BEN ASHAARI

Wednesday, August 10, 2016

RESIPI KACANG POOL KAMBING

rsz_kpj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak share resipi yang popular di Johor dan Singapura. Di sebabkan kedua tempat ini dulu banyak orang2 dari Arab, maka makanan juga diperngaruhi oleh orang dari timur tengah. Antaranya kacang pool. Resipi memang che mat dah kerap kongsikan di blog ini. Biasanya kacang pool diperbuat dari bahan2 seperti daging cincang (sama ada daging lembut atau kambing, tapi kalau nak guna daging ayam pun boleh juga). Dan bahan paling utama ialah kacang pool. Kalau che mat beli yang dalam tin saja, biasanya jenama Kimball, atau anda boleh beli di kedai Arab. Pernah nampak di kedai arab, mereka jual kacang pool mentah, maksudnya kita kena rebus sendiri kalau nak guna. Kalau anda nak bikin dalam kuantiti yang banyak atau nak berniaga mungkin boleh guna yang mentah dan rebus sendiri untuk jimat kos.

rsz_kpj1
Untuk resipi ini che mat guna 2 tin kacang pool dan 1 tin baked beans. Baked beans tu optional tapi che mat memang suka masukkan sebab bagi rasa yang lemak manis pada kacang pool tadi. Kalau anda rasa banyak boleh buat separuh dari resipi. Satu lagi kacang pool kalau tak habis, boleh dibekukan dalam freezer, bila nak makan tinggal panaskan dalam ketuhar gelombang mikro. Kebiasaannya hidangan kacang pool akan disajikan bersama telur mata, belahan limau kasturi, bawang besar yang didadu, tomato yang didadu, cili hijau dan tak lupa sedikit minyak sapi panas dicurahkan atas kacang pool tadi. Tak lupa roti, nak lebih authentic gunakan roti paun atau roti benggali....Resipi che mat kongsikan dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
300 gram daging kambing, cincang halus (che mat mesin guna food processor)
2 tin kacang pool (contoh di sini )
1 tin besar baked beans (che mat guna cap ayam)
3 camca besar rempah kari Baba's*
1 camca besar ketumbar serbuk Baba's*
1/2 camca besar jintan manis serbuk Baba's*(*bahan rempah)
3 camca besar cili kisar
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
1 camca besar minyak sapi
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci halia

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Roti paun/roti benggali untuk dimakan bersama kacang pool
Limau kasturi, dibelah dua
Tomato, didadu
Bawang besar, didadu
Cili hijau, hiris
Telur, digoreng telur mata
Minyak sapi secukupnya, dicairkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Tumis cili kisar hingga garing, sementara itu, satukan bahan2 kisar halus dengan rempah2 yang bertanda (*), kacau hingga menjadi pes. Masukkan ke dalam periuk, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan daging kambing cincang, kacau dan masak hingga daging berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan), kacau dan masak hingga daging lembut. Kacang pool tadi dikeluarkan dari tin (airnya jangan dibuang), kemudian tekan2 dengan garfu agar kacangnya pecah2 dan masukkan ke dalam periuk bersama airnya, tambah juga baked beans, kacau rata dan kecilkan api.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan juga sedikit gula. Masak hingga kacang pool pekat sedikit, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Ceduk kacang pool secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Tabur dengan bawang besar, tomato, cili hijau dan curahkan sedikit minyak sapi cair. Taruk sebiji telur mata dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan dengan roti paun (atau sebarang roti kegemaran anda)....Selamat mencuba!!

1 comment:

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

berbaloi3 pandai masak kacang pool sendiri.. kalau makan kat kedia tu secoet je pas tu telurnya mak aihhhh.. punyalah cute.. muahaha

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.