KEK PISANG LEMBAB BERKEJU...

rsz_banana_cheese_cake
Assalammualaikum, salm Rabu. Sebenarnya che matdah tulis sikit entri ni malam tadi, tapi mata pulak mengantuk sangat2 macam kena pukau aje. Jadi hari ni terpaksa ku delete yang malam tadi punya dan tulis semula, agar ia lebih relevan untuk hari baru. Kisahnya semalam, che mat agak bosan gak lah kat rumah. Terpandang pisang yang sedara che mat beri, dah cukup masak ranum. Nak bikin cekodok rasa malas sangat, jadi kita bikin kek pisang. Ini resipi mudah, dan sesuai bagi mereka2 yang tak makan mentega, sebab guna minyak jagung saja (kalau takde minyak jagung, ganti dengan minyak masak pun boleh, jangan guna minyak enjin sudah lah yea..kang terbaring di ward ICU, che mat tak bersalah ok!). Kalau anda nakkan kek yang lebih lemak, anda boleh gantikan minyak jagung dengan mentega cair, boleh letak 1/2 bahagian mentega cair dan 1/2 bahagian minyak jagung...

rsz_banana_cheese_cake1
Untuk mencari kelainan, che mat masukkan 1/2 cawan parutan keju cheddar. Bertambah2 lah kesedapannya...ehemm. Kalau anda simpan satu hari dan makan keesokkannya, bertambah lembut, lembab dan lunak. Pastikan simpan dalam bekas bertutup. Che mat guna acuan bundt-pan atau acuan bulat berlubang tengah. Acuan istimewa ini pemberian Kak Azlita Masam Manis dan amat2 cantik corak pokok bunga tulip. Anda boleh guna acuan bulat berukuran 9 inci. Dan jika anda guna acuan biasa, anda juga boleh taburkan parutan keju cheddar atas kek tadi. Sebab che mat guna acuan bundt-pan, jadi tak payah tabur. 

acuan kek pisang
Sebelum che mat tulis resipi, satu lagi nak pesan, kalau anda guna acuan seperti dalam gambar atau sebarang acuan bewarna hitam, sila turunkan suhu antara 10c - 15c dari suhu yang disyorkan dalam resipi (contohnya kalau suhu dalam resipi 180C, anda turun pada 170C atau 165C). Sebabnya, acuan warna hitam menyerap haba lebih tinggi dari acuan aluminium biasa dan ini akan menyebabkan kek anda cepat gelap tapi dalamnya masih tidak cukup masak. Ok, jika nak mencuba, che mat kongsikan resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung gandum*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh garam halus*(*digaul rata dan diayak)
1/2 cawan parutan keju cheddar
5 biji telur gred A
120 gram gula perang (soft brown sugar)
15 gram ovallate (kurang lebih 1 camca besar rata)
225 gram pisang emas, 
3-4 titik perisa pisang (atau boleh guna esen vanilla)
225 ml minyak jagung (boleh guna mentega cair, jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C (sebab che mat guna acuan warna hitam, che mat guna suhu 160C). Lenser acuan dengan mentega hingga rata. Lecek pisang bersama perisa pisang atau esen vanilla hingga hancur. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk adunan, gaul perang dengan ovallate hingga sebati. Masukkan telur (kesemua sekali). kemudian putar hingga rata. Tukar pada kelajuan tinggi dan putar hingga adunan kembang dan pekat seperti adunan kuih bahulu. 
  3. Sederhanakan kelajuan, masukkan pisang lecek dan putar rata. Masukkan tepung yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis. Tambah parutan keju dan putar rata. Akhir sekali tuang minyak jagung, gaul rata dengan spatula. 
  4. Tuang dalam acuan dan ratakan. Bakar selama 45 - 50 minit atau hingga masak. Uji dengan lidi sate bersih dan cucuk bahagian tengah kek. Jika keluar bersih, tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari acuan. Sejukkan sepenuhnya kek atas jaringan. Boleh hidangkan..

Post a Comment

2 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.