BEN ASHAARI

Monday, March 20, 2017

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

rsz_tempoyak1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi yang begitu klasik, errrr...sebelum2 ni pun dah banyak kali juga dah dijadikan entri blog. Takpe, lagi banyak, lagi meriah yea dak, walaupun ulang tayang. Sambal tempoyak daun kayu salah satu makanan tradisi orang2 Negeri Sembilan. Begitu klasik dan ini antara identiti mereka. Ada juga yang hairan bila tau che mat ada sedara mara di Rembau dan Labu. Arwah datok, orang Labu (Suku Biduanda) dan arwah uwan pulak dari Rembau (Suku Tiga Nenek). Dan mak che mat anak orang peranakan cina yang dijadikan anak angkat mereka (arwah datok dan uwan). Berkemungkinan besar, arwah uwan (arwah uwan ni dulu bidan) sambut mak che mat masa dilahirkan dulu dan diberi amanah untuk menjaganya. Masa kecik2 dulu, mak che mat pernah dibawa balik ke Rembau untuk satu jangka masa yang agak lama. Kemudian dibawa kembali ke Sedenak. Itu sebabnya kami biasa dengan masakan2 orang nismilan. Kata orang, 'akar umbi' jangan dilupa...

tempoyak
Bercerita pasal sambal tempoyak daun kayu. che mat guna hanya beberapa jenis yang ada sekitar rumah. Tapi semua daun atau ulam2 yang 'penting' seperti dalam gambar tu ada 1- Pucuk ubi, 2- Daun kadok, 3- Pucuk labu, 4- Daun kunyit dan 5- Petai. Semua ulam-ulaman tadi, kecuali petai, perlu dimayang halus seperti kita bikin bunga rampai. Che mat guna santan segar yang diperah dari 2 biji kelapa parut, anggaran santan dalam 1+ liter. Biasanya masakan ini lebih sedap setelah disimpan sehari. Kalau tak habis, biasanya kami bekukan dalam freezer. Oh yea, di IG che mat @matgebu , ada videonya, kalau nak tengok boleh ke klik sini... Resipi seperi berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 helai daun kunyit, pilih yang lembut
25 helai daun kadok
5 - 6 tangkai pucuk labu
5 papan petai, ambil isinya
1+ liter santan pekat, dari 2 biji kelapa parut
1 cawan tempoyak
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung (che mat campur yang merah dan hijau)
2 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Pucuk labu digentel dengan tapak tangan, tujuan untuk membuang bulu2 halusnya. Daun kunyit dibuang tulang tengahnya. Petai diambil isinya. Kesemua ulam2 daun (pucuk ubi, pucuk labu, daun kadok dan daun kunyit) dimayang halus seperti bunga rampai. Kemudian cuci dan toskan dalam tapis. Biar hingga kering. Isi petai dihiris nipis. Ikan bilis ditumbuk sedikit (jika guna ikan bilis saiz kecil, tak perlu tumbuk). Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama tempoyak dan pati santan. Kacau rata dan hidupkan api. Biar hingga mendidih dan pekat sedikit, guna api sederhana dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan daun2 yang telah dimayang tadi, petai dan ikan bilis. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, jika perlu. Masak sekejap lagi hingga petai empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

Wednesday, March 8, 2017

RESIPI UDANG GALAH MASAK LEMAK SAMA NANAS

rsz_ulnp (1)
Assalammualaikum, cakkk!!...haha, macam salah makan ubatkan si mat tu...Semua dah makan?...Hari ni che mat masak satu menu yang menjadi idaman mak che mat sejak beberapa bulan lepas. Rezeki agaknya, semalam kami ke pasar Endau di Mersing, tak semena2 ada orang jual udang galah. Dan si sepit biru itu betul2 tinggal 4 ekor. Bila timbang kurang lebih dalam 600 gram. Ok, che mat ambik semua dan hari ini mulalah operasi memasak udang galah masak lemak sama nanas. Mula2 plan nak taruk timun tua, tapi tu hari dah pernah masak lagi pun stok timun takde. Jadinya kita masukkan nanas saja, yang tu pun pemberian kenalan mak che mat. Alhamdulillah, semuanya rezeki dari Allah swt..

