BEN ASHAARI

Sunday, July 8, 2012

GULAI JANTUNG PISANG

rsz_dsc_4592

Salam semua, dah makan?. Hari ni mat masak lauk kampung. Gulai jantung pisang atas permintaan. Untuk mat ada menu lain. Mat guna tulang ikan kurau masin yang masih ada daging. Rendam dulu bagi mengurangkan rasa masinnya (mat rendam 40 minit). Kali ni mat guna jantung pisang nipah, saiz agak besar dan sebab tu guna sebiji saja. Kalau jantung pisang hutan juga sedap. Resipi ni mat tak celur dulu jantung tu, tapi terus dimasak dengan rencah dan juga santan kemancar (santan cair) sampai jantung pisang lembut. Kalau tak suka tulang ikan kurau masin, boleh juga letak ikan bilis tamban. Jantung pisang kalau dimasak kari, dibuat kerabu atau goreng pun sedap, ada mat nampak di blog masak2, jantung pisang digoreng garing seperti kerepek. Ok kita semak resipi...Jommmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji jantung pisang nipah (kalau kecik guna 2 biji)
4 - 5 kepingan tulang ikan kurau masin yang masih berdaging, rendam
1 keping asam gelugor
2 batang serai, dititik
1 kuntum bunga kantan, belah dua
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung yang hijau
1 inci kunyit hidup
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 genggam ikan bilis, bersihkan dan rendam sekejap, toskan
2 biji buah keras

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Jantung pisang dibuang kulit luarnya hingga jumpa bahagian yang cerah dan lembut. Cuci, belah 4 dan potong kecil. Masukkan ke dalam periuk bersama serai titik, asam gelugor, bahan kisar halus dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga jantung 1/2 masak.
  2. Tambah tulang ikan masin kurau dan masak sekejap lagi. Masukkan pati santan dan bunga kantan. Kacau dan biar mendidih dengan api sederhana hingga jantung pisang masak. Letak sedikit gula dan rasa dulu, jika garam sudah terasa, tak perlu tambah garam lagi. Jika tawar, anda tambah garam secukup rasa. Hidangkan bersama nasi panas...

4 comments:

Encik Zaharin said...

aku panggil jantung pisang ni as "bunga pisang" tapi memang sedap masak lemak mcm pcm masak ni..lagi2 taruk ikan masin kurau...walaweh

Eny Yusnizar said...

menggoda betul lah mmg suka sgt.. kdg mak saya campur dgn buah pisang sekali.. eheheh.
Psstt i love lah mangkuk kayu tu... mana nak cari ek ;)

Sari Yusa Ibrahim said...

sedapnyaaaaaaa... Cik Mat. Sambal belacan mesti tak tinggal, kan..


P/S : Cik Mat, jom pegi Restoran Rebung, nak???

Nitesky said...

Letak ayam boleh tak?

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.