RESIPI BAMIA KAMBING

Assalammualaikum, salam Ahad semua. Dah beberapa hari cuaca asyik hujan saja di kampung che mat. Dan beberapa kawasan di negeri Johor dah mula dinaiki air. Harap2 esok lusa hujan berhentilah, kesian pada mereka yang ditimpa musibah banjir. Apa tah lagi kalau ada anak2 kecil dan warga emas. Kita sama2 berdoa lah yea agar hujan berhenti. Berbalik cerita masakan hari ni, che mat masak bamia kambing. Resipi yang berasal dari timur tengah ni agak popular di Johor dan Singapura, ini kerana pengaruh dari pendatang2 arab yang bermastautin di situ. Bamia biasanya dimasak menggunakan daging kambing. Tapi mereka yang tak makan kambing, ok saja tukarkan dengan daging lembu. Guna ayam che mat tak pernah, tapi kalau nak cuba apa salahnya, Ada yang tanya, bamia memang kena taruk bendi ke? Yelah kita ni masak ikut resipi mereka dan secara umumnya masakan bamia memang ada taruk bendi, jadi ikut sajalah. Jika ada yang tak suka, ok kot tak letak, terpulang pada selera masing2, jangan stres sangat, ikut selera tekak kita nak makan...

Resipi asal menggunakan 1 kilo daging kambing (resipi yang che mat tulis nanti untuk sekilo daging kambing), memandangkan che mat kat rumah ni hanya bertiga, jadi kami masak dalam sekati atau kurang lebih 600 gram saja. Bamia tak salah kalau kita masak lebih, kerana boleh disimpan dalam freezer. Kata orang bamia, ni lagi lama, lagi sedap, cuma kalau lama sikit, bendi tu jadi lerai lah, kurang cantik rupa dia, tapi kalau dah masuk dalam perut, rupa cantik semua hilang, yea dak. Resipi bamia kambing ni che mat dah beberapa kali masak sebenarnya dan dah  ada dikongsikan dalam blog tiffinbiru. Resipi klasik ini dari buku Nostalgia Medan Selera, buku masakan lama koleksi masakan orang2 Johor dulu kala. Ia juga ditulis oleh pakar masakan, seorang guru lelaki yang pernah menjadi tukang masak untuk majlis perkahwinan di Raja Johor di era Almarhum Sultan Ismail dulu, ketika perkahwinan anakanda beliau, Tunku Gedong. Jadi kiranya bukan lah calang2 orang yang empunya resipi ini. Apa2 pun moga pahala terus mengalir untuk arwah atas perkongsian ilmu yang bermanfaat ini - Al-Fatihah....

Jomm kita semak resipi bamia kambing, nanti ada masa boleh cuba masak, sedap ni makan dengan roti, roti prata, capati, lemping atau nasi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg daging kambing yang telah siap diporong
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
10 batang bendi, cuci dan toskan
2 biji limau nipis, 1 untuk perap daging kambing, 1 untuk masakan bamia
2 pokok daun ketumbar, cuci dan potong kasar
4 camca besar sos tomato
1 cawan susu cair
1 camca besar gula melaka
10 kuntum bunga cengkih
8 biji buah pelaga
Garam secukup rasa
Minyak sapi secukupnya (anggaran 2 camca besar penuh)
Minyak masak secukupnya (anggaran 1/4 cawan)
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah kecil
8 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
10 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan rendam dalam air panas selama 15 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
3 camca besar ketumbar biji
1 camca besar jintan manis (jintan kasar)
1 camca besar jintan putih (jintan halus)
1 camca teh lada sulah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dicuci, kendian gaulkan dengan satu camca besar tepung gandum dan jus dari sebiji limau nipis, gaul rata dan perap 20 minit, ketepikan. Sementara itu, cuci bahan2 rempah, toskan dan masukkan ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga rempah wangi. Tumbuk atau kisar (gunakan kisar kering) hingga halus. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, panaskan minyak masak dan tambah minyak sapi. Masak hingga minyak sapi cair. Tumis buah pelaga dan bunga cengkih hingga wangi, masukkan bahan2 kisar halus dan bahan rempah yang dikisar tadi. Kacau rata dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api sederhana dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan sos tomato, kacau dan masak sekejap. Sementara itu, cuci daging kambing dan toskan, masukkan dalam periuk, gaul rata dan masak hingga daging kambing kecut. Boleh tuang air panas hingga daging kambing tenggelam. Kacau dan biarkan menggelegak. Kendian kecilkan api dan masak hingga daging kambing empuk. Tambah air panas jika perlu.
  4. Bila daging dah empuk, boleh masukkan susu cair dan jus limau nipis. Kacau dan masak hingga hampir pekat (sampai permukaan dia terbit minyak). Masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Boleh masuk bendi (pastikan dibuang sedikit bahagian tangkainya, kalau bendi panjang, boleh dikerat 2 setiap 1). Biarkan masak sekejap.
  5. Masukkan tomato dan biar hingga tomato dan bendi lembut. Akhir sekali boleh masukkan daun ketumbar. Gaul rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Bolehlah hidangkan dengan roti atau nasi....Sumpah sedap wakkk!

Post a Comment

2 Comments

  1. rupa macam kari tapi tak nampak pulak ada tulis rempah kari. Menggoda ni makan ngan lempeng, sedapnyaaaa.

    ReplyDelete
  2. Saya tertarik nak buat. Masakan timur tengah macam ni saya sukaaa sangat. Tadi sempat bingung bendi itu apa. Awalnya saya pikir kendi , tempat menyimpan air dari tanah liat 😅.

    Tapi ternyata setelah browsing ternyata sayur okra ya kak 😁.

    Cuma dari segi bahan saya blm pernah nampak minyak sapi. Nantilah coba cari di supermarket yg banyak jual bahan masakan timur tengah, untungnya ada dekat rumah saya. Thank you for sharing the recipe kak 👍

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.