BEN ASHAARI

Tuesday, January 9, 2018

RESIPI PECEL IKAN PARI

rsz_pip
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak kongsi resipi pecel ikan pari. Menu ni che mat bikin dua hari lepas. Hari ni baru berkesempatan nak taruk kat blog. Rasanya sebelum ni dah ada menu pecel ikan pari tapi kali ni che mat bikin lain sikit. Biasalah, kan ada macam2 kaedah nak menghidangkan pecel ikan pari ni. Selain ikan pari, ikan keli pun boleh dibikin pecel. Ada kenalan FB che mat dia guna ikan caru ajer wakk. nampak sedap sangat. Memasak ni kena kreatif yea dah. Kalau takde ikan sangat, ikan kembong pun boleh, pernah tengok dulu ada orang kongsi gambar pecel ayam, ha ah..jangan tak percaya. Biasanya ikan untuk pecel perlu dibakar, kalau malas, kau goreng pun boleh, tapi toksah lah sampai garing, goreng sampai isi ikan tu masak sudah memadai. Ikan pari che mat guna kurang lebih 500 gram. Mahal betullah ikan sekarang ni, masa beli tu hari ikan pari RM 30 per kg!..kata teman2 FB, di tempat mereka, harga boleh mencecah ke RM 35 per kg!...perghh memang giler lahh...Tapi kalau harga dia mahal, kita belilah sikit, betul tak...Kalau nak mencuba pecel ikan pari, che mat tuliskan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari (kurang lebih)*
1 biji limau nipis, perah jusnya*
1 camca besar garam*
3 helai daun cekur, hiris halus
1 keping asam gelugor
2 cawan santan segar (boleh guna santan kotak + air = 2 cawan)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 inci isi ubi cekur
20 biji cili padi kampung bewarna hijau (boleh kurang atau lebihkan)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana. Cuci, toskan dan gaul dengan bahan2 bertanda (*). Perap 20 minit. Kemudian cuci bersih, toskan dan gaulkan dengan sedikit garam (anggaran 1 camca teh) hingga rata. Bakar ikan pari tadi hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Masukkan santan ke dalam periuk bersama bahan2 tumbuk hancur. Kacau rata dan masukkan asam gelugor. Masak dengan api kecil hingga mendidih sambil dikacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan hirisan daun cekur, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan sebentar.
  3. Ikan pari tadi dicarik2 isinya dan taruk dalam bekas sesuai. Kemudian tuangkan kuah santan, gaul rata dan boleh hidangkan dengan nasi panas. Selamat mencuba!...

Monday, January 8, 2018

PULUT KUNING SIMBOL USIA KU 42 TAHUN

rsz_pkmg1
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Sujud syukur hari ini che mat selamat mencecah usia ke 42 tahun. Alhamdulillah sudah 42 tahun Allah beri pinjam usia dan segala nikmatnya. Usia ibarat emas, semakin lama semakin berharga. Sempena usia yang ke 42 tahun, hari ni che mat melangsungkan tradisi orang2 Melayu kita, dengan hidangan pulut kuning dan rendang daging. Kebetulan mak che mat berpuasa hari ni, dapat lah dia makan waktu berbuka nanti. Rasanya resipi pulut kuning dan rendang pernah che mat kongsikan di blog, jadi tak perlu tulis lagi lah yea. 

Dalam kesempatan ini ingin juga che mat ucapkan terima kasih tak terhingga kepada teman2 FB yang memberi ucapan, teman2 blogger terutama geng masak2, group wassap (Kak Ummi Kuantan, Mama Fami dan Kak Jun) dan juga teman2 blogger dari Kelab Blogger Ben Ashaari. Tak lupa pada Ben Ashaari sendiri, terima kasih dengan entri yang sungguh bermakna tu yea. Dalam masa sama che mat juga ingin mengucapkan selamat hari lahir pada Yana Azfar dan En. Ishak Ismail.....Selamat hari lahir, moga dipanjangkan usia dan sentiasa dirahmati Allah swt...aminn....


