P1240704
Salam semua, aduhh dah malam baru sempat masuk N3...hmm petang tadi pi melawat sedara mat kejap, maka tertangguhlah proses ku memotong kuih talam tokyo ni. Sebelum tu nak minta maaf dulu jika ada antara anda tak senang hati bila mat kata talam tokyo ni kuih warisan orang2 Johor, sebabnya setau mat orang Johor je yang buat kuih talam tokyo ni dulu2....betul tak orang2 Johor?. Mat pernah lihat dulu "Kak Zura" pernah buat ni, tapi sayang blog beliau telah tiada lagi, tatau mana menghilang. Kali ni resipi mat ambik dari blog Ilhamdapur milik Kak Maz, boleh lihat sini resipi asal. Talam tokyo kak maz punya kelihatan sungguh ayu dan kemas, mat punya hmm ok lah setakat tu jee tak secun kuih kak maz...

P1240706
Kuih ini agak unik, walaupun kelihatan seperti kuih seri muka atau kuih puteri salat, kata orang2 Singapura, kuih ni bahagian bawah dia terbuat dari biji sago rumbia yang dicampur kelapa parut putih dan soo hoon....menarik bukan. Kepala dia seakan resipi kuih seri muka saja, tapi dicampur dengan sedikit air abu atau alkaline water. Kalau tak de pun boleh diabaikan. Lagi pun fungsi air abu tu ialah untuk mengenyalkan adunan cuma bahaya kalau terlebih, nanti kuih akan terasa pedar (menggigit dan pahit). Hmm ok lah mata dah ngantuk ni, mat tulis resipi dia sebelum ku lena yeaa....

BAHAN LAPISAN BAWAH :-)
30 gram soo hoon, potong pendek2 dan rendam 25 minit, toskan
125 gram biji sago rumbia, cuci dan rendam 30 minit, toskan
50 gram kelapa parut putih
3/4 camca teh garam
200 ml santan

BAHAN LAPISAN ATAS :-)
150 gram gula pasir (mat letak 130)
50 gram tepung kastard
400 ml santan*
5 helai daun pandan, cuci dan potong kecil*(*dikisar dan tapis)
1 biji telur
3 - 4 titik air abu@alkaline water (optional)
1/4 camca teh garam (mat letak secubit je)
Beberapa titik pewarna hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK LAPISAN BAWAH :- Panaskan kukusan, alas tin kek berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan plastik bersih. Gaul semua bahan2 untuk lapisan bawah bersama santan. Masukkan dalam tin kek tadi, ratakan dan kukus 15 minit. Tutup permukaan tin kek dengan tudung periuk. Bila masak tekan2 sedikit. Ketepikan.
  2. UNTUK LAPISAN ATAS :- Satukan semua lapisan atas dan kacau dengan whisk hingga semua rata dan gula hancur, tapis dan masukkan dalam bekas tahan panas. Masak dengan kaedah double boiler sambil dikacau hingga bancuhan sedikit pekat seperti susu pekat manis. Matikan api.
  3. UNTUK TALAM TOKYO :- Tuang lapisan atas tadi perlahan2, mat guna kaedah dengan meletakkan senduk atas lapisan bawah dan tuang lapisan atas di dalam senduk tadi dan biar bancuhan melimpah secara perlahan2. Ratakan dan kukus kembali dengan api sederhana selama 30 minit. Sejukkan betul2 sebelum dipotong...