BEN ASHAARI

Wednesday, January 16, 2013

ROTI TELUR JEE....SEMUA ORANG BOLEH BUAT.

rsz_roti_telur
Malam semua, entri roti telur je untuk malam ni. Sebab benda senang, jadi nak story lebih sikit. Tadi pagi mat dengar Radio Sinar FM, ada sorang pemanggil ni minta pendapat Dr Fadzilah Kamsah, mengenai isteri beliau yang tak nak masak dengan alasan tak reti masak, walaupun sudah menikah hampir 10 tahun dan punya anak 4 orang. Pada pendapat mat lah kan, zaman sekarang ni tiada alasan macam tu dah. Memasak ni tidak lah susah mana, asal ada keinginan dan ia satu tanggungjawab isteri, walaupun suami digalakkan membantu. Mat sendiri perhatikan ada blogger2 yang rajin memasak bukan dari golongan suri rumah, sebagai contoh.. Dr Inahar, yang mat kenal sejak zaman MyResipi lagi dan juga Kak Ummi Kuantan, sekadar menyebut beberapa nama dan yang lain2 juga, semua tangkas di dapur, bukan setakat bekerjaya bagus, mantap dan berjawatan, tapi tetap bijak memasak. Air tangan isteri penting untuk memikat hati suami dan anak2 (...serius macam nak pengsan sebenarnya bila tulis mcm tu...tak percaya sungguh, mat gebu yang tulis!!).

Satu lagi, orang lelaki atau suami, bukan nak masakan yang taraf 5 bintang, yang biasa2 pun ok asal dimasak dengan penuh perasaan kasih sayang. Ibarat kata mak2 tua, 'cooking with your heart and soul'. Apa2 pun mereka yang berpengalaman lebih bijak, macam mat cuma dari pemerhatian saja. Yang penting kita mesti tau selera keluarga kita, terutama suami dan anak2 anda. Kalau tak pasti, apa salah bertanya pada mak mertua anda menu kegemaran suami atau belajar masak dari mereka. Tak perlu malu, sebab ini untuk kebahagian anda juga.. (sekali lagi aku pengsan, tulis macam ni!)..

Kita dilahirkan bukan terus jadi bijak, terus pandai, apa2 kemahiran sekali pun kena dipelajari, mat sebenarnya tak layak nak tulis benda2 ni, sebab mat sendiri bukan lah seorang insan yang pandai. Benda2 yang mat tau tak sikit banyak, dengan ikhlas mat kongsi di blog, dan ia sebagai panduan untuk mat sendiri dan mereka2 yang memerlukannya. Tak mengapa jika anda tak pandai masak, mulakan dengan resipi yang mudah dan senang. Kemudian tingkatkan pada kemahiran yang lebih bagus. Kita semua adalah sama..belajar dari orang yang lebih tau dan berkongsi ilmu yang kita tau dengan mereka yang perlu tau.....Terima kasih yea, sudi baca coretan che mat yang membosankan ini...takpe bagi mereka yang agak kurang mahir memasak, apa kata try buat roti telur untuk sarapan atau minum petang....Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping roti sandwich (mat guna roti pound dan hiris)
2 biji telur gred A
2 camca besar susu segar
Secubit garam
1/4 camca teh serbuk lada hitam
1 biji bawang besar saiz kecil, cincang halus
2 helai daun bawang, hiris halus
Sedikit minyak zaitun (atau minyak masak)
Sedikit mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, masukkan telur, susu, serbuk lada hitam dan secubit garam, kacau dengan garfu hingga semua sebati. Tambah bawang dan daun bawang, kacau rata. Panaskan non-stick pan, masukkan sedikit mentega dan sedikit minyak zaitun. 
  2. Celop roti dalam bancuhan telur, pastikan rata dan jangan celop lama2 sangat. Letak dalam pan. Buat kaedah saya untuk baki roti. Mat buat sekali 2 keping dan guna non-stick pan bersaiz 10 inci. Masak dengan api kecil hingga roti keperangan, kemudian terbalikkan dan masak sekejap lagi. Angkat dan hidangkan...
CATATAN MAT GEBU :- Mat cedok sedikit bawang dan daun bawang dalam bancuhan telur tadi dan tepekkan atas roti, kemudian kasi rata. Mat taburkan juga sedikit lagi lada hitam, sebelum diterbalikkan.  Buat kaedah yang sama untuk baki roti untuk mendapat hasil seperti dalam gambar...Selamat mencuba...


22 comments:

JIJI YU said...

pagi2 salu wat untuk bini..erk..silap2..untuk adik..

Mat Gebu said...

@ jiji - wahhhh....abang dan bakal suami mithali nihh....

Qarr Jalil said...

pergh..yang ni tak semua orang boleh buat ni..

da ada resipi boleh la buat..kehkehkeh

marr said...

Sokong 200%, huhum bagi saya masak ni about rajin ngan mim alif lam sim :)

Amin A. R said...

Betul la che mat....masak kena dari hati yg ikhlas dan penuh kasih sayang,lebih2 lagi utk org kesayangan.....tak tahu boleh belajar, dah tahu boleh perbaiki lagi... :)

Ana said...

Sangat setuju dengan coretan che mat...saya bersyukur sbb dulu kakak selalu paksa saya masuk dapur, masa tu umur belasan tahun, guna pulak dapur kayu...mmg berselerak la dapur kalau saya masak..

Jamilah Hussin said...

Thanks Che mat

wawalofa said...

Hahaha! Aku pun pengsannn 3 4 x che mat wehhh! After bace ayat2 fengsannn kau di atas!hahaha, lawak dan menghiburkan tulisan cmg ni! Pengsannn

Fadilah Aziz said...

Betul tu cik mat..saya setuju sangat, kalau dah kahwin ni takda alasanla isteri tak pandai masak sedangkan semua tu boleh belajar..

menarikla roti telur letak susu segar, saya buat biasa tak letak susu, bolehla cuba nanti:)

Rozuan Ismail said...

roti telur PCM lebih menarik untuk dimakan.hehe

Ayu Lah said...

grrrr..... walaupon hanya roti tp nampak sedap..

mrs kayrul said...

kekadang roti telur yg simple macam nie lagi berselera makan

MamaFaMi said...

Saya pula adalah dari golongan blogger surirumah yang tak rajin memasak. Cemana tuh? Ngeh ngeh ngeh....

Kaknab said...

sedap tu cik mad, kaknab selalu buat kat rumah,sebab simple dan sedap.

Sukma Haron said...

less is more...sedap roti telur nie...letak cili lagi sodap...

FaiselMY said...

Masalah saya, org umh saya ni rajin sgt msk.. Hari2 jenguk blog2 mskn. Blog c.mat ni opkosla wjib dia bc hari2. Rajin sungguh cuba resepi baru. Kek biskut segala dessert. Tp suaminya ni nk kna makan nasi. Nk telan kek dessert hari2 kna kencing manisla jwpnya!

Deja Salleh said...

Salam Che Mat.

Mula-mula izinkan saya bercerita sedikit tentang diri saya.
Saya merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Saya kini menetap di luar negara kerana mengikut suami yang menyambung pelajaran. Tahun ni sudah masuk tahun keempat saya meninggalkan tanahair. Hujung tahun 2011 lalu hidup kami suami isteri diserikan dengan kelahiran anak sulung kami. Saya sangat suka dan setia mengikuti blog Che Mat. Masakan dan gaya persembahan Che Mat pada saya amat menarik. Gaya penulisan Che Mat juga adalah menghiburkan dan seringkali mencuit hati saya. Setiap hari saya akan cuba buka dan baca blog Che Mat. Kadangkala atas tujuan sekadar mengisi masa lapang, kadangkala untuk mencari idea memasak.

Kehidupan kami di luar negara adalah amat berbeza dengan kehidupan di Malaysia. Di sini pilihan untuk makan di luar adalah amat terhad disebabkan faktor makanan halal. Sejak kami berpindah di sini, setiap juadah yang kami makan adalah hasil air tangan saya sendiri. Saya memasak setiap hari untuk santapan suami dan diri saya. Malah makanan untuk putera kami juga saya sendiri yang sediakan kerana pada saya puri sayur-sayuran yang dibuat sendiri adalah lebih menyihatkan dan berkualiti daripada makanan bayi yang siap dibeli. Segala yang saya buat adalah dengan ikhlas dari hati dan penuh kasih-sayang.

Tapi saya terpanggil untuk menulis sedikit komen pada pos Che Mat kali ini.

(bersambung)

Deja Salleh said...

