ada beberapa versi, yang kemerahan, yang biasa dan yang gelap (ada campuran kicap). Mana satu pilihan anda ia tetap enak dimakan bersama nasi putih atau ketupat. Nampak tak sambal goreng che mat tu ada petai...ehem, memang betul, atas permintaan Bak, maka ku tambah petai...

rsz_sambals_belacans_kuinis
Samping itu che mat bikin juga sambal belacan buah kuini. Macam tengah musim saja sekarang ni, nampak kat mana2 ada orang jual. Yang ni mak sedara che mat kasi. Macam2 boleh buat dengan buah kuini, tapi che mat lebih suka jadikan sambal belacan buah kuini. Selain tu anda boleh buat kerabu, jelatah dan minuman 'laksamana mengamuk', tu kira orang2 lama di Johor, tau lah nak buat. Ada sambal macam ni, dengan nasi panas dan ikan goreng, hmmm, cukup sangat dah. Kalau suka pedas boleh guna cili padi sepenuhnya, kalau tak suka boleh guna cili merah dan kalau suka sederhana pedas, kasi campur cili merah dan cili padi, pastikan cili padi dalam kuantiti sedikit....Ok, jommm che mat share resipi...

SAMBAL GORENG JAWA....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, hiris serong, cuci dan toskan
1/4 bahagian kobis bulat saiz kecil, hiris, cuci dan toskan
2 papan petai, ambil isinya dan hiris
2 keping tempe, didadu dan goreng, toskan
2 keping tauhu, didadu dan goreng, toskan
1/4 cawan isi udang bersaiz kecil, cuci dan toskan
2 keping fucuk selebar tapak tangan, potong kecil dan rendam
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
2 camca besar cili kisar
3/4 camca teh pes asam jawa
1 camca besar kicap cair
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 4 camca besar. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan lengkuas dan serai serta cili kisar. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan isi udang. Kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan tempe, tauhu, petai dan kacang panjang. Gaul rata dan masak hingga kacang lembut, boleh tambah sedikit air jika perlu. Masukkan fucuk (toskan), kacau dan tambah kobis, gaul rata. Tambah kicap cair dan soo hoon (toskan). Kacau dan masak hingga kering.
  3. Masukkan hirisan cili merah, cili hijau, sedikit gula dan kicap cair. Gaul rata dan rasa, jika perlu baru masukkan garam secukup rasa. Masak dengan api sederhana hingga sambal goreng kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau ketupat..

SAMBAL BELACAN BUAH KUINI....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji buah kuini yang masak (nak guna yang mengkal pun boleh, ikut suka hati memasing)
1 biji cili merah
15 biji cili padi merah
1 inci belacan, dibakar
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Buah kuini dicuci, kemudian, lap kering dan kupas. Hiris isinya dan ketepikan. Tumbuk cili merah dan cili padi hingga hancur, masukkan belacan bakar dan secubit garam Terus menumbuk hingga lumat. Tambah isi buah kuini tadi dan tumbuk sedikit, tak perlu sampai lumat. Gaul rata dan rasa, jika ok, boleh hidangkan bersama nasi putih dan ikan goreng.....Selamat mencuba!!

Friday, May 23, 2014

MI REBUS...

rsz_mie_rebos

Assalammualaikum, salam Jumaat. Makan apa hari ni?...Che mat menerima tetamu hari ni, bukan orang lain tapi sedara mara kami juga. Memandangkan bonda dalam mood puasa Rejab, jadi che mat masak mi rebus untuk bonda berbuka puasa dan untuk dijamu pada tetamu juga. Mula2 perancangan nak buat lain, tapi jadinya lain. Selain mi rebus, sempat juga lah che mat bikin apam tepung gandum, mesti anda ingat lagi kan....err, kalau tak ingat, boleh lihat di sini. Sedap ok apam ni, sapa belum cuba, jangan segan dan malu untuk mencuba. Mi rebus ada macam2 cara dan yang che mat buat ini ikut bahan2 yang ada kat rumah. Sepatutnya guna keledek, tapi yang ada ubi kentang, boleh lah dari takde. Kalau anda buat, sila guna keledek, pilih keledek oren untuk mendapat kuah yang lebih menawan..

rsz_mie_rebos1

Pada pendapat che mat lah, untuk mendapat kuah mi rebus yang sedap, guna air rebusan tulang lembu dan guna daging yang ada tetel. Che mat guna air rebusan tulang lembu dan juga daging tanpa lemak. Tapi kan macam ada kurang aje, biasanya kalau di Johor, orang makan mi rebus, ada tarok keropok udang, keropok tu bukan lah macam keropok2 biasa, tapi tepung beras yang dibancuh dengan udang kering yang dikisar, telur dan air. Kemudian digoreng seperti rempeyek. Nak makan dipatah2kan dan tabur atas mi rebus. Tapi takde keropok pun mi rebus ni masih ok, masih sedap.....Nak resipi?...Jomm, che mat kongsi dengan anda...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram daging lembu, hiris dan rebus hingga lembut.
400 gram ubi kentang, rebus hingga lembut dan dilecek halus
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 camca besar tauco, dilecek halus
2 1/2 camca besar rempah kari daging (baba's)
4 camca besar kacang tanah tumbuk
3 camca besar cili kisar
1 biji tomato, belah 4
Garam dan gula secukup rasa
Air rebusan tulang lembu secukupnya (anggaran 2.5 liter)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
3 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
2 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
1 kg mi kuning, cuci dan celur sekejap, toskan
Tauhu, digoreng dan hiris
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Hirisan cili hijau/cili merah
Limau kasturi, dibelah 2 setiap 1
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan celur sekejap

