KUE TEOW KARI....

rsz_kue_teow_kari
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masukkan entri menu beberapa hari lepas. Maaf lah sebab masa agak ketat juga sekarang ni, dah lah tu, menaip pun kelang kabut, tulis pun ada kala tersilap, jari rasa nak terpeleot aje. Kue teow kari yang anda lihat ni che mat buat untuk habiskan baki kue teow. Nak goreng rasa jemu pulak, jadi kita buat mi kari. Guna santan kotak, tapi kalau nak ganti dengan susu pun boleh. Santan che mat guna dalam 1 cawan. Kalau dapat guna santan segar lagi bess. Bagi yang tak gemar kue teow, anda boleh tukar dengan mi kuning atau mi hoon. Hidangan ini boleh dikatakan agak ringkas dan mudah membuatnya. Yang utama, kuah kari dan diikuti dengan mi/kue teow/mi hoon serta bahan2 sampingan.

rsz_kue_teow_kari1 (1)
Pada che mat, mi/kue teow kari lebih sedap jika menggunakan tauhu pok dari tauhu biasa (seperti dalam gambar), ini kerana tauhu pok agak berrongga dan bila dimasukkan ke dalam kuah kari, ia lebih menyerap kuah bila kita makan. Tapi kalau takde, guna tauhu biasa pun tak salah. Isi kerang tu tak wajib ada, tapi kalau ada lagi lah sedap kue teow kari anda. Perasan tak apa yang kurang?...hmm, bawang goreng kehabisan, jadi macam kurang satu bahan hiasan. Sedap ke?...insha Allah sedap dan nak lagi sedap makan masa lapar..hehe..resipi senang aje, tapi yang penting guna air rebusan ayam atau kalau takde boleh ganti dengan kiub pati ayam (selalunya che mat guna jenama MAGGI)...Jomm lihat resipi..

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 keping besar bahagian peha ayam*
1 inci halia, hiris*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 biji bawang besarm belah 4*
2 liter air*(*direbus hingga ayam empuk, asingkan air rebusan dan ayam)
1 cawan pati santan
4 biji bawang merah kecil, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 camca besar cili kisar
3 cmca besar rempah kari
1 biji bawang besar #
2 ulas bawang putih #
1/2 inci halia #
Sedikit hirisan kunyit hidup #(#dikisar halus)
1 cawan isi kerang
Beberapa biji bebola ikan, belah 2 setiap 1

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Kue teow secukupnya, cuci dan toskan
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Tauhu, digoreng dan hiris
Sawi bok choy, dicelur sekejap dan toskan
Isi ayam yang direbus tadi, dicarik2
Limau kasturi dibelah 2 setiap 1
Hirisan daun sup/daun bawang
Hirisan cili merah
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH KUE TEOW KARI :- Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 4 camca besar). Tumis bawang merah hiris dan bawang putih hiris hingga harum dan perang. Masukkan  kayu manis, bunga lawang dan cili kisar, masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau selalu, sementara itu bancuh rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masukka ke dalam periuk. Kacau dan masak hingga rempah garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Tuang air rebusan ayam tadi, kacau dan biar mendidih. Masukkan isi kerang, bebola ikan dan tuang santan, kacau dan kecilkan api. Biar masak, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (dalam 3/4 camca teh). Kalau anda nak masukkan serbuk perasa pun boleh. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK KUE TEOW KARI :- Masukkan secukupnya kue teow ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah kari bersama isi2nya sekali. Hias dengan bok choy, taugeh, telur rebus, hirisan daun sup/daun bawang, cili merah hiris, tauhu, bawang goreng dan isi ayam yang dicarik. Perah limau kasturi sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas...ehemmm.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda guna mi kuning, cuci dan celur sekejap, begitu juga mi hoon.  Kerang yang che mat guna tu isi kerang segar, jadi che mat masukkan sekali ke dalam kuah. Kalau anda guna isi kerang yang telah direbus, boleh ditabur kemudian atas mi. Jika suka pedas, boleh letak sedikit sambal tumis, terpulang pada selera anda...Selamat mencuba!!

Post a Comment

2 Comments

  1. sedapnya.....pertama kali dpt resepi mcm ni..kreatif...

    ReplyDelete
  2. Kuetiau tu tak payah celur yer che mat? Tq.

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.