BEN ASHAARI

Wednesday, June 10, 2015

PECEL TOK CHE MAT?..

rsz_peccel2
Assalammualaikum, salam semua. Semalam seharian che mat tak sentuh laptop langsung. Jenguk2 FB pun guna fon saja. Entahlah rasa penat dan tak larat mata nak mengadap skrin laptop. Semalam che mat memang tak masak, makan yang biasa2 saja. Hari ni che mat merajinkan diri memasak. Tekak rasa nak makan pecel atau pecal. Dah beberapa hari ni memang ngidam pecel. Walaupun pada che mat pecel kali ini tidak lah berapa asli, tapi ia tetap menepati tekak che mat. Kalau pecel asli, mereka guna taugeh kacang hijau jenis kontot2 tu. Dan ada pucuk ubi rebus. Kuah pecel kali ini che mat masukkan santan dan tambah cili padi kasi pedas berapi...apa barang pecel tak pedas, yea tak?...

rsz_peccel1
Sebelum buat pagi tapi, sempat juga che mat tanya pendapat rakan2 FB, ok ke kalau makan pecel campur telur rebus? Sebab ada telur pengantin kat rumah ni, dapat masa majlis kerja kawin tu hari. Ramai yang kata ok dan ada antara mereka memang makan pecel tambah telur rebus. Maka ku masukkan telur rebus, dan memang ok sangat, sedap. Bahan2 untuk bikin pecel agak mudah dan biasa2. Untuk kuah pecel, che mat tak masukkan belacan, tapi guna ikan bilis (diolah dari kuah kacang pucuk paku celur tempoh hari). Dan ia sesuai bagi mereka yang alah pada belacan. Rasa che mat pecel ini sesuai juga untuk bulan puasa nanti, ha ah kan tinggal seminggu lebih saja lagi kita  nak berpuasa...alhamdulillah, moga dipermudahkan semuanya. Jika anda ingin mencuba, che mat tuliskan resipi 'pecel tok che mat' di bawah...

BAHAN-BAHAN KUAH PECEL :-)
2 cawan kacang tanah, cuci dan toskan
1 cawan santan
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
2 ulas bawang putih
20 biji cili padi kampung
2 inci isi cekur
Garam dan gula secukup rasa
2-3 cawan air panas atau secukupnya

BAHAN-BAHAN PECEL :-)
1 ikat sayur kangkung (kurang lebih 1 cekak), dipotong kecil, cuci dan toskan
6 tangkai kacang panjang, kerat pendek
2 genggam taugeh
2 keping tauhu
3 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub
1 biji sengkuah saiz kecil
1 biji timun
2 - 3 biji telur rebus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECEL :- Kacang tanaj digoreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan dan buang kulitnya. Tumbuk hingga hancur (tak perlu sampai terlalu halus, che mat guna food processor) dan masukkan dalam satu bekas. Ikan bilis ditoskan, perah dan goreng hingga garing. Dalam lesung batu, masukkan cili padi, bawang putih, isi cekur dan ikan bilis goreng. Tumbuk hingga halus dan sebati. Cedok keluar dan masukkan ke dalam bekas berisi kacang tumbuk. Tuang santan, kacau rata dan masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat kuah yang tidah terlalu cair atau pekat. Tambah garam dan gula secukup rasa, kacau rata dan boleh hidangkan bersama bahan2 pecel. (terpulang pada anda nak kuah pecel manis atau kurang manis)
  2. UNTUK BAHAN-BAHAN PECEL :- Didihkan air, masukkan sedikit garam dan 1/4 camca teh minyak masak. Masukkan kangkung dan celur selama 20 saat atau hingga lembut, cedok keluar dan toskan. Kemudian celur pula kacang panjang selama 40 saat, angkat dan toskan. Untuk taugeh, che mat taruk dalam tapis, kemudian siramkan dengan air panas mendidih dan toskan. Tauhu, digoreng dan potong kecil, tempe dipotong kiub dan goreng hingga kekuningan. Sengkuag dikupas dan hiris kecil, begitu juga dengan timun, dihiris kecil. Telur rebus, anda boleh belah 2 atau 4. Ketepikan.
  3. UNTUK PECEL TOK CHE MAT :- Cedok serba sedikit bahan2 untuk pecel, kecuali telur rebus, ke dalam pinggan sesuai. Kemudian tuang kuah secukupnya dan gaul rata2. Letak telur rebus yang telah dibelah tadi dan boleh hidangkan segera....Selamat mencuba!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.