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH MI REBUS :- Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk, sementara itu, bancuh bahan2 kisar halus sama rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes. Tumis serai titik, lengkuas. kayu manis, bunga lawang dan cili kisar hingga harum. Tambah pes rempah dan masak hingga rempah garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan tauco, dan kacau rata, masak sekejap. Tambah daging rebus bersama air rebusannya sekali. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan air rebusan tulang, tomato dan kentang lecek. Kacau rata dan masak hingga pekat sedikit. Masukkan kacang tanah tumbuk, perasakan dengan garam secukupnya dan gula (selalunya kuah mi rebus sedikit manis). Biar mendidih, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI REBUS :- Masukkan secukupnya mi kuning ke dalam mangkuk sesuai, tuang kuah mi rebus bersama isi2nya sekali. Hias dengan telur rebus, tauhu goreng, hirisan cili merah, cili hijau, taugeh celur, hirisan daun bawang, daun sup bawang goreng dan akhir sekali perahkan jus limau kasturi sebelum anda makan...Selamat mencuba!!.

Wednesday, May 21, 2014

ASAM PEDAS IKAN DURI...

ikan duri asam pedas
Assalammualaikum, salam semua. Entri che mat masak siang tadi. Ikan duri yang memang ada dalam peti sejuk, plan asal nak masak asam rebus cili padi, tapi disaat2 akhir, ia telah ditukar kepala asam pedas. Ikan duri ada banyak jenis, yang ni ikan duri yang bila besar jadi ikan mayong, kalau ikan duri jenis 'blukang', che mat memang tak makan. Ikan blukang kepala dia leper sedikit dan berkulit sedikit gelap. Saiz ikan agak sederhana dan ikan duri jenis isi putih. Sawi jeruk dicampurkan dalam asam pedas. Ini terpulang, anda nak guna terung, bendi atau tomato juga boleh. Tiba2 macam nampak daun kari pulak...errr asam pedas guna daun kari ke?..Sebenarnya che mat takde daun kesom, ada yang baru tanam tu pulak, alaah hai, ciput nau, jadi guna daun kari. Bau2an ni semua untuk menambah keenakan asam pedas ikan duri...Kalau nak mencuba, resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan duri putih saiz sederhana
3 kelopak sawi jeruk
3/4 camca besar pes asam jawa
1 senduk nasi penuh cili kisar
3/4 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
3 biji bawang merah kecil. hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari, dilurut
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar
2 biji cili merah
10 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan duri disiang, kemudian kerat ikut suka, cuci dan perap sama jus limau nipis selama 20 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Cuci sawi jeruk dan potong kecil, kemudian rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum dan bawang layu. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Kacau dan bila mendidih, masukkan ikan, sawi jeruk (toskan dan perah) dan bunga kantan. Kacau perlahan dan biar mendidih.
  4. Perasakan dengan lada hitam tumbuk, garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Tuesday, May 20, 2014

TUMIS AIR PETOLA MANIS...

rsz_petola_manis_tumis_air
Assalammualaikum, salam Selasa. Malam baru che mat dapat mengadap blog. Pagi tadi ada hal sikit dan bila dah keluar, maka tak sempatlah nak menjengah blog. Balik petang tadi che mat bergegas masak untuk bonda berbuka, dan seperti biasa, bonda bukan seorang yang cerewet, dia berbuka pun ala kadar. Kebetulan kami singgah dirumah mak sedara di Johor Baharu dan dia bekalkan nasi putih, panas2 lagi, alhamdulillah, ini bermakna che mat perlu masak lauk saja. Ok, kita masak tumis air petola manis, sudah lah, senang. Lepas tu ada lauk2 lain sikit. Tumis air petola pada che mat lebih enak kalau anda guna udang hidup, kalau takde boleh ganti dengan ikan bilis atau udang kering. Boleh juga dimasukkan cendawan tiram sebagai bahan tambahan. Ini bukan lah resipi untuk mereka2 yang dah pandai masak, ia lebih pada yang baru2 berjinak ke dapur. Kalau anda masak macam ni, kenalah bikin sambal belacan, lepas tu goreng ikan atau goreng ikan masin...sudah cukup sangat....Resipi mudah sangat, seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji petola manis
200 gram cendawan tiram
1/2 cekak soo hoon
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit
1/2 kiub ikan bilis (optional)
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas petola, kemudian cuci. Potong serong pada saiz sederhan tebal. Cendawan dibasuh dan toskan. Soo hoon, dikerat pendek dan rendam hingga lembut. Udang kering ditos dan perah hingga kering. Kemudian ditumbuk sedikit. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis udang kering tumbuk, bawang merah dan bawang putih hingga harum. Tuang air secukupnya (anggaran 700 ml). Masukkan kiub pati ikan bilis (jika guna), kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan petola manis dan cendawan tiram, kacau rata dan masak sekejap. Tambah soo hoon (toskan), jika kurang kuah, boleh masukkan sedikit air. Perasakan dengan lada hitam tumbuk dan garam secukup rasa. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan...


