RESIPI BOTOK-BOTOK JOHOR

Assalammualaikum, salam semua. Jenuh che mat nak update blog, internet punyalah perlahan. Biasalah kan kat kampung ni harapkan streaymx ajer tu pun 1 mps ajer, tak boleh nak upgrade pada kelajuan yang lebih tinggi, bila call orang TM, dia kata port kawasan encik memang tak support untuk kelajuan yang lebih tinggi....hmm, sabar ajer lahh, dia orang tu kalau bab duit nombor 1, kalau hal2 gini, alasan dia berlapis2...meluat pun ada juga, haish. Tak pasal2 dari entri masak2, jadi entri lepas geram pulak. Hari ni che mat buat botok-botok, menu klasik orang Johor. Perancangan nak buat ni sebenarnya dah 2-3 hari juga, cuma kesungguhan tu belum datang. Pagi ni paksa rela juga lah buat, alhamdulillah terlaksana dah. Botok-botok kali ni guna ikan kembong, ikan lain semua habis dah. Orang Johor suka guna ikan tenggiri atau parang, bila buat botok-botok. Walaupun dah beberapa kali che mat kongsikan resipi botok-botok dalam blog ni, tapi yang ni ada sedikit berbeza terutama bahan2 dalam rempahnya. Nak tau apa dia, nanti boleh semak kat bahagian bahan2nya...

Dan hari ni, che mat gunakan kurang lebih 12 jenis ulam2man dan herba sebagai pelengkap botok-botok. Cuma daun puding teh belanda ajer yang takde. Satu lagi, che mat guna pucuk mengkudu biasa, kalau  dapat guna pucuk mengkudu Belanda, lagi sedap. Pokok mengkudu Belanda tu kalau nak tau, pokok dia banyak ditanam di tepi2 jalan raya, yang daun dia kaler hijau muda terang. Bagi penggemar makanan botok-botok ni, ulam2man tu yang sebenarnya lebih sedap dari ikan. Nak2 bila rempah2 dia dah sebati dengan ulam2 tadi, ishh tak boleh nak ceritalah sedap dia, kena pulak dengan nasi panas. Tak toleh kiri kanan dah makan, tunduk sopan ajer mengadap nasi. Daun2 yang diguna pakai dalam botok-botok, semuanya mengandungi khasiat yang tersendiri. Bijakkan orang dulu2 mempelbagaikan ulam2man...

Resipi yang akan che mat kongsikan ini akan menghasilkan kurang lebih 4 bungkus botok-botok bersaiz agak besar dan muai dengan ulam2mannya. Cara membungkus tu terpulanglah, kalau nak nampak kemas boleh buat macam che mat, kalau nak cepat, kau bungkus macam orang buat kuih lepat pisang tu pun boleh, janji masa kukus isi dia tak terburai keluar. Ini resipi tradisional, jadi takde short cut lah yea, kena ikut satu2, tapi part rempah dia tu, kalau nak sediakan awal2 pun boleh, kendian simpan dalam peti sejuk. Ok, jomm semak resipi..

BAHAN-BAHAN PES REMPAH BOTOK-BOTOK :-)
2 camca besar penuh rempah kari ikan Baba's
2 camca besar kelapa parut putih, kisar halus
2 camca besar kerisik
1/2 camca besar pes asam jawa
2 camca besar cili kisar
1 cawan pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
3 batang serai, hiris
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
Belacan, sebesar ibu jari
1 camca teh lada sulah biji

BAHAN-BAHAN ULAM, RUJUK PADA GAMBAR DI ATAS :-)
1- Daun kesom
2- Daun puding mangkuk
3- Pucuk ubi
4- Daun puding belacan
5- Pucuk betik
6- Pucuk bebuas
7- Daun cekur
8- Daun selasih
9 - Pucuk mengkudu
10-Daun kunyit
11-Daun kaduk
12-Daun limau purut

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
2  ekor ikan kembong saiz besar, disiang, cuci bersih dan kerat 2 setiap 1
Daun pisang secukupnya, dilayur atas api hingga lembut
Lidi sate atau lidi pecungkil gigi, secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK REMPAH BOTOK-BOTOK :- Satukan bahan2 kisar halus dengan kesemua bahan2 rempah untuk botok2, kecuali santan, garam dan gula. Kacau semua hingga rata. Panaskan kuali, seelok2nya guna kuali non-stick, masukkan 4 - 5 sudu besar minyak masak dan tumis rempah tadi hingga wangi dan naik minyak. Guna api sederhana dan kacau sentiasa. Masukkan santan, dan terus memasak hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan dan bahagikan kepada 4 bahagian sama banyak. Ketepikan
  2. UNTUK BAHAN2 ULAMNYA :- Kesemua daun2 tadi dicuci dan toskan hingga betul2 kering. Asingkan pucuk ubi, pucuk betik,pucuk mengkudu dan daun selasih. Daun2 selebih dihiris seperti kita membuat bunga rampai. Daun2 tadi dibahagikan kepada 4 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. UNTUK MEMBUAT BOTOK-BOTOK :- Panaskan kukusan. Ambik sehelai daun pisang anggaran saiznya 14 inci x 14 inci. Susun pucuk ubi, pucuk betik, daun seladih dan pucuk mengkudu. Sudukan 1/2 bahagian rempah (dari 1 bahagian yang dibahagi 4 tadi). Letak sepotong ikan atasnya. Ratakan baki rempah dan taruk daun2 yang telah dihiris, kemaskan dan bungkus dengan daun pisang. Jika suka boleh kemaskan dengan sehelai lagi daun pisang dan selitkan dengan lidi (boleh rujuk pada gambar di atas). Buat kaedah sama untuk baki bahan2 hingga siap. Kukus atas air mendidih selama 25 minit dan siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Oooo... macam otak-otak ikan jugak la ni. Ok nanti nak cuba la resepi ni.. Menarik!

    ReplyDelete

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.