Sunday, January 7, 2018

RESIPI LAKSA ASAM

rsz_lacm
Assalammualaikum, salam semua dan masih tak terlambat che mat nak ucapkan selamat tahun baru 2018. Masa pantas betulkan bila kita berada di akhir zaman ni, tau2 dah tahun 2018, ibarat mimpi ajer. Ini entri pertama che mat untuk tahun baru. Biasanya kalau resipi yang dah kerap taruk kat blog, che mat akan kongsikan saja di FB dan IG. Hari ni bikin laksa asam. Dari semalam dah mengidam sangat2 nak laksa asam. Laksa asam mudah dibuat dan biasanya menggunakan ikan kembong, ikan selayang @ ikan sardine, ikan tenggiri. Tapikan, kita boleh guna apa juga jenis ikan, cuma setiap jenis ikan akan memberi rasa kuah laksa asam yang berbeza. Che mat pernah guna ikan tongkol dan tak kalah sedapnya...

rsz_lacm1
Kuah laksa asam harus ada rasa masam dan kali ni che mat gunakan asam jawa dan asam gelugor. Jika suka kuah yang agal bersih, bolehlah dikeluarkan daun kesom dan bunga kantan. Isi ikan pulak ditaruk selepas daun kesom dan bunga kantan dikelurkan. Che mat buat tak berapa pedas sangat, sejak2 dah berusia ni, dah kurang sikit makan pedas, kalau dulu, kau lanyak semacam ajer cili padi, tak de masalah. Kalau suka boleh ditambah hirisan nanas sebagai salah satu ulaman (biasanya kalau ada nanas dah jadi laksa asam Penang). Sebagai penambah perisa, boleh dihidangkan dengan petis atau otak udang. Laksa asam boleh dikategorikan sebagai hidangan sihat kerana tak guna sebarang minyak. Kalau tekak anda kurang selera makan, apa kata cuba bikin laksa asam...Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA ASAM:-)
3 - 4 ekor ikan kembong saiz besar
5 keping asam gelugor
1/2 cawan jus asam jawa
1/4 cawan cili kisar
2 biji bawang besar*
5 biji bawang merah kecil*
2 inci belacan, dibakar*(*dikisar halus)
1 batang serai, diketuk
1 cekak daun kesom, cuci dan toskan
2 kuntum bunga kantan, dibelah 2 setiap 1
Air rebusan ikan secukupnya
Air panas secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
Timun, diracik halus
Daun, salad, dihiris
Bawang besar, dihiris
Telur rebus secukupnya, dibelah 2
Hirisan cili merah dan cili hijau
Hirisan bunga kantan
Hirisan daun kesom
Daun pudina secukupnya
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2
Petis @ Otak udang secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA ASAM :- Ikan disiang, cuci bersih dan rebus hingga ikan masak. Keluarkan, asingkan isi ikan dan pecah2kan isinya. Tulang ikan dikisar halus dengan air rebusan ikan. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar, serai, asam gelugor, jus asam jawa dan air panas (anggaran 1 liter). Kacau dan masak hingga mendidih. Tambah daun kesom dan bunga kantan. Perlahankan api, tutup periuk dan masak selama 45 minit, kacau sekali sekala.
  2. Keluarkan serai, daun kesom dan bunga kantan tadi. Masukkan isi ikan, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (atau boleh guna serbuk perasa). Biarkan masak untuk 20 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG LAKSA ASAM :- Taruk secukupnya mi laksa dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya (pastikan kuah dikacau sebelum dituang ke dalam mangkuk). Hias dengan hirisan bawang besar, daun salad, cili merah, cili hijau, timun, telur rebus, hirisan daun kesom, bunga kantan, daun pudina dan sudukan sedikit petis. Perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Sebelum makan, pastikan anda gaul laksa asam tadi agar semuanya rata dan sebati...Selamat mencuba!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.