BEN ASHAARI

Wednesday, April 2, 2014

UDANG MASAK LEMAK SAMA NENAS...

rsz_udang_masak_lemak_sama_nenas

Assalammualaikum, salam Rabu....(mati2 aku ingat ni hari Selasa....grrr...sabar aje lah). Hari ni che mat mula memasak balik, macam lah semalam aku tak masak yea tak. Kadang2 bila satu hari che mat tak masak makanan ruji, sah2 rasa macam tak masak. Dan hari ni menu agak istimewa, masakan orang peranakan baba nyonya yang begitu authentic dan menepati selera mereka dan orang2 melayu kita juga. Bagi che mat, kalau masak lemak, selain bahan2 segar, yang paling utama santan perlu yang segar, kalau boleh perah dari kelapa yang diparut atau santan segar yang dijual di pasar2 basah. Tapi kalau keadaan tak mengizinkan boleh saja nak guna santan kotak, cuma rasa dia tak lah sama. 

rsz_udang_masak_lemak_sama_nenas1

Resipi ini che mat guna 4 ekor udang kaki merah bersaiz besar. Ada yang bertanya kat che mat di wall FB. Berapa harga che mat beli udang ni. Tempoh hari di pasar Endau, harga dia RM 45 sekilo, dan sebelum tu che mat ada singgah di pasar Parit Jawa, Muar. Kat situ mahal, dalam RM 60 sekilo. Tapi udang kaki merah atau udang pengantin ini menjadi lebih mahal bila menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina, ia boleh mencecah harga hingga RM 100 sekilo!!!...mahal kan, dengar pun takut. Che mat masak 4 ekor saja dan dicampurkan sebiji nenas madu bersaiz kecil. Bagi anda yang nak mencuba, che mat tulis resipi udang masak lemak sama nenas di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 ekor udang kaki merah @ udang pengantin bersaiz besar
1 biji kecil nenas madu
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat (boleh juga ganti dengan daun limau purut, jika suka)
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping kecil asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar
3 biji buah keras, dihiris
1 keping hirisan lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Udang dibersihkan, kerat muncungnya dan buang kotoran dibahagian kepala udang (boleh rujuk di sini). Cuci dan toskan. Nenas dikupas, kemudian dibelah 4, buang empulur dan hiris sederhana tebal. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama serai titik dan santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan nenas dan masak hingga nenas lembut. Tambah udang dan asam gelugor. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit (atau daun limau purut). Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan udang masak. Kacau sentiasa untuk mengelakkan pecah santan. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan lauk lain.
CATATAN MAT GEBU :- Ada yang tanya, che mat apa maksud 'pecah santan' tu?..Maksud pecah santan tu bila kuah masak lemak atau gulai kelihatan seperti mendadih, tidak licin sebaliknya nampak seakan2 bergentel kecil2. Tu sebab bila kita tuang santan pekat dalam masakan gulai, kena masak dengan api kecil dan dikacau sentiasa sehingga mendidih seketika untuk mengelakkan pecah santan. Kemudian boleh matikan api. Satu lagi jangan tutup periuk rapat2 masa masak lemak anda tengah panas,  renggangkan tudungnya untuk mengelakkan masak lemak cepat basi....

3 comments:

Firdaus Redscarz said...

Serius terliur.. huhu

husna zahidi said...

nyum..nyum..
udang dah la manis, campur plak dgn nenas..kecur liur kat sini..hehehe..

Lydia Miza said...

Kat sini mahal cm harga udang smpi dekat 70 sekilo. Paling murah pernah jmp pasar dengkil rm50 saiz camni.

Sedap tgk lauk cm ni. Lama x mkn masakan camni

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.