Saya hormati pandangan Che Mat tapi saya tidak bersetuju apabila Che Mat menulis yang memasak adalah tanggungjawab seorang isteri. Pada saya ini ialah salah faham masyarakat, khususnya kaum Melayu, yang paling besar. Sebagai seorang Islam kita wajib faham tentang tanggungjawab masing-masing terutama sekali dalam hubungan suami isteri. Tanggungjawab menyediakan makan minum dan tempat tinggal adalah wajib bagi suami terhadap isterinya. Tidak pula disebut dalam mana-mana ayat Al-Quran yang suami hanya wajib menyediakan bahan mentah makanan untuk isteri, dan kemudiannya isteri pula wajib memasak makanan tersebut. Sudah ramai para ulama dan bijak-pandai agama tersohor negara mengatakan yang menyediakan makanan untuk keluarga adalah tanggungjawab suami. Tetapi jika tanggungjawab ini dipikul pula oleh isteri ganjaran pahala untuk isteri tersebut adalah besar. Jadi jika sesuatu pekerjaan itu adalah dibuat atas dasar toleransi, perkara tersebut (dalam konteks ini memasak) tidak secara automatik menjadi tanggungjawab.

Alhamdulillah saya dikurniakan oleh Allah seorang suami yang cukup sempurna pada mata saya. Beliau tidak pandai memasak tapi setiap kali kami duduk untuk makan, sebelum mengambil suapan yang pertama lagi, suami saya akan ucapkan terima kasih kerana saya memasak untuknya. Kalau pada kali itu saya tidak masak tapi sekadar memanaskan sahaja lauk yang ada lebih pun, suami saya ucapkan juga terima kasih kerana memanaskan lauk. MasyAllah, geli hati pun ada! Setiap kali semasa dan selepas masak suami saya akan bantu mencuci pinggan bila ada kelapangan beliau berada di rumah. Tapi saya rasa tak keterlaluan jika saya katakan tidak semua suami seperti ini.

(bersambung)

Deja Salleh said...

Pada saya apabila seorang itu tidak memasak ini adalah kerana padanya memasak itu adalah pekerjaan yang berat. Dimana keadaan asal adalah setiap pinggan mangkuk dan periuk belanga yang sudah elok bersih terlangkup dan kemas tersusun, hendak dikerjakan sehingga pinggan mangkuk dan periuk belanga tersebut kembali pada keadaan asal tadi. Masuk pula kerja menyediakan bahan mentah untuk memasak. Bawang-bawang,sayur-sayuran dan rencah lain perlu dikupas dan dicuci. Begitu juga bahan mentah seperti ikan, daging atau ayam. Kemudian berpanas mengadap dapur dan api yang panas. Setelah itu pula mencuci dan mengemas kembali pinggan mangkuk dan periuk belanga tadi. Ini adalah salah satu sebab mengapa seseorang itu tidak suka memasak dan akan diterangkan pula dalam faktor seterusnya iaitu minat.

Setiap manusia adala berbeza dari sudut minat dan pilihan peribadi. Sesetengah orang minat memasak, sesetengah lagi minat menghias rumah, berkebun bunga di halaman rumah, membaca, melancong atau lain-lain aktiviti. Jadi apabila seseorang itu tidak minat memasak maka dia tidak akan memasak sepertimana orang yang tidak minat menghias rumah/berkebun bunga/ membaca/melancong dan sebagainyatidak akan melakukan aktiviti-aktiviti tersebut.

(bersambung)

Deja Salleh said...

Faktor ini tidak ditentukan langsung oleh isu kerjaya. Di sini saya ada seorang kenalan. Beliau merupakan seorang wanita "mat salleh" tulen, matanya biru dengan rambut berwarna kuning keemasan. Merupakan graduan kejuruteraan mekanikal dari sebuah universiti barat yang tersohor. Kini bertugas sebagai seorang jurutera di sebuah kilang yang mengeluarkan kertas membakar ("baking parchments"). Di sini kita lihat kerjaya beliau adalah bukan kerjaya tipikal untuk seorang wanita. Tapi beliau amat minat memasak. Katanya memasak baginya adalah satu "passion". Memetik kata-kata seorang lagi kenalan kami "to even just watch her cook is pleasure in itself." Minat beliau memasak membawanya menjuari pertandingan memasak yang mana peserta lainnya adalah terdiri dari chef-chef yang terlatih dalam ilmu masakan. Jadi apa yang hendak saya tekankan di sini ialah melalui minat segala yang sukar akan jadi mudah. Tapi tanpa minat tiada yang akan menjadi. Wanita yang disebut di sini seorang jurutera yang minat memasak. Terdapat wanita lain yang pekerjaannya jururawat, guru atau eksekutif tapi dengan minat lain contohnya mendaki gunung, menari atau mendalami seni mempertahankan diri.. Pada saya adalah tidak adil untuk kita menghakimi seseorang itu atas minatnya. Perempuan yang tidak minat memasak automatik kita cop malas. Setiap manusia ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.

