RESIPI TAUHU BEGEDIL - Dapur Tanpa Sempadan...

Monday, October 22, 2018

RESIPI TAUHU BEGEDIL

rsz_tbmg1
Assalammualaikum, salam semua. Mana2 di timeline FB dan IG, ada saja tauhu begedil berlegar2, tak kiralah samada mereka yang berjual atau mereka yang berkongsi gambar hasil dari dapur sendiri. Niat che mat nak bikin tauhu begedil ni dah lama, cuma tuhan belum seru lagi kerajinannya. Makin lama makin menjadi godaannya, ini tak boleh jadi, kena buat juga. Jadi hari ni pakcik laksanakan pembikinan tauhu begedel, alhamdulillah takde lah susah mana. Dapat banyak juga, adunan begedil tu cukup2 untuk 20 biji tahuhu pok yang che mat beli. Untuk pencicah dia, guna sambal kicap biasa ajer. Tauhu begedil sesuai untuk hidangan minum petang, kalau nak taruk dalam soto rasanya macam kurang ngam pulak, tak tradisional dari segi paras rupa. Nak cuba buat sendiri? Jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHAN INTI :-)
5 biji kentang saiz setiap satu sebesar penumbuk orang dewasa
100 gram daging tanpa urat, dicincang atau boleh guna daging kisar, cuci dan toskan*
2 camca teh rempah kurma*
1 ulas bawang putih, ditumbuk halus*(*disatukan, gaul rata dan perap sekejap)
1 pokok daun sup, hiris halus
1 genggam bawang goreng, diramas
Isi dari tauhu pok secukupnya
Sedikit garam

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
20 biji tauhu pok, dibelah betuk X dibahagian atasnya dan keluarkan isinya
2 biji telur, dipukul sedikit
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili padi merah, untuk hiasan
Sambal kicap untuk dimakan sama tauhu begedil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging cincang yang diperap tadi, digoreng tanpa minyak dalam kuali non-stick hingga air daging kering. Angkat dan sejukkan, Kentang dikupas, cuci dan hiris. Goreng kentang tadi hingga kekuningan dan empuk. Angkat, toskan minyaknya dan lecek halus. 
  2. Masukkan daging, isi tauhu pok, hirisan daun sup, bawang goreng dan sedikit garam. Gaul hingga semua rata dan sebati. Ambil secukupnya adunan begedil, anggaran 1 camca besar dan sumbatkan ke dalam tauhu pok tadi, kemaskan dan buat hingga selesai.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celup tauhu begedil dalam telur dan goreng hingga kuning keemasan. Balik2kan agar tauhu begedil masak sekata. Angkat dan toskan minyaknya. Sebelum dihidangkan, tabur dengan hirisan daun bawang cili padi merah, jika suka. Hidangkan dengan sambal kicap atau sebarang sos kegemaran anda. Selamat mencuba!

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.