RESIPI RENDANG ITIK CILI API

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak itik, ha ah wak, itik gembo2 yang jalan gedik2 tu. Che mat jarang masak itik, rasanya baru 2 atau 3 kali ajer masak itik. Tak semua orang suka makan itik, ada yang tak biasa dengan bau daging itik yang dikatakan agak hamis. Tapi, kalau itik bela yang diberi makanan sesuai, in sha Allah daging itik tak hamis. Kalau itik liar tu faham2 saja lah, habis longkang2 dan parit2 dia sudu, pantang jumpa becak, menonong ajer dia pergi. Itik pun ada yang saiz kecil, yang tu isi dia kurang, kalau nak isi banyak kena beli itik serati, saiz itik pun memang besar. Bahagian belakang itik tidak ada isi, kalau perasan, itik kan agak rendah, tapi bahagian kiri dan kanan badan itik, banyak isi terutama di bahagian dada dan peha. Kebiasaannya itik paling elok disalai dulu sebelum dimasak dan rasa dia lagi sedap dan wangi. Macam che mat guna ini, itik yang telah siap disalai. Tinggal kita potong cuci dan masak....

Daun apa pulak kat atas ni? Kalau nak tau, ini lah pokok puding belacan, daun dia boleh dicampur dalam rendang. Kalau taruk dalam botok2 ikan pun sedap. Puding belacan ni bila dah masak, ia akan berubah warna jadi gelap. Che mat ada tanam kat belakang rumah, tapi pokok dia kurang baja dan kena serangan serangga perosak. Tadi petik bahagian pucuk dia saja, dapatlah sikit untuk dicampur dalam rendang itik. Tapi yang ni optional, tak taruk pun takpe. Selain puding belacan, rendang itik jugak sedap dicampur dengan daun maman atau daun pegaga. Biasanya orang Negeri Sembilan yang suka rendang gaya gini. Oh, yea nak tau mana che mat dapatkan itik salai tu, jangan lupa ke IG che mat  DI SINI, kat sana ada alamatnya... Ok, jomm kita tengok resipi rendang itik cili api...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor itik yang telah siap disalai, anggaran berat 1.3 kg
Secukupnya pucuk puding belacan (optional, tak taruk pun takpe)
3 helai daun kunyit, dihiris halus
2 keping asam gelugor
1 liter santan pekat dari 3 biji kelapa
1 camca besar penuh kerisik
Garam secukup rasa
Santan cair secukupnya (anggaran 1 - 2 cawan)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
25 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci kunyit hidup, pilih kunyit hidup yang tua
1 inci lengkuas, hiris
8 batang serai, hiris halus
3/4 cawan cili padi kampung, che mat guna yang merah dan hijau

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Itik dipotong kecil, cuci, toskan airnya dan masukkan ke dalam kuali bersama2 bahan kisar halus, gaul hingga rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan pekat, kacau dan masak hingga itik empuk. Jika masih keras, tambah santan cair.
  2. Masukkan asam gelugor, kerisik dan sedikit garam. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga rendang pekat. Rasa, jika kurang masin, baru ditambah sedikit lagi garam. Masukkan daun puding belacan, dan gaul rata. 
  3. Bila rendang kering sedikit, boleh masukkan hirisan daun kunyit. gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan rendang itik dengan lemang, pulut kuning atau nasi putih. Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.