GULAI BEREMPAH REBUNG SAMA KAKI AYAM

rsz_grka
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat masak lewat, petang baru masak. Pagi tadi dah goreng nasi, dan lepas tu ada hal lain. Di sebabkan bonda che mat berpuasa, jadi kita masak petang saja. Kebiasaannya gulai rebung che mat masukkan ikan masin kurau, tapi kali ini kita tukar guna kaki ayam. Bagi anda yang tak makan kaki ayam, boleh gantikan dengan bahagian ayam yang lain, kepak ke, peha ke atau mana2 lah yang anda suka, janji ayam. Kalau tak makan ayam?..Boleh guna daging atau tulang lembu yang masih ada daging. Resipi ini dalam kategori mudah dimasak dan yang penting mesti ada rebung. Rebung che mat guna rebung madu. Sekarang ni rasanya tak susah nak dapat rebung madu terutama di pasaraya2, pasar tani atau pasar lambak. Kalau anda suka pedas, boleh guna cili padi, Tapi che mat guna cili merah dan campur sedikit cili padi. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
350 gram kaki ayam (kurang lebih)
400 gram rebung madu yang telah dihiris nipis
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit
1200 ml santan cair
300 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS ;-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah
8 biji cili padi
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar ketumbar biji
1 camca rata teh jintan putih (kasar)
1 camca rata teh jintan manis (halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kaki ayam dikerat bahagian kukunya. Kemudian kerat dua. Gaul kaki ayam tadi dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata, Perapkan 10 minit, kemudian cuci hingga bersih dan toskan. Serai diketuk. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak, tumis serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan kaki ayam, gaul rata dan masak sekejap. Tambah rebung dan tuang santan cair. Kacau rata dan biarka mendidih. Masak hingga kaki ayam lembut, tambah air panas jika perlu.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun kunyit. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih sebentar dengan api sederhana. Kacau sekali sekala. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!.

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.