RESIPI SUP IKAN ALA THAI - Dapur Tanpa Sempadan...

Wednesday, July 25, 2018

RESIPI SUP IKAN ALA THAI

rsz_siat
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi fusion, dia macam sup ikan, tapi seakan2 tomyan pun ada gak, entahlah apa nama nak dikasi pun tak tau nak, pakcik taruk ajer sup ikan ala Thai. Sepatutnya guna kepala ikan merah baru sedap, tapi kat frezer che mat cuma ada ikan selar papan, dari takde, kita guna sajalah. Dalam apa2 masakan pun, kalau kita guna jenis ikan yang berbeza, ia akan mempengaruhi rasa produk akhir kita. Yelah macam kari ayam dan kari daging, kan beza rasa dia. Resipi tak susah mana dan kalau anda kurang sihat, che mat rekomen anda cuba resipi ni, in sha Allah berselara makan. Kalau nak cuba guna ayam pun boleh juga. Ok, tak nak bebel banyak2, jomm kita semak resipi, sapa tau ada di antara akak2 dan abang2 yang nak mencuba..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan selar papan (atau ikan merah, kerapu, unga dan sebagainya)
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, dihiris
3 helai daun limau purut
2 pokok daun ketumbar, cuci bersih dan toskan
2 biji limau nipis, perah jusnya
12 biji tomato ceri @ 1 biji tomato biasa, dibelah 6
10 biji cili padi merah Thai
1 sup bunjut adabi (guna sup bunjut untuk sup tulang)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 camca teh lada hitam
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun ketumbar, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, kerat kepada beberapa bahagian, cuci bersih dan ketepikan. Daun ketumbar diasingkan akar dan daunnya. Akarnya diketuk2 sedikit dan daunnya dipotong kasar. Cili padi Thai diketuk (kalau nak campur cili padi hijau dan merah pun boleh). Lada hitam ditumbuk halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 4 camca besar. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan serai, lengkuas, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga, kacau rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya, anggaran 1.2 liter. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan sup bunjut, daun limau purut, lada hitam dan akar pokok ketumbar. Kacau rata dan biarkan mendidih perlahan. Masuk ikan, cili padi dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masak dengan api sederhana hingga ikan masak. Masukkan daun ketumbar dan akhir sekali tuang jus limau nipis, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan daun ketumbar dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.