KEK LAPIS ASAM MANIS.

rsz_klam
Assalammualaikum, salam semua, hari ni 20 Ramadan dan che mat pun masak yang simple2 saja. Jadi tak perlulah letak kat blog kalau setakat masak, sambal tumis sotong, asam rebus nenas ikan masin dan ulam2man. Tapi hari ni che mat dah mula projek melapis untuk lebaran nanti. Semalam dah bikin kek kukus, alhamdulillah, selesai satu dan kini bermula melapis kek pulak. Seperti biasa, setiap tahun sejak che mat mula melapis, kek lapis asam manis memang menjadi satu kemestian dan ia menjadi salah satu kek lapis yang tercepat habisnya. Resipi asal kek ini che mat dapat dari Bro Rozzan dari Singapura yang boleh dikatakan pakar melapis kek. Kek lapis boleh dikategorikan kek yang begitu 'mewah' dan tersendiri. Membuatnya perlu kesabaran dan masa yang diperuntukkan untuk sebiji kek lapis agak lama. Apa keseronokkan bila membuat kek lapis?..Pada che mat, paling seronok masa anda potong kek tu, dan ketika itu kelihatan lapisan2 yang begitu cantik tersusun. Walaupun resipi memang dah ada dalam blog, tapi che mat kongsikan resipinya di sini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
450 gram mentega berkualiti tinggi (scs. anchor, golden churn, emborg)
150 gram gula kastor (che mat letak 130 gram)
10 biji telur gred A
300 gram biskut marie (che mat guna brand Munchy's)
300 gram susu pekat manis (che mat guna 200 gram)
85 gram seri kaya (che mat guna kaya Yeo's)
1 camca teh esen vanilla
2 paket asam manis (1 paket ada 10 bungkus)
Pewarna makanan pilihan anda (che mat guna warna merah, hijau dan kuning)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kisar biskut marie hingga halus dan ayak. Asam manis dileraikan dan ketepikan. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi dan ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih. Masukkan telur satu persatu sambil diputar hingga kembang. Masukkan seri kaya, susu pekat manis dan esen vanilla, putar hingga sebati. Perlahankan kelajuan, masukkan biskut marie yang dikisar tadi sedikit demi sedikit hingga habis dan putar hingga semua rata.
  3. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan setiap satu dengan warna hijau, kuning dan merah, kacau hingga rata. Masukkan tin kosong ke dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C, biarkan 1 - 2 minit. Keluarkan tin dan sudukan 4 camca besar penuh salah satu adunan kek yang telah anda warnakan tadi (che mat mulakan dengan warna kuning). Ratakan.
  4. Bakar 6 - 7 minit hingga permukaan sedikit keperangan. Keluarkan dari oven, tekan perlahan dengan penekan kek lapis dan sudukan 4 camca besar lagi adunan warna yang sama. Kemudian susun asam manis. Masukkan kembali ke dalam oven dan kali ini tukar api oven pada fungsi grill dan turunkan suhu kepada 160C. Bakar hingga permukaan kek keperangan.
  5. Keluarkan kek, jika ada gelembung udara, cucuk dengan lidi sate bersih, kemudian tekan perlahan dengan penekan kek lapis. Untuk lapisan seterusnya guna warna lain pula dan keadah membakar sama seperti mula2 tadi. Setiap 2 lapisan warna sama, anda susunkan asam manis. Buat hingga siap dan untuk lapisan terakhir, bakar dengan api atas dan bawah selama 10 minit. Keluarkan dari oven dan sejukkan sekejap sebelum anda keluarkan kek dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan...
CATATAN MAT GEBU :- Untuk memudahkan anda menyimpan, che mat sarakan kek tadi setelah betul2 sejuk, anda potong kepada 4 bahagian, kemudian bungkus setiap satu dengan plastik cling, susun dalam bekas dan taruk dalam peti sejuk. Ini memudahkan anda jika perlu, anda hanya ambil 1 bahagian dan potong untuk dihidangkan, tak de lah nak kena keluarkan seketul besar, potong kemudian simpan. Kena 4 - 5 kali macam tu, kek pun jadi tak senonoh, dah asyik bukak kemudian bungkus... Harap ia berguna untuk anda di lebaran nanti....Selamat mencuba!!....


Post a Comment

6 Comments

  1. Tq che mat bg tips.. Saya tak buat tempah je dgn adish shida

    ReplyDelete
  2. Saya suka merasa semua jenis yg dihidangkan semasa beraya di rumah kawan-kawan muslim. Dah la Sarawak memang terkenal dengan kek lapis yg pelbagai jenis

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.