Monday, May 19, 2014

ACAR IKAN MASIN....YANG OHSEMM!!

rsz_acarrr_ikan_masin
Salam semua, pernah makan acar ikan masin?...Rasa che mat mesti ramai yang pernah mencuba. Sekarang ni kan dah ada yang jual produk acar ikan masin yang dibotolkan. Che mat pernah buat sekali dulu. Dan hari ni che mat buat sekali lagi menggunakan resipi yang sama cuma ikan sahaja yang berbeza. Kali ni cuba guna ikan talang masin. Untuk mengelakkan rasa masin terlampau, che mat rendam lama sedikit dalam 2 jam macam tu. Resipi che mat dapat dari sahaba Fb Puan Monaliza Mohammad Diah dan tau kah anda beliau dapat resipi ini dari Allahyarham Noreen Noor, artis terkenal tahun 80-an dulu (al-fatihah utuk arwah, moga perkongsian ini memberi manfaat pada nya, insha Allah). 

rsz_acarrr_ikan_masin2
Bila sebut acar ikan masin, mesti ada yang tanya, boleh simpan lama ke?...Insha Allah boleh dan anda kenalah tumis rempah dia dengan minyak yang lebih sedikit. Bila dh sejuk, masukkan ke dalam botol, pastikan ia tenggelam sedikit dalam minyak yang anda guna untuk menumis rempah. Kalau nak makan cecok isi saja lah, jangan dikaut sekali dengan minyak acar, lepas tu komplen...eeeee berminyaknya, macam mana nak makan ni...part ni tak boleh nak salah kan siapa2, kalau sendiri yang dah bingai...jadi gunakan akal ok. Satu lagi acar ikan masin ni sedikit manis, yang ni terpulang pada citarasa anda, kalau suka manis, letak lebih sikit gula, kalau suka manis2 buah boleh kurangkan gula. Macam tu juga dengan garam, jangan lambak banyak2 terus, letak sikit dulu, kemudian rasa, kalau perlu baru tambah lagi...boleh faham tak?....Kalau ok, meh sini che mat kasi tulis resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram isi ikan masin talang (boleh ganti dengan isi ikan masin kurau)
10 biji bawang merah kecil
10 ulas bawang putih
20 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
3 camca besar cuka makan (JALEN)
1 camca besar gula melaka
3 camca besar gula pasir (atau secukup rasa)
2 tangkai daun kari, dilurutkan
Garam secukup rasa
1/4 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 camca besar cili kisar
1 biji bawang besar 
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
1 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
3/4 camca teh halba
1 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Isi ikan talang masin dihiris kecil, cuci dan rendam sekurang2nya 1 jam, tukar air rendaman setiap 20 minit. Kemudian toskan dan biar kering sekejap. Goreng hingga kekuningan dengan api sederhana. Angkat dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Kemudian kisar (gunakan kisar kering) atau tumbuk hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis daun kari hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga garing. Tambah bahan2 rempah yang dikisar/ditumbuk halus tadi. Kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil.
  3. Masukkan gula melaka, gula pasir dan cuka makan. Kacau rata dan tambah 1/2 camca teh garam. Kacau dan masukkan ikan masin yang telah digoreng, bawang merah, bawang putih dan cili padi. Gaul rata. Tuang air, kacau dan kecilkan api. Masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit lagi garam, begitu juga dengan gula. Matikan api, dan boleh hidangkan bersama nasi putih.

