RESIPI KARI TERUNG IKAN MASIN - Dapur Tanpa Sempadan...

Sunday, October 21, 2018

RESIPI KARI TERUNG IKAN MASIN

rsz_gtim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi kari terung ikan masin. Lama juga kan tak kemaskini blog, biasanya resipi yang selalu che mat dah bikin, che mat akan kongsikan di FB atau IG. Kalau resipi yang tak pernah atau jarang2 buat, baru lah taruk kat blog. Kali ni che mat guna terung panjang warna hijau pemberian kak sedara cha mat. Kalau takde, boleh guna terung ungu yang biasa tu atau terung bulat ke, terung bujur ke semua boleh asalkan terung. Untuk ikan masin pulak che mat guna tulang ikan kurau masin yang masih ada isi. Jangan pulak guna tulang semata2, tak bess lah macam tu. Bab ikan masin tu terpulang pada masing2, nak guna ikan masin talang boleh, ikan masin ikan duri boleh, janji ikan yang ada isi. Che mat gunakan santan kotak saja, dan pilihan che mat kalau nak guna santan kotak, dah semestinya santan kara. Santan tu kita campur dengan air panas sikit dan kacau rata sebelum dituang ke dalam periuk. Barulah kuah kari kita jadi cantik molek...Nak cuba masak? Ok, meh che mat tuliskan resipi kat bawah ni....Jangan lupa mencuba!

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji terung hijau jenis panjang (atau boleh guna terung ungu)
4 - 5 ketul tulang ikan kurau masin, cuci dan rendam 2 jam
1 kotak (200ml) santan kara*
1/4 cawan air panas*(*disatukan dan kacau rata)
2 camca besar penuh cili kisar
1/3 cawan jus asam jawa
1 kiub pati ikan bilis maggi
3 camca makan penuh rempah kari ikan babas*
1/3 cawan air*(*disatukan dan kacau rata hingga menjadi pes)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAM TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belancan

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :-)
2 tangkai daun kari, dilurut
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/4 camca teh biji sawi
1/4 camca teh halba
1/4 camca teh jintan manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dibuang sedikit kulitnya. Kerat pada 3 bahagian (bergantung pada saiz terung yang anda guna), belah 2 setiap keratan. Kendian belah 2 tapi tak putus untuk setiap satu, rendam dalam air yang dimasukkan sedikit garam. Buat hingga siap dan ketepikan. Tulang ikan kurau masin yang telah direndam, dicuci dan toskan. 
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan2 tumbuk hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah pes rempah kari, kacau dan masak hingga rempah  garing dan naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air secukupnya, anggaran 3 cawan. Kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa dan kiub pati ikan bilis. Boleh masukkan tulang ikan masin kurau dan terung tadi (toskan dulu air rendamannya), kacau rata dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap dan kecilkan api. Sementara itu dalam kuali bersih, masukkan anggaran 4 camca besar minyak masak dan masukkan bahan2 tumis darat dan goreng hingga bawang keperangan. Matikan api dan tuangkan kesemuanya (degan minyak2nya sekali) ke dalam periuk kari. Kacau perlahan dan matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain.

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.