P1240870
Salam semua, Selasa menjelma lagi dengan penuh kenangan nostalgia...hmm, yang lepas biar lah berlalu, jika ada orang kata jangan pandang belakang, tapi tidak bagi mat gebu, kerana cerita yang tinggal dibelakang, penuh dengan kenangan sebagai sejarah dan tanda ingatan, juga sebagai pengajaran kita di masa mendatang. Ok hari ni mat masak kari ayam bongsu..kenapa nama macam tu sebab, ayam kampung ni paling kecil diantara ayam2 yang ada...dan yang memasak nya sudah pasti seorang anak bongsu juga....siapa kah itu, siapa lah mat gebu lah anak bongsu tuu, dulu pak usu, sekarang dah naik pangkat jadi "tok usu"....erkk..tak pelahh, harus terima kenyataan, kita makin hari makin berusia. Kari ni mat masak tak pedas sebab untuk anak2 buah balik sekolah nanti, yelah kan budak2 mana lah tahan, kalau sendiri nak makan nanti, gandingkan lah dengan sambal belacan... Orait, jom semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung, anggaran 1.2 kg
5 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap biji, rendam
3 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
2 keping asam gelugor
1/2 camca besar gula melaka
300 ml pati santan
1 liter santan cair
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar saiz sederhana
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
5 biji cili merah
1 camca teh lada hitam (optional)

BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dikerat ikut suka, cuci bersih dan toskan. Satukan rempah kari dengan bahan kisar halus, kacau rata dan jika pekat tambah sedikit air. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah rempah kari + bahan kisar tadi. Tumis hingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau selalu.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan biar ayam kecut. Tuang santan cair dan sedikit air. Biar mendidih dan kemudian kecilkan api, masak hingga ayam empuk. Tambah kentang (toskan) dan bila kentang 1/2 empuk, masukkan asam gelugor.
  4. Tuang santan pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan gula melaka. Masak dengan api sederhana sambil dikacau sekali sekala. Bila kentang empuk, rasa kuahnya dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan....