RESIPI KEK TAPAI UBI - Dapur Tanpa Sempadan...

Monday, October 8, 2018

RESIPI KEK TAPAI UBI

image-2018-10-08
Assalammualaikum, salam semua. Sekarang ni dah mula musim hujan agaknya, asal petang saja langit mula gelap. Ada kala hujan lebat, ada kala hujan renyai2 ajer, nak2 kampung che mat ni, kedudukkan dia kan atas bukit kita ala2 tanah tinggi lah kononnya. Jadi hujan kurang sampai, maksudnya mendung ajer lebih, tapi hujannya di tempat lain. Apa2 pun syukur alhamdulillah negara kita Allah swt dilindungi dari bencana2 besar. Hari ni che mat rajin sikit, lepas masak tengah hari tadi, terus buat kek tapai ubi. Resipi dah simpan lama, lebih setengah tahun rasanya. Che mat ambik dari IG orang Indonesia (maaf sebab tak safe ig dia, pakcik kau tulis kat kertas ajer, tu pun tulisan doktor, aku sorang ajer yang faham!). Dan dalam masa sama nak merasmikan acuan kek baru yang che mat beli di IG. Lama juga mengidam acuan yang bentuk macam ni, walaupun harga agak mahal, tapi tutup mata ajer lah beli, hadiah untuk diri sendiri, yea dak...

image-2018-10-08 (1)
Berbaloi ke kek tapai ubi ni, takut lah nak cuba, kang tak sedap, membazir ajer. Resipi yang ni che mat memang rekomen anda cuba dan memang tak rugi. Sedap, lembap dan lembut, senang cerita kalau menantu bikin untuk mak mertua, sah korang boleh jadi menantu kesayangan. Kalau buatkan untuk suami, cukup bulan boleh dapat hadiah gelang emas lagi wakk! Kalau tak gelang emas pun, dapat periuk le creuset, alaaa periuk warna warni tuu...hahah, tak sudah2 dengan periuk dia kan si mat tu. Resipi asal ada parutan keju, tapi che mat tak taruk. Sukatan gula dia pun dikurangkan sikit, dan rasa dia cukup elok dah. Kalau ada masa silalah cuba dan hidangkan untuk minum petang. Ada tea set cantik kat dalam gobok? Toksah simpan, keluar dan gunakan..barulah tak rugi membeli, yea dak...Nak resipi? Jommm che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram tapai ubi
75 ml pati santan (boleh ganti dengan susu cair @ susu segar)
120 gram gula kastor
5 biji telur gred A
1 camca teh ovallate
180 gram tepung gandum*
1 camca teh rata baking powder*(*disatukan dan diayak)
150 gram mentega, cairkan dan biar sejuk
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam

CARA MEMBUTNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C. Lenser acuan berlubang tengah (bundt-pan) dengan mentega, kemudian tabur tepung dan ketuk keluar lebihan tepung. Ketepikan. Tapai ubi dilecek halus dan buang jika ada urat2nya, campurkan dengan santan pekat (atau susu cair/susu segar) dan kacau hingga sebati. Ketepikan. 
  2. Masukkan gula kastor ke dalam mangkuk pengadun, tambah ovallate dan garam, putar hingga semua rata. Masukkan telur, kesemuanya sekali dan putar pada kelajuan tinggi hingga adunan kembang dan pekat seperti adunan kuih bahulu. Perlahankan kelajuan dan masukkan esen vanilla dan tapai ubi yang telah disatukan dengan santan tadi, kacau rata hingga sebati.
  3. Dengan menggunakan spatula, tuang mentega cair sedikit demi sedikit sambil diadun dengan kaedah kaup balik hingga mentega habis. Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan adun dengan spatula hingga sebati, gunakan kaedah sama seperti mengadun mentega cair. 
  4. Tuangkan ke dalam acuan yang telah disediakan tadi. Ratakan dan bakar dalam oven selama 45 minit - 50 minit atau hingga masak. Uji dengan mencucuk bahagian tengah kek dengan cake tester atau lidi sate bersih. Jika keluarnya bersih, tu tanda kek dah masak. Keluarkan dari oven, biarkan sekejap dan boleh keluarkan kek dari acuan. Biarkan kek sejuk sepenuhnya atas jaringan. Hias ikut suka dan boleh hidangkan...Selamat mencuba!

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.