BEN ASHAARI

Sunday, April 15, 2018

RESIPI PECAL SAYUR - PENGUBAT RINDU

rsz_psmg
Assalammualaikum, selamat bertemu kembali setelah 3 bulan lebih che mat tak bersiaran di blog atas sebab kesihatan tak mengizinkan. Buat masa sekarang ni pun che mat masih dalam proses berehat atas nasihat doktor, tapi kita ni dah biasa bikin kerja rumah, asyik nak berehat saja, rasa macam lemas, macam nak mati ajer..Apa2 pun segala tugasan che mat buat dalam keadaan sederhana tak boleh nak mengganas sangat. Dan untuk melepas rindu, hari ni che mat bikin pecal atau pecel. Sebelum ni pun memang ada masak2, cuma nak ngambik gambo tu tak berapa nak larat. Pecal satu hidangan sihat seperti rojak sayur dan ia berasal dari Jawa. Biasanya kuah pecal ditambah cekur atau di Indonesia dipanggil kencur. Ini yang membezakan antara kuah pecal, kuah rojak (rojak petis) dan kuah gado-gado (kalau kuah gado2, ianya dimasak dan dicampur daun limau purut).

rsz_psmg2
Pada che mat bahan2 sayur untuk hidangan pecal bergantung pada apa yang kita suka, boleh guna yang asas seperti kangkung, tauhu, tempe dan timun atau kalau nak lebih meriah, boleh ditambah taugeh, kacang panjang, pucuk ubi rebus, kobis yang dicelur dan sengkuang. Kalau yang betul2 ori, taugeh biasanya dibuat sendiri menggunakan kacang hijau dan bersaiz pendek atau taugeh kontot. Kuah pecal bergantung pada selera masing2, ada yang suka pedas dan ada yang suka kurang pedas. Kuahnya boleh dibuat lebih dan simpan dalam peti sejuk, atau nak lebih tahan lama, boleh dibekukan dalam freezer. Bila nak guna, bancuh dengan air panas dan hidangkan dengan sayur2 kegemaran anda. Sesuai juga untuk hidangan bulan Ramadan yang hampir tiba nanti....Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHAN KUAH PECAL :-)
1 1/2 cawan kacang tanah, cuci dan toskan
10 tangkai cili kering, lap bersih dengan tissue dapur
10 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
7 - 8 biji cili padi siam (warna merah)
2 camca besar hirisan gula melaka
1 inci belacan
2 inci isi cekur
1/2 cawan jus asam jawa (atau secukupnya)
Garam dan gula secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN PECAL :-)
4 - 5 tangkai kacang panjang
1 biji kecil sengkuang
1 biji timun
Taugeh, secukupnya
Tauhu secukupnya
1 cekak kangkung
1 cekak pucuk ubi
4 keping tempe berbungkus daun

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECAL:- Kacang tanah digoreng dalam minyak hingga keperangan, angkat, toskan dan tumbuk halus (atau dikisar) dan alih ke dalam mangkuk. Goreng cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan dan cili padi secara berasingan. Angkat dan toskan dan tumbuk halus, masukkan gula melaka dan cekur, tumbuk biar semua lumat. Masukkan ke dalam mangkuk berisi kacang tumbuk tadi, gaul rata.Tambah jus asam jawa secukupnya, masukkan air panas dan kacau hingga mendapat kuah pecal yang tidak terlalu pekat atau cair. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Ketepikan.
  2. UNTUK BAHAN-BAHAN PECAL :- Tauhu dan tempe digoreng hingga kekuningan, angkat, toskan dan potong kecil. Panaskan air dalam periuk, masukkan sedikit garam dan 1/2 camca teh minyak makan. Celur kacang panjang hingga lembut, angkat dan toskan. Celur pula kangkung, jangan lama2 sekejap saja, angkat dan toskan dan akhir sekali masukkan pucuk ubi, dan rebus hingga pucuk ubi betul2 lembut. Toskan, perah airnya dan potong kecil. Taugeh pula dibersihkan dan taruk dalam tapis, kemudian siram dengan air panas mendidih, toskan. Timun dan sengkuang dihiris kecil. Ketepikan.
  3. UNTUK PENYEDIAAN PECAL SAYUR :- Dalam pinggan atau piring yang sesuai, ambil serba sedikit bahan-bahan pecal dan tarukkan ke dalamnya. Kemudian tuangkan kuah pecal secukupnya. Sebelum makan, gaul sayur-sayuran serta tauhu dan tempe mesra dengan kuahnya. Pecal sayur sedia untuk dimakan. Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.