BEN ASHAARI

Sunday, October 15, 2017

RESIPI BOTOK - BOTOK JOHOR

rsz_bbjb (1)
Assalammualaikum, salam semua. Sepatutnya che mat masukkan entri botok-botok ni siang tadi, tapi masa tak mengizinkan. Jadi malam ni sebelum tidur, kita curi masa sedikit untuk masukkan resipi ini kat blog. Botok-botok satu hidangan klasik di Johor, biasanya orang2 berketurunan Jawa suka makan botok2, tapi sekarang ia menjadi hidangan untuk semua bangsa. Botok2 diperbuat dari campuran rempah ratus, ulam-ulaman dan juga ikan yang disusun secara berlapis2 kemudian dibungkus dengan daun pisang dan dikukus hingga masak. Kebiasaannya di Johor, orang guna ikan parang, ikan tenggiri dan kembung. Kali ni che mat guna ikan tongkol jenis lembut yang isinya putih. Rasanya lebih sedap dari ikan tenggiri ( itu pada tekak che mat lah, kalau tekak orang lain tu kita tatau lah ). Membuat botok2 tidak susah mana, cuma nak mendapatkan ulam-ulaman tu saja agak sukar. Tidah menjadi masalah jika kita gunakan setakat yang ada. Macam che mat buat, bukan cukup lengkap tapi rasa dia in sha Allah tidak mengecewakan. Jika ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping ikan tongkol (jenis lembut), setiap satu sebesar tapak tangan orang dewasa, perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan
4 helai daun pisang berukuran 14 inci x 12 inci, dilap bersih dan layur sekejap atas api hingga lembut
4 helai daun pisang berukuran 16 inci x 4 inci, dilap bersih dan layur sekejap atas api hingga lembut
4 batang lidi pecungkil gigi yang belum diguna
2 camca besar jus asam jawa
1 cawan santan
2 camca besar kerisik
1 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh rempah kari ikan Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih (jika saiz besar, guna 2 ulas)
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
3 biji buah keras, dihiris
1 camca teh lada hitam
Belacan, sebesar ibu jari
8 -10 tangkai cili kering, dibuang biji, cuci dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN ULAM (secukupnya) :-)
rsz_daun2
  1. Pucuk puding belacan
  2. Daun kesom
  3. Pucuk mengkudu
  4. Daun kaduk
  5. Pucuk ubi pulut (boleh guna pucuk ubi biasa)
  6. Pucuk betik
  7. Pucuk bebuas
  8. Daun kunyit
  9. Daun cekur
  10. Daun selasih
CARA MEMBUATNYA :-)
rsz_bebotok
  1. Semua ulam2man tadi dicuci dan toskan. Biar hingga airnya kering. Ketepikan pucuk ubi dan pucuk betik. Yang lain semuanya dihiris halus dan masukkan ke dalam satu bekas. Ketepikan.
  2. UNTUK REMPAH :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari ikan  dan kacau hingga menjadi pes. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis pes rempah hingga harum dan naik minyak. Masukkan jus asam jawa, santan dan kerisik. Kacau rata dan masak hingga pekat dan bila dikacau rempah tidak melekat dikuali. Masukkan gula melaka dan garam secukup rasa. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan hingga rempah sejuk dan bahagikan kepada 4 bahagian sama banyak.
  3. UNTUK BOTOK-BOTOK :- Ambil sehelai daun pisang yang besar. Alaskan dengan pucuk ubi secukupnya dan lapiskan dengan pucuk betik. Sudukan 1/2 bahagian rempah. Taruk sekeping isi ikan atasnya. Ratakan 1/2 bahagian lagi rempah. Tutup rempah tadi dengan 1/4 bahagian ulam2man yang telah dihiris halus. Tekan2 sedikit dan bungkus seperti dalam gambar, gunakan daun pisang saiz kecil tadi sebagai 'tali pinggang', semat dengan lidi dan gunting bahagian atasnya agar nampak kemas. Buat hingga selesai.
  4. Kukus botok2 atas air mendidih selama 25 minit. Boleh hidangkan bersama nasi panas atau boleh dimakan begitu sahaja. Jangan lupa simpan botok2 yang tidak habis dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama...Selamat mencuba!!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.