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU..

rsz_tempoyak_daun_kayu_kayan
Assalammualaikum, salam Isnin. Che mat dah mula rasa jadual kerja kat rumah macam teratur. Nak update blog pun tak konsisten dah, tapi insha Allah akan cuba juga update, kalau tak sempat siang, kita update waktu malam. Semalam che mat masak sambal tempoyak daun kayu. Ada juga che mat share gambar2 masa memasak di FB dan InstaGram ( @matgebu). Ini satu masakan yang terkenal di Negeri Sembilan. Ada yang tanya daun kayu tu daun apa?. Sebenarnya ia menggunakan daun2 seperti pucuk ubi, pucuk labu, pucuk kacang, daun kunyit, daun kadok, petai dan ada beberapa jenis lagi. Tapi che mat hanya guna 4 jenis, pucuk ubi, pucuk labu, daun kunyit dan petai. Bahan utama, dah tentu tempoyak. Daun2 tadi dimayang halus seperti bunga rampai. Dan dimasak bersama santan serta rencah yang telah disiapkan. Resipi seperti berikut....errr...dah banyak kali letak sebenarnya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi muda, asingkan dari tangkainya
6-7 tangkai pucuk labu, ambil daun dan batangnya yang lembut
6 helai daun kunyit muda
4 papan petai
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
5 camca besar penuh tempoyak
1 liter santan 
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
45 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
5 batang serai, hiris halus
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi, dimayang halus, cuci dan toskan hingga kering. Pucuk labu digentel kemudian dimayang halus, begitu juga dengan daun kunyit, cuci dan toskan hingga kering. Petai diambil isinya dan hiris nipis. Ikan bilis ditoskan, perah sedikit dan tumbuk kasar. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama tempoyak, ikan bilis dan santan. Kacau rata dan masak hingga mendidih, kacau selalu. Bila kuah kelihatan pekat, masukkan kesemua jenis sayuran yang dimayang halus tadi dan juga petai. Gaul rata, masak dengan api sederhana.
  3. Kacau dan masak hingga pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng..

Sunday, May 18, 2014

MALAS MASAK...KITA MAKAN SANDWICH AJE...

Assalammualaikum, apa khabar?..Hari ni che mat malas masak. caya ke tidak?....errr..yelah2 che mat tipu, sebenarnya masak tapi sebab bonda masih berpuasa, mood nak makan pun takde dah, jadi che mat bikin sandwich aje. Yang masak tu untuk bonda berbuka puasa, esok che mat masukkan entri tu yea. Nak letak malam2, rasa tak sesuai pulak. Maka sebagai entri 'ringan2' che mat masukkan lah sandwich siang tadi. Benda biasa yang mungkin ada yang dah jemu nak melihatnya. Takpe, che mat faham, tak kecil hati. Anda sudi singgah walaupun ibarat angin lalu sekali pun, che mat berterima kasih sangat2. Apa inti sandwich che mat tu, macam bess aje (hehe, ayat reka sendiri..). Yang tu guna pacific tempura fish fillet, ada jual di pasar2 raya MyDin, Tesco dan sebagainya. Che mat guna roti perancis atau 'baguette', tapi yang ni jenis lembut, bukan roti perancis yang keras macam tongkat tu. Nak guna roti sandwich biasa pun boleh, tak salah. Hidangan macam ni takde bahan2 yang perlu dimasak, kecuali fillet ikan tu anda kena goreng. Macam mana che mat buat?....ehemmm..seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
Roti perancis (@baguette) secukupnya
1 keping fillet ikan tempura kenama 'pacific', contoh di sini
Beberapa helai daun salad
3 keping hirisan tomato
3 keping hirisn timun
3 keping nipis hirisan bawang besar (jika suka)
1 keping keju cheesedale, kerat 2
Mayonnaise secukupnya
Sos cili secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Goreng fillet ikan tempura tadi hingga perang keemasan, angkat dan toskan. Letak atas kitchen paper towel. Ukut roti perancis sama panjang dengan saiz fillet ikan tempura tadi dan potong. Belah dua, kalau suka anda boleh sapu sedikit majerin pada roti perancis dan bakar dalam kuali hingga perang. Ketepikan.
  2. Ambil bahagian bawah roti perancis, susun daun salad secukupnya, kemudian susun tomato, timun dan bawang besar secara berselang seli. Paipkan mayonnaise bentuk zig zag. Kemudian paipkan pula sos cili secara zig zag tapi pastikan bertentangan. Ketepikan sebentar.
  3. Sementara itu, letak keju atas fillet ikan, kemudian masukkan ke dalam oven 1-2 minii hingga keju lembut dan mula seakan2 mencair atas fillet ikan (anda boleh juga guna microwave). Alihkan fillet ikan tadi atas sandwich, tutup dengan 1 bahagian roti perancis tadi dan boleh hidangkan. Che mat hias dengan mencucuk lidi satu pada 3 bahagian dan hias atasnya dengan buat zitun hijau..Hidangkan segera..