(bersambung)

Deja Salleh said...

Tambahan lagi apabila seorang perempuan tidak minat/jarang memasak, mereka biasanya rendah diri dengan kualiti masakan mereka. Lagipun percanggahan berlaku bila cara memasak dan citarasa masing-masing adalah berbeza. Contohnya si suami yang berasal dari utara lebih biasa dengan masakan yang banyak menggunakan santan kelapa seperti masak lemak atau kari walhal tekak isteri yang berketurunan jawa mungkin lebih cenderung kepada lauk yang cair-cair seperti masak kukus ikan atau sup sayur. Keadaan ni diburukkan lagi apabila dikomen pula masakannya itu "kureng ni yang, cuba la buat macam mak abang masak" atau "tak cukup manis/masin/lemak/lembut/keras ni". Dalam erti kata lain, sudahlah isteri berpenat-lelah membuat sesuatu yang dia tidak suka, jauh sekali nak ucap terima kasih malah kena "condemn" pulak!

Dikatakan wanita perlu pandai memasak untuk mengambil hati suami. Tapi tidakkah perlu suami juga mengambil hati isteri untuk menjamin keharmonian rumahtangga? Tanpa mengira latar belakang, seseorang wanita akan mendambakan hidup yang bahagia dan mewah di samping suaminya. Seorang gadis dari keluarga susah atau sederhana akan mengharapkan hidupnya senang bersama suami kelak. Gadis dari keluarga berada juga mahukan yang sama. Tidak akan ada seorang perempuan yang berniat mahu hidup susah atau sederhana sahaja selepas mendirikan rumahtangga. Tapi berapa ramai suami yang sanggup berusaha keras untuk memastikan isterinya hidup senang-lenang? Biaanya seorang suami, bila isteri bandingkan hidupnya dengan wanita lain yang lebih tinggi status kewangannya kerana suami wanita tersebut bergaji dan berpangkat besar akan menyatakan sebab lelaki tersebut berpelajaran tinggi. Jadi kenapa tidak semua lelaki mengejar pelajaran tinggi untuk memastikan pulangan kewangan yang besar untuk selesakan kehidupan isteri mereka? Biasanya isteri akan terima tahap di mana suami mereka berada. Yang mana tidak cukup isteri juga turut keluar mencari duit tambahan membantu suami. Jadi tidak adil bila suami dan masyarakat mengharapkan isteri berusaha memperbaiki diri sedangkan suami itu sendiri selesa di takuk lama.

(bersambung)

Deja Salleh said...

Saya mohon maaf atas komen yang panjang meleret-leret ini. Tapi pada saya sudah sampai masa masyarakat, khususnya kaum Melayu mendidik diri mereka. Belajar dan kaji pendapat dari pihak yang lagi satu. Jangan asyik nak cop dan “condemn” orang lain bila praktis kita tidak sama. Dalam serba sudut baik peribadi atau professional perlu ada "give and take". Tanggapan kuno masyarakat yang mana wanita/isteri perlu rajin dan pandai memasak untuk menjamin rumahtangga yang harmoni adalah racun dalam kehidupan moden masa kini. Tak salah jika suami yang memasak untuk isteri dan anak-anak dan tidak salah juga jika seorang wanita menegakkan pendirian “saya tak minat memasak, saya ada minat lain”. Kita perlu hormati pilihan dan gaya hidup masing-masing. Tidak tepat apabila kita mudah menuduh orang lain malas semata-mata kerana cara mereka hidup tidak seperti cara kita atau cara yang lazimnya. Kita mungkin sudah biasa dengan budaya yang di depan mata kita. Tapi jika kita ada peluang merantau dan belajar tentang budaya luar, sesetengah perkara yang mengenengahkan konsep timbang-rasa dan toleransi boleh lah kita ambil iktibar untuk keharmonian hidup kita.

Sekian buat kali ini.
Saya ucapkan tahniah pada Che Mat atas blog Che Mat yang amatlah best ini!
Saya akan terus membaca dan mengikuti blog Che Mat.
Wassalam.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.