DALCA KAMBING KACANG KUDA

rsz_1dalca_kambeng
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Anda biasa masak dalca?...Che mat antara penggemar dalca, kerana dalca satu masakan yang amat2 versatile, kebiasaannya dimakan bersama nasi2 berperisa seperti nasi minyak, nasi beriani dan sebagainya. Selain itu enak juga dimakan bersama roti, lempeng, roti jala, capati dan roti canai. Biasanya che mat masak dalca biasa, tapi kali ni cuba masak dalca kambing pulak. Sedap ke dalca kambing?..Bagi mereka yang tak makan kambing, mesti kata kurang sedap, toksah risau, anda boleh gantikan dengan daging lembu. Kalau ada daging korban, lagi elok, gunakan. Kalau nak sedap gunakan daging yang ada lemak seperti daging tetel. Kalau nak guna tulang pun boleh, pastikan yang masih ada daging..

rsz_dalca_kambeng_1
Untuk dalca kambing ini che mat masukkan juga 1 tin kacang kuda, beli kacang kuda dalam tin jenama 'kimball' tu aje. Kalau anda rajin nak rebus sendiri pun boleh, rendam dalam 1 cawan kacang kuda semalaman, esoknya rebus dengan sedikit garam sampai empuk. Kacang dhal che mat masukkan juga, kalau tak kuranglah kenikmatan masakan bernama 'dalca'. Resipi macam ni, makin lama anda simpan makin sedap rasanya, tapi pastikan ia dipanaskan dan jangan rapatkan tudung periuk masa dalca tengah panas, ini boleh menyebabkan wap air yang terkumpul akan menitis balik ke dalam masakan dan dalca akan cepat basi. Boleh faham?...alhamdulillah, bukan susah mana, ok kalau nak cuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging kambing, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, dihiris nipis*
3 ulas bawang putih, diketuk*
Air secukupnya*(*satukan dan rebus hingga daging kambing empuk)
1 liter santan cair
500 ml pati santan
3 camca besar cili kisar
6 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
1 cawan kacang dhal
1 tin kacang kuda dalam tin (che mat guna jenama kimball), toskan
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa

UNTUK SAYUR-SAYURAN :-)
3 biji kentang, kupas dan potong 8 setiap 1, rendam
8 tangkai kacang panjang, potong pendek
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
1 batang lobak merah, potong berbaji
1 biji terung ungu saiz besar, dipotong dadu
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau, hiris serong memanjang

BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
7 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari. Kacau rata hingga menjadi pes, dan tambah sedikit air jika perlu. Kacang dhal dicuci dan rebus hingga empuk, toskan dan simpan air rebusannya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan atau lebih sedikit), masuk bahan2 tumis dan masak hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Tamban pes rempah kari dan masak hingga rempah garing. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan kentang dan lobak merah. Gaul rata dan masak sekejap. Kemudian tuang air rebusan daging kambing, air rebusan kacang dhal dan santan cair. Kacau rata dan biar mendidih. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan daging kambing. Kacau dan biar mendidih.
  4. Masukkan asam gelugor, kacang dhal, kacang kuda serta sayur-sayuran seperti kacang panjang dan terung. Tuang pati santan, kacau dan biar mendidih dengan api kecil. Tambah gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan tomato dan hirisan cili merah dan hijau. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama nasi, roti dan sebagainya..

Post a Comment

1 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.