Friday, May 16, 2014

SOTONG KEMBANG CILI BERMADU...

rsz_sotong_cili_madu1
Assalammualaikum, ehemm apa menu anda hari ni. Che mat masak petang tadi untuk bonda berbuka puasa. Siang tak masak ke?...Sebab siang tadi ada permintaan nasi goreng ikan masin, jadi tu sajalah sarapan merangkap makan tengah hari. Senang kan...hehe. Ok, jadi lepas Asar che mat baru mula masak, dan lauk untuk bonda berbuka ini selalunya berbaki hingga esok, maka ia masih ok untuk dimakan. Che mat memang masak dalam kuantiti yang sedikit. Hari ni ada labu manis masak lemak letak kacang panjang, ada sambal belacan, ikan kembong goreng dan sotong kembang cili bermadu...ehem, terus ada yang tersedak dengar 'bermadu'..haha. Resipi ini amat senang dan kenapa che mat guna sotong kembang?..sebab kalau sotong segar takut kegatalan nanti. Jika anda nak guna sotong segar pun boleh, cuma che mat sarankan anda celur sekejap, toskan dan baru dimasukkan ke dalam sambal, gaul hingga rata terus matikan api, jangan masak lama sangat. Kalau sotong kembang lain sikit. Ini antara hidangan ringkas yang amat sesuai untuk berbuka puasa atau bersahur...Resipi?....seperti dibawah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor sotong kembang saiz besar
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih, hiris
3 biji buah keras, hiris
5 biji cili merah
1 camca besar madu
1/2 camca teh gula
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun kucai, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong kembang dipotong ikut suka (jangan terlalu kecil). Rebus selama 1 minit dalam air mendidih. Toskan. Bawang besar dihiris bulat, kemudian dileraikan. Masukkan bawang putih dan buah keras dalam alat pengisar (blender), tuang sedikit air dan kisar hingga halus. Masukkan bawang merah dan cili merah, kisar hingga hancur, tak perlu sampai halus, guna butang 'pulse'. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar tadi hingga harum, kecilkan api dan terus memasak hingga naik minyak. Masukkan sotong dan bawang besar. Gaul rata dan tambah madu, jus limau kasturi dan garam secukup rasa. Kacau rata.
  3. Masak sekejap hingga sedikit kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan daun kucai. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!..


Thursday, May 15, 2014

HIMPUNAN 101 MAKANAN HAMPIR PUPUS...

Salam semua, entri ini che mat nak war2kan satu program anjuran Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia. Program himpunan 101 Makanan Hampir Pupus. Pada pendapat che mat sendiri, ini satu tindakan bijak dari Jabatan Warisan Negara untuk memelihara dan memperkenalkan makanan2 tradisi negara kita pada umun, khusunya generasi muda. Pada anda yang ada masa terluang, sudi2kan untuk hadir dalam program menarik ini, pertama kali diadakan. Ada juga pertandingan, demonstrasi, pameran dan jualan makanan. Datang dan bawa anak2 atau rakan taulan anda, agar mereka lebih mengenali makanan tradisi kita. Jangan lupa pergi dan ambil gambar banyak2...dan jika anda up-kan di InstaGram, hastagkan gambar anda dengan #resipiwarisan...Ok... (^__*)\/...terima kasih sudi membaca...

PROGRAM HIMPUNAN 101 MAKANAN HAMPIR PUPUS..

TEMPAT : PERKARANGAN ISTANA NEGARA LAMA, JALAN ISTANA KUALA LUMPUR

TARIKH  : SABTU, 17 HB MEI 2014

MASA     : 10.00 PAGI  -  4.00 PETANG

MASUK  : PERCUMA..

MI GORENG BASAH LENCUN...

rsz_mi_goreng_basah (1)

Assalammualaikum, salam semua...hehe, entri mi goreng saja...tapi kali ni mi goreng basah lencun., kiranya macam mi goreng banjir gitu. Tak masak ke?..Masak, sapa kata tak masak, tapi menu asam pedas ikan pari, kang kalau che mat jadikan entri blog, ada yang terus unfollow sebab resipi sama menjang, jadi che mat ambik keputusan kurangkan resipi ulang tayang, insha Allah. Mi goreng basah lencun che mat masak siang tadi, memandangkan aktiviti memasak mula di petang hari, maka menu ini merangkap sarapan pagi dan makan tengah hari. Senang cerita, sekali jalan. Tapi frust sikit lah, sawi takde, jadi che mat ganti dengan kobis daun. Kalau anda buat, guna sawi, baru nampak ohsemm...ok..

rsz_mi_goreng_basah1

Hidangan ini untuk 2 orang, dan takde undang2 nak masak mi goreng basah lencun, nak masuk daging pun boleh, macam che mat cuma ada makanan laut seperti sotong, udang dan kerang, jadi ku masukkan semuanya. Satu lagi kuah tu che mat guna air rebusan tulang lembu, atau boleh guna air biasa. Cuma kalau guna air rebusan tulang lembu atau ayam, mi jadi lagi sedap. Kalau anda nak gantikan dengan kue teow pun sedap. Mi macam ini kena dimakan sejurus dihidangkan, kalau tak nanti kuah dia semua hilang dan mi jadi lembik, dah tak sedap.  Susah ke nak memasaknya?...Tak susah, serius kata, senang sangat. Cuma kena sediakan bahan2 dia, lepas tu baru masak, jadi takde lah buang masa, betul tak...Ok, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram mi kuning, cuci dan toskan
2 ekor sotong, hiris bulat, cuci dan toskan
10 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1/3 cawan isi kerang, cuci dan toskan
3 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 cekak kucai, kerat pendek
2 genggam taugeh, cuci dan toskan
1 biji telur, dipukul sedikit
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos tiram JALEN
1 camca besar sos cili JALEN
2 canca besar kicap pekat JALEN
Sos ikan secukup rasa
2 cawan air rebusan tulang (atau air biasa)
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah udang, sotong dan kerang. Gaul rata.
  2. Masukkan sos tiram dan sos cili, kacau rata dan tolak ke tepi kuali. Masukkan telur dan biar hingga telur kental, hancurkan dan gaul rata. Masukkan  kicap pekat, kacau dan tambah mi kuning, gaul hingga rata.
  3. Masukkan taugeh dan kucai, kacau lagi dan perasakan dengan sos ikan secukup rasa. Akhir sekali tuang air rebusan tulang. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan cili merah, hirisan daun bawang dan bawang goreng. Hidangkan segera..

