GULAI KARI REBUNG MADU SAMA AYAM..

rsz_karie_ayam_rebung_madu

Assalammualaikum, salam Rabu. Cuaca mendung dan asal petang saja hujan. Di kampung che mat tidak lah selebat mana hujannya, tapi yang membimbangkan angin agak kuat. Hari ni cuti Deepavali kan?, mesti ada yang memasak di rumah untuk makan bersama keluarga. Che mat hari2 masak, dan hari ni dengan tidak disengajakan termasak gulai kari rebung madu sama ayam. Ada yang kasi cadangan, cuba che mat masak sama daging. Sebenarnya niat asal memang nak masak sama daging korban yang dapat tu hari, tapi Bak dia kan ada sakit gout, mana boleh makan daging, ada kang bengkak kaki dan tak boleh jalan. Siapa susah, dah tentulah Bak dan kami orang yang susah. Tu pasal che mat masak sama ayam...

rsz_karie_ayam_rebung_madu1

Bila nak masak kari, rebung madu kalau dihiris nipis kurang sesuai. Seperti yang che mat nampak dan pelajari dari kak ipar che mat yang berasal dari Kodiang, Kedah, rebung madu dipotong 1 inci lebih dan akan dikelar2 tidak putus pada satu bahagian dan kemudian dikelar2 lagi disatu bahagian, tapi dari arah berbeza. Kalau anda beli rebung madu yang telah siap direbus, dia memang dikerat2 kurang lebih  1 1/2 inci dan telah siap direbus (selalunya negeri2 dibelah utara seperti Kedah dan Perlis mereka jual macam tu). Kalau guna rebung madu segar, kenalah kerat sendiri. Dan anda kena rebus kurang lebih 2 jam atau hingga rebung lembut, jangan lupa tambah sedikit garam semasa merebus. Ok, kalau anda nak cuba che mat kongsikan resipi seperti di bawah ini....

rebung madus

Cara che mat hiris rebung madu yang dignakan dalam resipi ini.

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
500 gram rebung madu, dipotong seperti dalam gambar di atas
4 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
1/2 camca besar serbuk ketumbabr
1 camca teh serbuk jintan manis
3 camca besar cili kisar
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1/2 camca besar minyak sapi
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/2 cawan) tambah minyak sapi. Sementara itu bancuh bahan kisar halus bersama rempah kari, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan kacau rata hingga menjadi pes. Bila minyak panas, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang perang. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Tambah ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Masukkan rebung, gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair, tambah air jika perlu. Kacau dan biar mendidih.
  3. Masak hingga ayam empuk dan rebung lembut. Tambah asam gelugor. Tuang pati santan dan kacau perlahan. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana sambil dikacau selalu. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur dadar..

Post a Comment

4 Comments

  1. Wow nampak sedap. Terliur la pulak. Huhu

    Jemput singgah blogwalking www.bondasihat.com

    ReplyDelete
  2. Saja nak share cara rebus rebung madu ikut cara kakak kat Kedah. Dah siap bersihkan rebung tu, rebus rebung dgn air sby 2x. Utk rebusan kali kedua masukkan sikit gula pasir. Kalau rasa rebung tu ada pahit lagi, boleh rebus lagi sekali.

    ReplyDelete
  3. Mak kat kg pon buat macam kak marina. Rebus sekali dulu pastu dia biar je semalam pastu rebus skali lagi. Bagi hilang pahit katanya.

    Proses potong cam chemat tunjuk tu kalau di utara kami panggil 'gubah'

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.