RESIPI GULAI PISANG MUDA

Assalammualaikum, salam semua. Petang ni baru che mat sempat nak kongsikan resipi yang dimasak awal pagi tadi. Hari ni masak awal sebab ikut abang long hantar anak buah ke UITM Segamat. Dan kebetulan mak che mat dua hari lepas ada sebut2 nak makan gulai pisang muda. Maka pagi tadi lepas subuh kita mula lah memasak. Rencah, che mat guna tulang ikan masin kurau. Untuk mengurangkan rasa masin dia, che mat rendam satu malam. Yelah, nak makan ni pun kena jaga2 juga, jangan ikut sedap tekak saja yea dak. Pisang paling sedap kalau nak masak gulai macam ni, che mat syorkan guna pisang kapas. Sebabnya pisang kapas berkanji dan bila kita masak gulai atau masak lemak, kuah dia akan pekat dan rasa dia, mintak ampon wakk, sedap dia. Serius tak tipu. Ada macam2 cara orang masak, jadi kali ni che mat masak agak lain sikit dan sebab kesuntukan masa, guna santan kotak saja lah. Kalau dapat guna santan fresh, lagi berganda sedap dia...Kalau nak mencuba, boleh semak resipi kat bawah ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 sisir pisang kapas muda
4 keping tulang ikan kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam semalaman
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 kiub ikan bilis maggi
1 kotak (200ml) santan kara*
1/4 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
2 keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 biji cili merah
2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cuci pisang muda hingga bersih, potong sedikit hujung dan pangkalnya, siat sedikit kulit pisang, tapi jangan dibuang, masukkan ke dalam bekas berisi air yang dimasukkan garam. Pisang dipotong dua menyerong setiap satu, jika saiz pisang agak besar, boleh potong tiga. Buat hingga siap dan rendam.
  2. Didihkan air, masukkan sekeping asam gelugor. Pisang yang direndam tadi, toskan dan masukkan ke dalam periuk berisi air mendidih. Celur pisang tadi hingga lembut sedikit, tos dan ketepikan.
  3. Dalam periuk lain, panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis serai hingga wangi, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi, gunakan api kecil. Masukkan pisang, gaul rata dan tuang air hingga pisang tenggelam. Tambah baki asam gelugor dan masukkan kiub ikan bilis, kacau rata dan biarkan mendidih.
  4. Toskan tulang ikan masin kurau, cuci dan masukkan ke dalam periuk. Kacau perlahan dan masak sekejap. Tuang santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api sederhana hingga pisang empuk. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Gulai pisang lebih sedap dimakan setelah beberapa jam dimasak. Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.