Wednesday, May 14, 2014

SAMBAL TERUNG

rsz_sambal_terungs
Tiba2 macam nak buat sambal terung...che mat ni asyikt tiba2 siaa, itu aje lah kerja dia. Sebenarnya che mat takmo terung nan sebiji ini terbuang. Maklumlah rezeki Allah bagi agak murah, kalau tak beli, sedara che mat kasi. Selagi elok, kita masak, betul tak?..Guna sebiji saja terung saiz dia besar kan main, panjang pulak tu. Kalau anda guna terung saiz kecil, guna 2 biji lah yea. Terung ini che mat goreng dengan sedikit minyak, guna minyak zaitun, goreng hingga layu. Tapi sebelum tu terung harus dibiarkan kering untuk mengelakkan minyak memercik. Sambal anda boleh siapkan awal dan simpan dalam botol, kemudian masukkan dalam peti sejuk. Bila nak guna dah senang. Selain untuk sambal terung macam ni, sambal tu anda boleh guna untuk goreng nasi. Sambal terung kalau tengok kurang lebih macam terung berlado saja, cuma yang ini ada beberapa bahan tambahan dalam sambalnya. Menjadi salah satu hidangan kaum peranakan. Ok resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji terung ungu saiz besar @ 2 biji terung bersaiz sederhana
2 helai daun limau purut
5 biji cili merah (kalau tak suka pedas, boleh buang biji)
1 camca teh pes asam jawa
1 camca besar udang kering, cuci dan rendam 10 minit dan toskan
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris
Secubit belacan, dibakar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit daun ketumbar, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK TERUNG :- Terung dicuci, kemudian lap kering. Potong pada 4 bahagian, kemudian belah 4 untuk setiap potongan. Gaul dengan sedikit garam. Panaskan kuali (che mat guna non-stick pan mungkum). Masukkan 3 camca besar minyak masak atau minyak zaitun, biar panas. Masukkan terung, kacau dan biar hingga terung layu dan lembut. Angkat dan toskan atas kertas tissue dapur. 
  2. UNTUK SAMBAL :- Kisar buah keras dan bawang putih hingga halus, masukkan udang kering dan belacan, kisar sekejap. Tambah bawang merah dan cili merah. Kisar lagi tapi jangan terlalu halus, guna butang pulse. Teksture cili dan bawang harus sedikit kasar (kalau anda rajin, boleh juga tumbuk guna lesung batu). Panaskan minyak dan tumis bahan2 kisar tadi hingga harum, masukkan pes asam jawa, daun limau purut, sedikit gula dan garam secukup rasa. Masak dengan api kecil sambil dikacau selalu hingga sambal pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SAMBAL TERUNG :- Susun terung yang telah digoreng tadi dalam bekas sesuai. Sudukan secukupnya sambal atas terung, ratakan dan hias dengan daun ketumbar. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain..


GULAI SIPUT SEDUT SAMA KACANG PANJANG.

