RESIPI ACAR IKAN TAHAI

rsz_ait (1)
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat kongsikan dengan anda satu resipi yang sesuai untuk disajikan pada bulan Ramadan nanti. Resipi acar ikan tahai ini asalnya guna ikan masin, tapi che mat tukar guna ikan tahai. Ikan tahai ialah ikan tamban yang disalai. Terima kasih pada YM Tunku Zahra Mahmood atas kiriman tempoh hari. Sebelum che mat bikin acar, terlebih dahulu che mat rendam ikan tahai ini semalaman. Kemudiam dibelah dan buang tulang tengahnya. Oleh kerana ikan ini agak keras, che mat sedikit dan direndam sekali lagi dengan air panas. Jika susah nak dapat ikan tahai, boleh ganti dengan ikan masin talang atau ikan masin kurau. Tapi anda kena goreng terlebih dahulu sebelum dibikin acar. Sebelum che mat tuliskan resipi, al-fatihah untuk pemberi resipi asal, arwah Noreen Noor....

BAHAN - BAHANNYA :-)
15 ekor ikan tahai salai (atau boleh guna 300 gram isi ikan masin kurau atau talang)
10 - 12 biji bawang merah kecil (bawang rose)
10 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari, dilurut
2 camca besar cili kisar
8 biji cili padi merah
8 biji cili padi hijau
2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh gula pasir
4 camca besar cuka makan JALEN
Garam secukup rasa
1 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar (saiz sederhana)
1 inci halia
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
1 1/2 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis (kasar)
1 camca teh jintan putih (halus)
1 camca teh biji sawi
1/2 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tahai salai direndam semalaman, kemudian buang tulang tengahnya dan belah 4 (che mat potong lagi 2 setiap 1 sebab saiz ikan agak besar). Rendam lagi 30 minit dengan air panas. Ketepikan sementara kita siapkan bahan2 yang lain. Bahan2 rempah disangrai atau goreng tanpa minyak hingga harum, tumbuk atau kisar hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/2 cawan. Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan daun kari dan cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Tambah rempah yang telah dikisar halus tadi. Kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil.
  3. Masukkan gula melaka, gula pasir dan cuka makan. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan ikan tahai (toskan airnya), tambah air, kacau dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan bawang merah, bawang putih dan cili padi. Perasakan dengan garam secukupnya, kacau dan masak hingga bawang lembut dan acar pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain...

Post a Comment

2 Comments

  1. pertama kali dengar nama ikan ini. macam best je.

    ReplyDelete
  2. kalau guna ikan masin perlu rendam semalaman jugak ke cik mat?
    bawang merah tu tak perlu hiris or potong ke? masukkan sebiji2 macam tu ke?
    maaf, saya tak pernah buat acar

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.