BEGEDIL AYAM....

rsz_begedil_ayam (1)

Salam semua, petang tadi che mat saja2 merajinkan diri bikin begedil ayam. Kadang2 macam tu lah, ada benda yang kita rancang tak menjadi, tapi bertukar jadi benda lain. Entah kenapa masa lihat kentang dalam bakul di dapur, che mat terbayang begedil. Cari2 dalam freezer, ada pulak sekeping dada ayam tanpa tulang, ini sudah bagus. Maka bermulalah operasi membuat begedil ayam. Sebenarnya ia begedil kentang yang dicampur isi ayam. Kalau sebut begedil ayam nanti orang fikir macam nugget ayam pulak. Kalau anda nak guna daging pun boleh, tapi che mat ikut apa yang ada saja. Bila buat begedil teringat kat kat sahabat che mat yang sorang ni, dia peminat begedil...ehemm...

rsz_begedil_ayam2

Resipi asal che mat ambil dari blog Azie Kitchen di sini. Dan seperti biasa sukatan ikut banyak mana yang che mat ada, contohnya resipi asal guna 200 gram isi ayam kisar, tapi che mat cuma ada dalam 150 gram dan kentang pulak dalam 450 gram (selepas dikupas kulit). Kentang che mat goreng dengan api sederhana hingga empuk, kalau anda nak rebus pun boleh, tapi digoreng lebih enak dan tidak terlalu benyek. Enak dihidangkan bersama soto, atau dimakan sebagai cemilan waktu petang. Selain itu dari teman FB che mat, di Singapura, ada juga yang menghidangkan lontong diletak begedil sebagai pelengkap...menarik juga kan. Apa gaya anda guna untuk mempelbagaikan begedil, tak perlu khuatir atau rasa janggal dengan pandangan orang lain. Akhirnya kita juga yang makan, bukan mereka..betul tak?...Ok, che mat kongsi resipi begedil ayam...

BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram kentang yang telah dikupas kulitnya, direndam
150 gram daging ayam, dicincang lumat
1 biji bawang besar bersaiz sederhana, didadu
1 camca besar bawang goreng
1 camca teh serbuk lada sulah
1 pokok kecil daun sup, hiris halus
1 pokok kecil daun bawang, hiris halus
1/4 camca teh garam atau secukup rasa
1 biji telur, dipukul sedikit
Sos cili atau sos kegemaran anda untuk dimakan bersama begedil

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kentang ditoskan, kemudian dipotong berbaji. Goreng hingga empuk, guna api sederhana dan kacau sekali sekala. Angkat dan toskan, letak atas tissue dapur bersih dan biar minyak terserap. Kemudian tumbuk kentang tadi hingga lumat. Ketepikan.
  2. Panaskan 1 camca besar minyak masak, tumis bawang besar hingga layu, masukkan daging ayam cincang dan masak hingga daging ayam berubah warna. Angkat dan toskan. Masukkan ke dalam kentang yang ditumbuk lumat tadi.
  3. Masukkan bawang goreng (ramas sedikit), hirisan daun sup, daun bawang, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Gaul rata2. Kemudian ambil adunan sebesar duit 50 sen lama atau lebih sedikit, bulat2kan. Kemudian leperkan sedikit, susun dalam loyang. Buat hingga siap.
  4. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celup sebiji begedil dalam telur dan masukkan ke dalam minyak panas. Jangan goreng terlalu banyak, che mat goreng 6 biji begedil sekali, bergantung pada saiz kuali anda.
  5. Biar hingga begedil keemasan baru diterbalikkan untuk mengelak bergedil hancur. Masak sekejap lagi, dan boleh diangkat. Buat kaedah sama untuk baki bagedil. Hidangkan bersama sos kegemaran anda atau disajikan bersama soto dan sebagainya...

Post a Comment

5 Comments

  1. Bergedil makan dgn nasi panas2 pun sedapppp!!!

    ReplyDelete
  2. cik mat, kalo guna udang ok x selain ayam?

    ReplyDelete
  3. Bergedil ni selalu makan dengan sup sangat sedap...kalau taj ada sup pun boleh makan macamtu je..

    ReplyDelete
  4. Mantaaappp,..,....!!! thanks!

    ReplyDelete
  5. Semalam saya buat. Instead of frying the potatoes, I boiled them whole after peeling. Sebelum letak lada sulah dan garam saya gentel 3 biji untuk baby. Saya goreng 5 biji saja untuk makan 2 orang. Selebihnya saya bekukan dalam freezer selepes digentel bulat-bulat. Thank you, Che Mat!

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.