rsz_gulai_siput_seduts
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat masak siput sedut. Lama juga dah tak masak menu kegemaran Bak. Sebab takde batang keladi, che mat campurkan kacang panjang, alah kan kita yan buat dia. Tadi di FB ada yang tanya, macam mana nak cuci siput sedut yang berlumpur. Ok, apa yang selalu che mat buat, bila anda beli siput sedut, bukak dan masukkan ke dalam baldi. Taburkan hampas kelapa dan biarkan satu malam, tapi pastikan atas permukaan baldi anda tutup dengan tapis dan letakkan pemberat (che mat guna batu lesung saiz kecil untuk tindih tapis tadi. Keesokkannya, anda cuci dan nak mudah cuci guna berus, pastikan anda guna berus plastik. Cuci hingga bersih, tak perlu dicuci sebiji2, anda cuci secara rawak sahaja, insya Allah ia akan bersih. Bila 3-4 kali hingga air jernih. Kemudian boleh lah kerat bahagian muncun siput tadi. Pastikan keratan dari senggan ke tiga dari atas. Kemudian cuci kembali. Anda kena berhati2, dan cedok dengan tangan siput tadi dan masukkan ke dalam tapis. Kalau anda tuang terus ke dalam tapis, dikhuatiri serpihan2 kulit siput akan terikut sama...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ kg siput sedut (kurang lebih)
8 - 10 tangkai kacang panjang
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
3/4 inci kunyti hidup
2 batang cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput sedut digaul dengan hampas kelapa, kemudian dibiarkan semalaman (pastikan anda letak dalam bekas, tutup dengan tapis atasnya dan tindih dengan pemberat, tak kesah lah batu bata ke lesung ke atau sebagainya). Keesokkan harinya, cuci bersih dan kerat pada senggan ke-3 dari atas. Nak mudah kerat guna player. Cuci bersih dan toskan. Kacang panjang dikerat pendek. Ketepikan.
  2. Masukkan siput ke dalam periuk bersama serai titik dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair. Kacau rata dan biarkan hingga menggelegak, tuang sedikit air jika perlu. Tambah asam gelugor, kacang panjang dan pati santan. Kacau perlahan.
  3. Masak dengan api kecil hingga mendidih. Kacau selalu. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan lauk2 lain..


Tuesday, May 13, 2014

APAM GANDUM GULA MELAKA...

rsz_apam_gula_melaka

Salam semua, hari ni che mat berkesempatan masukkan satu lagi entri. Bila masak petang, maka jadual waktu che mat agak berubah. Kenapa masak petang?..sebab bonda berpuasa maka che mat pun masak agak lewat. Tadi siang sambil2 kemas dapur, terbuat pulak apam gandum, kali ni guna melaka. Resipi asal dari Kak Yatie Memories, pakar buat kuih2 talam. Apam tepung gandum bukan sahaja enak dimakan bersama kelapa parut, malah dicicah sambal tumis pun sedap sangat. Seratus peratus menggunakan tepung gandum, takde letak2 tepung beras atau nasi. Kalau tak biasa buat, kadang2 ia meragam juga, che mat sendiri pun ada masa fill nak buat apam tembam yang gebu dan montok. Tapi yang ini alhamdulillah, menjadi dengan sempurna...

rsz_apam_gula_melaka1
Bersaiz agak besar, dan che mat kukus dalam loyang bulat bersaiz besar kurang lebih 12 inci. Kalau anda guna loyang 4 segi, guna saiz 10 inci x 10 inci x 3 inci. Kalau buat dalam acuan kecil, boleh dapat banyak. Perlu dikukus dengan api besar dan tutup kukus dibalut dengan tuala dapur bersih (tuala 'good morning'). Satu lagi kalau anda nak simpan, pastikan diisi dalam bekas kedap udara. Jangan dibiarkan terdedah, nanti apam jadi kering. Sebelum che mat share resipi, nak kasi satu tips menyimpan instant yeast. Anda boleh simpan dalam freezer untuk memanjangkan jangka hayat yeast tadi. Bila nak guna, keluarkan awal dan biar pada suhu bilik dan boleh digunakan. Jangan tak percaya, che mat buat macam tu lah dengan yeast yang tak habis digunakan. Jomm lihat resipi dan sekali lagi, terima kasih Kak Yatie..

BAHAN-BAHAN A :-)
1/2 cawan hirisan gula melaka
1/2 cawan gula pasir
2 cawan air
1 helai daun pandan, disimpul

BAHAN-BAHAN B :-)
11 gram instant yeast (mauripan)
1/2 cawan air suam
3/4 camca teh gula halus

BAHAN-BAHAN C :-)
4 cawan tepung gandum
1/2 cawan air
Secubit garam halua

Kelapa parut putih yang digaul dengan sedikit garam, untuk dimakan bersama apam.

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masak bahan2 A hingga gula larut dan mendidih. Biar sejuk, kemudian tapis. Dalam satu bekas, satukan bahan2 B, kacau rata hingga sebati dan biar 10 minit hingga bancuhan yeast berbuih2. 
  2. Masukkan tepung ke dalam bekas besar bersama secubit garam halus, kacau rata. Tuang bancuhan yeast, 1/2 cawan air dan air gula melaka tadi. Kacau rata dengan whisk hingga semua sebati dan licin. Perap 1 jam hingga adunan naik dua kali ganda.
  3. Panaskan kukusan, balut tutup kukusan dengan tuala dapur bersih. Lenser loyang berukuran 10 inci x 10 inci x 2 inci dengan sedikit minyak atau marjerin. Tuang adunan apam tadi, biar 10 minit, kemudian kukus dengan api besar selama 40 minit atau hingga masak.
  4. Uji dengan mencucuk lidi sate bersih dibahagian tengah apam, jika keluar bersih, tanda apam telah masak. Keluar loyang dari kukus dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong. Hidangkan bersama kelapa parut bergaram untuk minum petang atau sarapan pagi. Selamat mencuba!!


