BEN ASHAARI

Saturday, March 15, 2014

SUP AYAM SAMA KETUPAT NASI....

rsz_sup_ayan_sama_nasi_impit

Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat agak sibuk dan pagi tadi dah mula masak. Dalam masa yang sama juga untuk makan tengah hari, che mat buat sup ayam untuk dimakan dengan ketupat Nona. Ada yang rasa hairan bila che mat kata makan sup ayan sama ketupat, dan mereka ingat ia sama dengan soto. Macam sama tapi tidak sama. Sup ayam yang dimakan bersama ketupat atau nasi impit, lebih ringkas walaupun ia seakan2 soto tapi bahan2 ramuan untuk rempah berbeza dari soto. Tak salah kalau anda nak letak bahan2 pelengkap lain seperti begedil. Tapi che mat buat seringkas mungkin untuk sup ayam. 

rsz_sup_ayam_sama_nasi_impit1

Apa makna sup ayam tanpa sambal kicap, yea tak? Kalau kami di Negeri Johor, ia wajib ada. Selain untuk hidangan2 macam ni, sambal kicap turut disajikan sebagai pelengkap untuk makanan bergoreng seperti pisang goreng, keledek, sukun keladi dan sebagainya. Satu yang che mat suka mengenai sup ayam, selain boleh dimakan bersama ketupat, ia juga sesuai dimakan bersama mi hoon, mi kuning. kue teow atau pun makaroni. Cicah dengan roti pun sedap dan kalau tak nak, boleh makan macam tu saja. Amat sesuai untuk anda yang kurang sehat...ehemmm....Resipi campak2 aje sebenarnya, macam selalu....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1  ekor ayam (che mat guna ayam pencen), potong ikut suka dan cuci bersih, toskan
4 biji kentang, kupas, potong 8 setiap 1, rendam
1 bunjut sup tulang ADABI
1 camca besar bawang goreng
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
1 kiub pati ayam MAGGI (optional)
Air secukupnya
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 1/2 inci halia*
1/2 inci kunyit hidup*(*dikisar halus)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Ketupat, nasi impit atau mi hoon/mi kuning secukupnya
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Taughe, dibuang ekor, cuci dan toskan
Tauhu, digoreng dan hiris
Sambal kicap secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SUP AYAM :- Panaskan 3 camca besar minyak dalam periuk, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam dan gaul rata, masak sekejap. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), tambah sup bunjut dan lada hitam tumbuk. Kacau dan biar mendidih.
  2. Tambah kiub ayam (kalau guna), 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar. Kacau dan masukkan kentang, jika kurang kuah, boleh tambah air panas. Masak hingga kentang empuk. Tambah garam secukup rasa, masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SUP AYAM SAMA KETUPAT NASI :- Potong ketupat atau nasi impit secukupnya dan masukkan ke dalam mangkuk sesuai. Tuang sup ayam bersama isi2nya sekali. Hias dengan taugeh, daun sup, daun bawang, tauhu goreng dan hidangkan bersama sambal kicap....ehemm...
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda gunakan ayam pencen, masukkan kentang bila ayam empuk. Kalau guna ayam daging anda boleh masuk kentang seperti che mat tulis dalam resipi. Anda juga boleh tambah bahan seperti kacang tanah goreng, soo hoon goreng dan begedil jika suka....Selamat mencuba!!..

3 comments:

adda syuhada said...

sedap woooo....

RDZ Z said...

Bestnya Sup..tapi sambal kicap tu macam pedas aje..

Hariz said...

Ketupat? Kalau dengan nasi himpit pun sedap kan cik mat?

Ikhlas,
profhariz.com

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.