RESIPI SPAGHETTI BEBOLA DAGING - Dapur Tanpa Sempadan...

Saturday, September 8, 2018

RESIPI SPAGHETTI BEBOLA DAGING

rsz_spbd1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni cuaca hujan dari pagi dan langit masih mendung walaupun hujan dah berhenti. Tiba2 boring pulak nak makan nasi, jomm kita ubah selera sikit, beralih kepada hidangan orang Italy, konon2nya lah. Spaghetti bebola daging ni che mat guna apa yang ada kat dalam peti sejuk. Korek2 kat pantry takde pulak spaghetti, tapi ada pasta linguine yang leper tu, tak kesah lah kita yang buat dia, kau belasah saja lah apa yang ada. Untuk resipi spaghetti bebola daging che mat guna kurang lebih 400+ gram daging, kemudian dikisar dalam food processor, tapi kalau nak guna daging cincang yang sedia dijual pun boleh juga, cuma che mat kurang sikit daging tu sebab banyak dicampur dengan lemak. Buat dia takde lah susah mana, dan hidangan ini cukup untuk 3 - 4 orang, tu pun tengok lah, kalau makan masa lapar tahap naga, mungkin 3 orang cukup, begantung pada keadaan. Kalau nak mencuba, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
400+ gram daging kisar *
3/4 camca teh garam*
2 ulas bawang putih, tumbuk halus*
1 camca teh smoked paprika powder (boleh beli dipasaraya)*
1/2 camca teh lada hitam kisar*
1 tin tomato dalam tin ( berat kurang lebih 400 gram dan pilih tomato jenis plum), di hancurkan
1/3 cawan sos tomato
1 kiub pati daging Maggi
1 biji bawang holland didadu
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh herba oregano
2 helai bay leaf
1/2 camca teh lada hitam kisar
2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit parsley segar, dicincang untuk hiasan
Parutan keju parmesan secukupnya (atau sebarang keju pilihan anda)
Spaghetti secukupnya
Minyak zaitun untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BEBOLA DAGING :- Masukkan daging kisar dalam mangkuk, tambah semua bahan2 bertanda (*) dan gaul hingga rata. Kemudian bentukkan bebola, bergantung pada masing2lah yea nak besar mana saiz bebola daging tu. Kemudian panaskan kuali, lagi bagus guna non-stick wok. Masukkan 2 camca besar minyak zaitun, bila dah panas, masukkan bebola daging dan masak hingga bebola daging berubah warna. Kacau perlahan agar masak sekata, Angkat dan ketepikan.
  2. UNTUK KUAH SPAGHETTI BEBOLA DAGING:- Dalam kuali yang sama, masukkan bawang holland dan masak hingga layu baru dimasukkan bawang putih dan masak hingga wangi. Tambah tomato sos dan juga tomato dalam tin, kacau rata dan masukkan air. Tambah pati kiub daging (hancurkan) dan bay leaf. Kacau rata.
  3. Bila mendidih, boleh masukkan bebola daging tadi dan masak hingga pekat sedikit. Tambah lada hitam kisar, herba oregano, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK SPAGHETTI BEBOLA DAGING :- Masukkan secukupnya spaghetti atau sebarang jenis pasta yang anda suka ke dalam periuk berisi air panas mendidih yang ditambah sedikit garam. Rebus hingga spaghetti lembut, toskan dan gaul dengan sedikit minyak zaitun. Ambil secukupnya spaghetti dan taruk dalam pinggan sesuai. Tuang kuah bebola daging atasnya, tabur sedikit parutan keju dan cincangan daun parsley. Boleh hidangkan, selamat mencuba!

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.