Assalammualaikum, salam semua. Lama juga kan che mat tak buat kek. Bila dah banyak umur ni, makanan2 manis kenalah kurangkan, risau nanti gula naik. Tapi ada masa termengidam juga nak makan benda2 manis terutamanya kek. Hari ni che mat saja2 lah buat kek chiffon gula melaka. Kira ni kek citarasa orang Malaysia. Dalam blog tiffinbiru ada beberapa jenis resipi kek chiffon, tapi yang paling kerap che mat buat dah semestinya kek chiffon pandan. Seperti sedia maklum, kek chiffon ni salah satu jenis kek span yang lembut dan gebu. Tidak menggunakan mentega atau majerin tetapi diganti dengan minyak jagung. Kalau terdesak, guna minyak kelapa sawit pun boleh, menjadi juga. Tapi kebiasaan yang kita tau, kek chiffon menggunakan minyak jagung. Buatnya taklah susah sangat dan in sha Allah kalau kita ikut cara dan teknik yang betul, pasti menjadi dengan jayanya.
Satu tips atau petus untuk menghasilkan kek chiffon yang elok, telur mesti yang segar, atau sekurang2nya telur tu tak masuk angin. Che mat biasanya gunakan telur gred A, dan telur mesti berada pada suhu bilik, kalau yang simpan dalam peti sejuk tu, keluarkan awal2 sebelum kita buat kek. Kek ni sepatutnya dibakar dalam tin chiffon berukuran 8 inci, tapi che mat malas nak cari dalam bilik stor, aku guna ajer yang saiz 9 inci, makanya kek dia agak rendah. Kalau guna tin 8 inci, kek jadi tinggi dan cantik. Satu lagi, gunakan gula melaka yang berkualiti, kalau boleh yang origanal, jangan guna gula melaka yang dah dicampur dengan gula pasir, aroma dia kurang, dah lah tu manis dia pun lain macam. Bagi mereka yang ada kelapangan waktu tu, boleh lah mencuba, resipi che mat tuliskan kat bawah ni...
BAHAN-BAHAN A :-)
90 gram gula melaka asli, dihiris halus
70 ml air
1 helai daun pandan, dikerat kecil
4 kuning telur, gred A
100 gram tepung gandum*
1/4 camca teh baking powder*
20 gram serbuk santan*
Secubit garam halus*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
60 ml minyak jagung
BAHAN-BAHAN B :-)
4 putih telur gred A
30 gram gula halus
1/4 camca teh cream of tartar
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan oven pada suhu 170C, sediakan acuan kek chiffon berukuran 8 inci (che mat guna saiz 9 inci), jangan di sapu dengan minyak atau mentega, biarkan macam tu sahaja. Sementara itu gula melaka, air dan daun pandan dimasukkan ke dalam periuk, masak dengan api kecil hingga gula melaka larut, sejukkan dan tapis, ketepikan.
- Putar kuning telur hingga pucat, masukkan air guna melaka yang telah sejuk tadi, putar hingga sebati. Masukkan minyak jagung dan putar lagi. Tambah tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit hingga habis, sambil digaul hingga rata. Ketepikan.
- Dalam mangkuk kering dan bersih, masukkan putih telur, putar dengan kelajuan tinggi hingga berbuih, Masukkan cream of tartar dan gula sedikit demi sedikit hingga habis. Putar hingga putih telur kembang dan kental.
- Ambil 1/3 bahagian putih telur dan gaulkan dengan adunan kek, guna kaedah kaup balik untuk mengadun. Tambah lagi 1/3 bahagian putih telur, gaul hingga rata dan seterusnya habiskan baki putih telur, buat kaedah yang sama juga. Kacau hingga rata tapi pastikan jangan terlebih kacau.
- Tuang dalam acuan kek chiffon, ratakan dan bakar kurang lebih 40 - 45 minit atau hingga masak, bergantung pada oven masing2. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bersih atau cake tester, jika keluarnya bersih, tanda kek dah masak.
- Keluarkan dari oven, dan terbalikkan atas jaringan. Biar hingga kek sejuk dalam keadaan terbalik. Kemudian boleh sisip bahagian tepi kek dengan pisau tajam untuk keluarkannya dari acuan. Jangan lupa sisip juga bahagian tengah dan bawahnya. Boleh dipotong dan hidangkan. Selamat mencuba!
2 Comments
sedapnya kek chiffon.Tapi tak berapa reti nak buat 😂.skill tu tak ada.
ReplyDeleteAssalamualaikum En Mat,
ReplyDeleteSaya nak minta resipi kek chiffon ini yer,
Tolong halalkan yer jika saya masak dan makan nanti