RESIPI KEK 'GUGELHUPF' - Dapur Tanpa Sempadan...

Monday, October 22, 2018

RESIPI KEK 'GUGELHUPF'

rsz_gugelhuf
Assalammualaikum semua, cakk, bertemu lagi. Jarang che mat masukkan 2 entri dalam sehari. Kalau ikutkan entri ni memang untuk hari ni, tapi tadi che mat dah masukkan entri tauhu begedil. Dan ingat nak masukkan entri kek gugelhuof esok, tapi takpe lah, masukkan ajer. Esok kita fikirkan resipi lain pulak, yea dak. Ceritanya macam ni, petang semalam che mat sempat jugalah bikin satu jenis kek dari Austria yang dipanggil 'GUGELHUPF'. Kek ini gabungan antara roti dan kek, sebab ia menggunakan yis. Che mat ubah suai sedikit penggunaan bahan2nya, terutama bahan2 yang tidak sesuai untuk umat Islam, seperti penggunaan 'kirsch' sejenis minuman beralkohol, che mat tukarkan dengan jus yang diperah dari sebiji oren. Dan sukatan gula juga dikurangkan. Resipi dan cara membuatnya boleh dikatakan agak mudah, cuma ia mengambil masa sedikit. Ada dua bahagian, pertama kita kena bikin 'ibu' ataupun 'starter' dia dulu, kemudian baru dimasukkan bahan2 selebihnya dan perap kasi naik sebelum dibakar hingga masak.

rsz_gugelhuf1
Acuan paling sesuai ialah acuan bundt-pan. Kalau ikutkan gugelhupf ini ada acuannya tersendiri, seperti acuan bundt-pan juga, tapi coraknya yang memberikan identiti 'gugelhupf'. boleh lihat contohnya di sini. Tapi che mat guna acuan yang sedia ada kat rumah saja, janji tengah dia ada lubang. Disebabkan kek ini menggunakan yis sebagai agen penaik, kita tak perlu baking powder. Resipi asal dimasukkan kismis hitam, jadi che mat pun guna kismis hitam. Yang tu terpulang, nak guna kismis hitam, kuning atau dried mix fruit yang bikin kek kukus tu pun boleh. Kalau tak nak taruk pun takpe. Jika ada masa terluang, boleh mencuba, resipinya che mat tuliskan di bawah ini....

BAHAN - BAHAN 'IBU :-)
7 gram instant yeast
100 gram tepung gandum
100 ml susu segar, suam

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
200 gram mentega
100 gram gula kastor
100 ml susu segar
150 gram kismis
1 biji oren, parut kulitnya dan perah jusnya
1/2 camca teh garam
2 biji telur gred A
1 camca teh esen vanilla
Sedikit gula aising @ dusting powder, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK IBU :- Masukkan semua bahan2 untuk 'ibu' ke dalam mangkuk pengadun. Kacau hingga semua rata dan sebati. Tutup permukaan mangkuk pengadun dengan plastik cling dan biarkan sejam hingga kembang. Taruk ditempat yang agak panas, seperti ditepi dapur. Sementara itu satukan jus oren dengan kismis, kacau rata dan perap sejam.
  2. UNTUK KEK GUGELHUPF :- Masukkan gula, garam dan mentega ke dalam mangkuk adunan yang berisi 'ibu' tadi. Putar hingga semua sebati. Masukkan telur satu persatu dan terus putar hingga kembang. Tambah parutan kulit oren, esen vanilla dan susu, putar hingga semua bersatu. Perlahankan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Akhir sekali masukkan kismis yang direndam tadi, putar rata dan rehatkan 20 minit.
  3. Sementara itu lenser acuan bundt-pan atau acuan gugelhupf dengan mentega. Tuang adunan kek ke dalamnya dan ratakan. Biarkan selama sejam hingga adunan naik. Panaskan oven pada suhu 170C, selama 15 minit. Kemudian masukkan acuan berisi adunan kek tadi dan bakar selama 35 - 40 minit atau hingga masak, bergantung pada oven masing2. 
  4. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bersih di bahagian tengahnya. Jika keluar bersih tanda kek telah masak. Keluarkan dari oven biar sekejap dan boleh keluarkan kek dari acuan. Biarkan kek sejuk sepenuhnya atas jaringan. Ayak sedikit gula aising atau dusting powder sebagai hiasan, sebelum dihidangkan... Selamat mencuba!

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.