BEN ASHAARI

Friday, August 12, 2016

PARU GORENG KETUMBAR JINTAN

rsz_pgjm1
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Bila tiba hari Jumaat che mat pasti tak boleh lupa, hari keramat ini lah Bak pergi mengadap Ilahi 5 minggu lepas (pada 3 Syawal), masih terasa kehilangan walaupun kami redha dengan ketentuan Allah (Al-Fatihah Hj Ibrahim Bin Rajiman)..sehingga akhir hayat kita, Bak sentiasa hidup dalam 'hati'. Hari ni che mat kongsikan resipi mudah dan sedap, tapi bagi mereka yang tak makan paru lembu, minta maaf sebab ini mungkin bukan resipi untuk anda. Paru goreng ketumbar jintan ini satu hidangan sampingan yang amat sesuai dimakan bersama nasi putih, nasi lemak atau lontong. Ratah macam tu saja pun sedap. Hidangan ini memang kering dan tidak berkuah.

rsz_pgjm
Che mat guna kurang lebih 800 gram paru lembu. Paru perlu dicuci bersih dan direbus dengan bahan2 yang akan ditulis nanti. Kalau guna periuk tekanan atau pressure cooker, masa merebus hanya 10 - 12 minit. Kalau rebus biasa mungkin dalam 1 jam macam tu. Paru yang telah direbus dan disejukkan harus digoreng sebelum dimasak dengan bahan2 rempah. Che mat suka masak lebih dan simpan dalam peti sejuk jika tak habis (tapi selalunya memang habis). Kalau nak bikin untuk raya haji nanti pun boleh. Jika nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
800 gram paru lembu.
3 helai daun limau purut*
1 batang serai, diketuk*
1 inci halia, hiris*
5 biji bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)*
1 camca teh serbuk kunyit*
1 1/2 camca teh garam*
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1/2 camca teh jintan putih
6 biji cili merah
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 camca besar penuh gula melaka
2 camca besar jus asam jawa
Garam secukup rasa
Sedikit gula jika perlu (che mat tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PENYEDIAAN PARU :- Paru lembu dipotong 4 - 5 bahagian, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perahkan jus limau nipis. Gaul rata dan perap 15 minit, cuci kembali hingga bersih dan masukkan ke dalam periuk dan tuang air secukupnya. Masukkan semua bahan2 bertanda (*) dan rebus hingga paru empuk. Toskan dan biar paru tadi sejuk.
  2. UNTUK REMPAH :- Ketumbar, jintan manis dan jintan putih dicuci kemudian goreng tanpa minyak hingga wangi. Tumbuh rempah tadi hingga hancur, tak perlu sampai halus. Ketepikan. Kemudian tumbuk pula bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas dan cili merah hingga lumat. Kemudian masukkan rempah2 yang ditumbuk tadi dan gaul rata. 
  3. UNTUK PARU GORENG KETUMBAR JINTAN :- Paru yang sudah sejuk dihiris nipis, kemudian goreng dalam minyak panas hingga kecoklatan, angkat dan toskan. Cedok keluar minyak dan tinggalkan dalam anggaran 1/4 cawan. Tumis bahan2 tumbuk tadi, kacau rata dan masak hingga garing, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  4. Masukkan jus asam jawa, gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau rata dan masak sekejap (jika suka manis, boleh tambah sedikit gula pasir). Masukkan paru goreng, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan....

3 comments:

Lisa Nurulain said...

senang je bahan2 masak paru rupanya... hehehe rasa nak try masak..

Nur Misnan said...

wow che mat.. u still have d gerapu sudu tembaga tu..

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

fav akak!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.