RESIPI MASAK LEMAK UDANG NANAS - Dapur Tanpa Sempadan...

Sunday, January 20, 2019

RESIPI MASAK LEMAK UDANG NANAS

Assalammualaikum, selamat tahun baru 2019, rasanya masih ok kan che mat ucap selamat tahun baru. Masa untuk che mat berblog agak terbatas sekarang ni, tapi kalau ada masa, in sha Allah, pasti blog akan terisi dengan resipi, tak kesah lah resipi baru atau resipi ulang tayang. Hari ni che mat masak lemaku udang sama nanas atau nenas. Kali ni guna udang galah yang tengah musim sekarang ni. Che mat guna dalam 500 gram macam tu. Saiz udang campur2, ada besar, ada kecik. Che mat lagi suka udang besar macam ni, kalau yang besar2 sangat isi dia liat tapi otak dia banyak, yang tu paling sedap sekali. Perancangan asal nak masak dengan rebung, tapi ada permintaan masak dengan nanas, jadi kita on ajer lah kan, kata orang Johor, yea dak. Tiba2 teringat arwah Bak (al-fatihah), Bak suka udang galah masak macam ni selain dimasak lemak sama timun. Dan arwah sendiri masa sihat dulu kerap memancing, dan  ada masa dapat udang galah besar2 (biasanya kalau yang besar kita panggil 'jongkong'). Tapi sejak arwah kena gaout, takde dah hidangan udang galah lagi...huhu. 

Satu lagi, udang galah kalau kita nak masak, kenalah buang dulu kotoran di bahagian kepalanya, faham2 ajer lah kan, kalau jenis udang galah yang dipancing, dia orang guna umpan cacing....ehemm. Cara nak buang kotoran tu tak susah, che mat ada kongsikan dalam gambar diatas tu. Bahagian kaki udang yang kecil2 boleh dibuang atau tak buang pun ok. Sebenarnya che mat lagi suka kaki2 kecik tu dibuang, macam semak samun ajer rupanya bila masak dalam piuk. Kalaut takde udang galah, boleh guna udang biasa tapi kalau ada budget gunalah udang yang saiz besar, baru puas makan. Ketam pun boleh kalau kita nak masak macam ni, resipi sama, cuma udang kita gantikan dengan ketam. Meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram udang galah
1 biji nanas madu
1 keping asam gelugor
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 kotak santan Kara (200 ml) *
1/4 cawan air panas*(*disatukan dan kacau rata)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
3 keping hirisan nanas

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Udang galah dicuci bersih, gunting bahagian muncung udang yang tajam dan berhati2 gunakan hujung pisau kecil, korek keluar kotoran yang terdapat dibahagian kepala udang dan buang (boleh rujuk gambar di atas), cuci kembali dan toskan. Nanas dikupas, belah empat dan buang empulurnya dan hiris sederhana tebal, ketepikan.
  2. Masukkan nanas, serai dan asam gelugor ke dalam periuk. Gaul rata dan tuang air hingga nanas tenggeram. Masak hingga mendidih. Masukkan kiub ikan bilis, jika guna. Masak sekejap dan masukkan udang, kacau perlahan dan masak hingga udang berubah warna. 
  3. Tuang santan. Kacau perlahan, tambah daun kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau sentiasa agar tidak pecah santan. Biarkan mendidih untuk 2 - 3 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!


No comments:

Post a Comment

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.