KERANG MASAM MANIS ALA THAI...

rsz_kerang_sweet_sour_ala_thai

Assalammualaikum, salam Selasa. Ok hari ni che mat masak awal, walaupun bonda masih dalam mood puasa. Takpe, kata bonda tak yah susah, masak awal pun ok, baik lahh. Dan resipi yang che mat masak amat2 mudah dan senang dan dah tentu sedap...hehe, sori eks, sebab mengaku sendiri. Apa nak buat, yea tak, memang dah sedap. Baru2 ni che mat beli kerang dan tadi ambik sikit isi kerang tadi dalam 1 1/2 cawan macam tu untuk dimasak masam manis ala thai. Kalau anda nak guna kerang segar, kemudian direbus dan ambik isinya pun boleh. Untuk dapat isi kerang sebanyak macam che mat sebut tadi, sekurang2nya 2 kilo kerang, itu pun kalau isi besar, kalau isi halos, kena lah lebih lagi. Tapi ini semua ikut anda la yea, cuma resipi yang che mat kasi ni untuk 1 1/2 cawan isi kerang segar.

rsz_kerang_sweet_sour_ala_thai1
Menu ini senang dimasak dan antara hidangan yang amat2 sesuai dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa. Kata lah anda tak makan kerang, toksah khuatir, boleh ganti dengan daging, atau pun isi ikan yang dipotong kiub, salut tepung dan gorengkan terlebih dahulu sebelum anda masak masam manis. Selain sedap dimakan bersama nasi, cicah roti pun bess, che mat suka. Perasan ada daun ketumbar?..memang perlu untuk membangkitkan rasa dan aroma, cuma ada orang tak suka kan bau dia yang kuat tu, jadi boleh saja diabaikan atau ganti dengan hirisan daun bawang...Kalau nak cuba, che mat sertakan resipi, seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan isi kerang segar (atau yang telah direbus)
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
6 biji cili padi hijau
6 biji cili padi merah
2 biji limau kasturi, perah jusnya
1 pokok kecil daun ketumbar, hiris
3 helai daun limau purut
1 batang serai, diketuk
2 camca besar cili kisar
3 camca besar sos cili Thai (che mat guna jenama 'LIFE')
2 camca besar sos Plum (che mat guna jenama 'LIFE')
1/4 cawan air
1 camca teh gula
Sos ikan secukup rasa
Sedikit daun ketumbar untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dala kuali, tumis bawang putih dan serai titik hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah sos cili thai, sos plum dan air, kacau rata.
  2. Tambah daun limau purut dan kerang, kacau rata. Masukkan bawang besar, cili padi, gula dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Kacau dan akhir sekali masukkan jus limau kasturi dan daun ketumbar yang dihiris tadi. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan daun ketumbar sebelum dihidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...Sedap dimakan panas...


Monday, May 12, 2014

PERIA KAMBAS TUMIS UDANG BERTAUCHO...

rsz_kambas_goreng_udang1
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Malam baru dapat masukkan entri, dah lah tu ini yang che mat masak semalam. Hari ni agak stress sungguh lah, sejak pagi tadi takde air, ok takpe lah, boleh guna air tangki, tu pun guna engine untuk pam air agar sampai ke semua saluran paip dalam dan luar rumah. Lepas tu tiba2 dalam jam 2 petang, tah de elektik pulak....haishh, sabar ajelah, kalau dah takde elektik maknanya engine pam air tak boleh guna dan jika tak boleh guna, secara rasmi air paip pun takde...pengsan leerr. Habis tu che mat tak masak ke?...Giler nko che mat gebu tak masak, dia tu kalau lah tak masak sehari, boleh pendek umur!!...huhu. Masak tetap masak, tapi yang biasa2 sia, jadi che mat malas lah nak ambik gambar. Peria kambas tumis udang bertaucho ni che mat rasa ok juga lah untuk entri blog. Nampak aje mudah, tapi ada gak yang tak reti masak atau mungkin tak makan sebab rasa peris kambas ni pahit. Dia tak pahat sangat, tapi lebih pada pahit2 lemak, kalau nak beli, pilih peria kambas kaler hijau muda.. Resipi memang mudah dibuat...kalau suka pedas boleh masukkan cili padi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji peria kambas saiz sederhana
20 ekor udang saiz XL
1 camca besar tauco
1/3 cawan air
1/2 camca besar sos tiram

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar saiz sederhana
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
1 kiub pati ikan bilis (MAGGI)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Peria dibelah 2, buang bahagian dalamnya, kemudian hiris nipis, rendam dalam air yang dicampur dengan sedikit garam. Rendam 15 minit, kemudian toskan. Udang dikupas kulit dan tinggalkan sedikit bahagian ekor (jika suka). Cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan sos tiram dan taucho. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tambah udang, kacau rata dan masukkan peria kambas, gaul rata2 dan tuang air. Kacau dan masak hingga peria lembut dan kuah pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng..

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.