rsz_paceri_nenas_ala_johor
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Dah makan tengah hari?..Cm cuma sempat masak yang ringkas saja hari ini. Bak pun tak berapa sehat dan masuk 4 hari demam, nampak macam dah ok, cuma tak berapa nak kuat sangat, selera makan pun agak kurang..hmmm, apa2 pun moga cepat sembuh hendaknya. Lama juga cm tak buat pejari nenas. Kebetulan masa berbelanja barang basah tempoh hari, cm dapat sebiji nenas percuma. Jadi ku buat pajeri nenas, mudah2an siapa yang tekak tak berapa nak ok, boleh terima. Pajeri nenas ala Johor ni mungkin sama juga dengan resipi anda, tapi yang ini cm dapat resipi dari orang2 dulu kala, dah arwah pun nenak tu (al-fatihah), moga ilmu yang arwah kongsi bersama memberi manfaat padanya... Insha Allah. Kerap juga cm buat dulu. Pajeri sesuai dimakan bersama sebarang nasi berperisa seperti nasi beriani, nasi minyak dan lain2 lagi. Kalau anda perasan pejari juga ada pelbagai, ada yang guna terung, buang mangga dan juga kedondong. Ada satu lagi jenis pajeri yang kurang lebih macam acar, diberi nama pajeri bombay. Dari mana dapat nama 'pajeri' tu sendiri cm kurang pasti. Anda tau?..boleh share..dan entri pilihan DTS kali ini di sini ..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji nenas saiz sederhana
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
1/2 cawan pati santan
1 camca teh pes asam jawa
2 camca besar gula perang (atau secukup rasa)
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
1 camca besar cili kisar
2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
Garam secukup rasa
Sedikit air

BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 genggam udang kering, rendam 15 minit dan toskan
1/2 inci kunyit hidup
2 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas nenas, belah 4, buang empulur dan hiris sederhana tebal. Rebus sekejap dan masukkan serbuk kunyit dalam air rebusan tadi, kemudian toskan. Cili merah dan hijau, dibelah dua tapi tak putus, rendam. Bancuh bahan kisar halus dengan rempah kari hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 bertanda (*) dan cili kisar hingga garing, masukkan pes rempah dan tumis hingga pecah minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang pati santan.
  3. Masukkan kerisik, kacau dan masak hingga mendidih (jika perlu tambah sedikit air). Masukkan nenas, belahan cili merah dan hijau (toskan). Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat.  Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi minyak atau nasi putih..