BEN ASHAARI

Tuesday, October 31, 2017

RESIPI PAJERI MANGGA MUDA

rsz_pmm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin pajeri mangga muda. Ada yang panggil pajeri atau paceri. Tapi kedua2nya benda yang sama. Biasanya pajeri orang buat menggunakan nanas atau terung. Tapi ada juga yang diubahsuai menggunakan buah kedondong @ amra, mangga muda dan jiran che mat (Ben Ashaari), mak dia buat pajeri buah rambutan. Resipi kuah dia sama, cuma bahan untuk 'pajeri' tu ajer kita gantikan. Sabtu lepas, sedara kami kasi 4 biji buah mangga muda (pelam bengkok), mula2 che mat nak bikin kerabu, tapi mangga tu muda sangat. Kalau nak bikin kerabu, guna mangga mengkal lagi elok. Jadi yang muda ni che mat ambik 2 biji dan kita test bikin pajeri...Ehhh, sedap wakk!...Che mat suka pajeri yang kering sedikit, tak berapa gemar yang berkuah macam kari. Resipi mudah sangat, kalau nak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini....Jommm....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji mangga atau pelam muda (che mat guna pelam bengkok, setiap satu sebesar tapak tangan)
1 camca besar penuh kerisik
1 cawan santan sederhana cair
1 camca besar penuh cili kisar
2 camca besar rata rempah kari Baba's (boleh guna rempah kari ikan atau daging)
1 biji cili merah, belah dua tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah dua tapi tak putus
1 camca besar cuka makan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa (anggaran 4 - 5 camca besar)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas mangga muda, kemudian potong besar2 memanjang, dan rendam dalam air garam. Ketepikan. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis kayu manis dan bunga lawang hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan santan dan air. Kacau dan biarkan mendidih. Tambah kerisik dan gula, kacau dan masak sekejap. Masukkan mangga muda (toskan airnya), gaul rata.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan tambah cuka makan. Masukkan cili merah dan cili hijau, kacau rata dan masak hingga kuahnya pekat dan mangga empuk. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan pajeri mangga dengan nasi putih atau nasi minyak. Selamat mencuba!


No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.