BEN ASHAARI

Saturday, September 3, 2016

LEMAK CILI PADI REBUNG JERUK SAMA UDANG

rsz_rjlcp
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat masak menu permintaan bonda. Rebung jeruk antara hidangan kegemaran bonda dan che mat. Biasanya rebung jeruk dimasak bersama daging salai atau babat dan ada juga yang masak dengan ikan dan tulang lembu. Tapi kali ni kita tak guna udang galah. Udang galah jenis udang gantung bersaiz kecil. Kalau udang galah sungai yang betul2 tu, saiznya besar. Satu lagi nak bercerita pasal rebung jeruk. Ada yang tak gemar sebab rebung jeruk dikatakan berbau dan aromnya boleh melekat dijari. Sebenarnya bergantung pada lama mana anda menjeruk rebung tersebut. Kalau lama sangat memang bau dia agak menyegat. Macam che mat guna ni, kami jeruk dalam 10 hari, bau dia biasa2 saja dan rasanya tak berapa masam sangat. Dan jenis rebung buluh betong paling sesuai jika nak dijeruk. Kalau rebung madu che mat rasa tak sesuai. Tak pandai nak menjeruk rebung, ok..caranya mudah. Jika anda beli rebung buluh betong, bersihkan (buang kulit luarnya hingga jumpa bahagian rebung yang putih dan lembut) kemudian guna penyagat, dan sagat rebung tadi untuk mendapat kepingan nipis. Cuci, toskan dan masukkan dalam bekas. Masukkan garam secukupnya (anggaran 1 genggam), tuang air masak sejuk hingga rebung tenggelam dan kacau hingga garam larut. Tutup rapat dan biarkan selama 1 - 2 minggu. Bila nak guna ambik secukupnya, toskan dan cuci. Sedia dimasak lemak cili padi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 ekor udang galah bersaiz kecil
Rebung jeruk secukupnya (anggaran 400+ gram)
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1/2 cawan cili padi (che mat campur yang merah dan hijau)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, potong kaki2 kecilnya, kerat muncung dan buang kotoran dibahagian kepala udang. Cuci bersih dan toskan. Rebung dicuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama serai, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. 
  2. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masukkan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil sambil dikacau sentiasa. Masak untuk 2 - 3 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

3 comments:

Shiqeen Sattar said...

Ok mmg sedappp. Tp masalahnya sy masak mesti x jd. Tgk tangan jugak sebenarnya

Faizah Syakira said...

oishhh lamo tak makan gobung mo udang la... :D

Adam said...

Boleh tak kita sama sama link blog. Blog saya;

http:biarlembuyangjadilembu.blogspot.com

Terima kasih.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.