rsz_tempe

Salam semua, errr..macam mengantuk teramat sangat pulak...huhu, dah makan? Mat hari ni masak yang biasa2 dan mudah2 saja. Serba ringkas kata orang. Kebetulan ada 6 keping tempe berbungkus daun, pemberian sedara mat semalam. Jadi setelah ku telek dalam batil tembaga dan turut bertanya pada cermin hikmat, apa menu sesuai nak ku tukarkan itu tempe. Dan beberapa ketika maka terjawab lah, jadi mat buat sambal kering tempe ikan bilis, ala2 masak berlado gitu lah senang cerita. Memang senang buat dan rasa dia pun sheeedapp lahh, errr, takkan nak kata tidak, yea tak. Tapi anda jangan salah faham. Selera kira berbeza, sedap pada kita, mungkin biasa2 pada orang kedua dan tidak sedap pada orang ketiga. Jadi kira normal lah kalau ada yang suka dan ada yang idok suka. Yang penting janji kita dan orang2 kat rumah suka, tak payah nak pening2 kepala..

rsz_ikan_bilis

Untuk resipi ini mat guna ikan bilis jenis kecil atau ikan bilis nasi. Tak perlu buang kepala semua, sebab ia halus. Sedap dan cepat garing bila digoreng, tapi agak masin, jadi kena lah rendam dulu kemudian tos dan perah, baru goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan. Sambal kering ini sedap dimakan bersama nasi atau begitu sahaja. Ok meh sini mat share resipi dia pulak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 - 7 keping tempe berbungkus daun
1 genggam ikan bilis nasi (seperti gambar di atas) rendam
2 camca besar bawang goreng
6 biji cili merah*
4 biji bawang merah*
4 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
2 biji limau kasturi, perah jusnya (kalau limau kecil, guna 3)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Hiris tempe nipis, kemudian goreng terendam hingga kuning keemasan dan garing, angkat dan toskan. Toskan ikan bilis, perah dan goreng hingga garing, guna api sederhana. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Tumis bahan kisar halus hingga harum dan garing. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan garam secukup rasa dan gula (dalam 2 camca besar gula atau ikut suka anda). Kacau rata dan bila pekat, masukkan jus limau kasturi. Kacau rata.
  3. Tambah tempe, ikan bilis dan bawang goreng, gaul rata dan masak hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dan boleh dimakan bersama nasi atau begitu sahaja..