rsz_ulnp1 (1)
Bila masak menu macam ni, perasaan pertama yang datang, arwah 'bak'....Bagi yang ikut blog che mat sejak dulu lagi, pasti anda ada terperasan beberapa tahun dulu, kerap che mat kongsikan resipi dan menu udang galah. Ini kerana arwah bak seorang 'kaki pancing' dan boleh dikatakan, hampir setiap minggu dia akan memancing udang. Semuanya tinggal kenangan, al-fatihah bak. Yang lepas biarlah berlalu, kita teruskan dengan kehidupan yang bersisa ini. Bagi yang nak mencuba tapi takde udang galah. Boleh saja guna udang biasa atau gantikan dengan ketam. Nak guna ikan pun tak salah, kena cari ikan yang banyak isi macam ikan tenggiri, merah dan sebagainya. Tapi rasanya sudah pasti berbeza...Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 ekor udang galah saiz besar
1 biji saiz sederhana nanas madu (atas sebarang nanas)
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
15 biji cili padi kampung warna hijau
1 1/2 inci kunyit hidup
3 keping hirisan nanas (gunakan nanas yang dalam resipi)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkab, buang kaki2 kecilnya. Gunting bahagian tajam di kepala udang, buang kotorannya, cuci dan bersihkan. Buat hingga siap dan ketepikan. Nanas dikupas, kemudian hiris sederhana tebal dan ketepikan.
  2. Masukkan udang ke dalam periuk bersama serai dan bahan2 kisar halus. Kacau dan masak hingga mendidih dan udang berubah warna. Tuang santan cair, masukkan asam gelugor dan biar masak hingga menggelegak, kecilkan api.
  3. Tambah nanas dan masak sekejap. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Kacau sentiasa dan biar mendidih. Masak dengan api kecil hingga nanas lembut sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulan2man....Selamat mencuba!

Monday, March 6, 2017

RESIPI NUGGET AYAM

rsz_cnh
Assalammualaikum, salam semua. Dah masuk bulan Mac 2017 dan hari ini baru che mat sempat nak update entri baru. Bukan tak masak, tapi menu yang dimasak semuanya pernah dikongsikan resipinya dalam blog ni, jadi asyik nak ulang tayang saja, takut bosan pulak nanti. Tapi hari ni che mat bikin nugget ayam dan tak pernah lagi ada resipi nugget ayam. Secara kebetulan ada 2 keping dada ayam dalam freezer, jadi cuba2lah buat nugget ayam homemade. Banyak resipi yang che mat tengok samada di laman2 web atau youtube. Dan ada macam2 versi, ada yang dikukus dan ada juga hanya digoreng seperti kita buat cekodok. Kali ni che mat test resipi nugget ayam yang dikukus dahulu, kendian baru digoreng. Boleh dimasukkan sayur2 kegemaran dalam adunan nugget, seperti parutan lobak merah, daun bawang, jagung dan sebagainya. Tapi che mat lebih suka yang bersih dan plain, tak taruk apa2 sayuran, kecuali bawang putih, serbuk bawang dan lada sulah. Tidak menggunakan sebarang perisa tambahan. Buatnya boleh dikatakan agak mudah. Nugget yang siap disalut dengan serbuk roti, boleh kita dingin bekukan untuk kegunaan kemudian... Resipi seperti berikut....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram isi ayam bahagian dada, potong kecil, cuci dan toskan
5 keping roti sandwich, buang tepinya dan potong kecil*
1/3 cawan susu segar*(*disatukan dan biar terendam)
2 camca besar tepung gandum
1 biji telur gred A
3 ulas bawang putih, tumbuk halus
1 camca teh penuh serbuk lada sulah (boleh kurangkan)
1 camca besar serbuk bawang (boleh beli di Tesco, MyDin. Aeon atau pasaraya2)
1 camca teh baking powder
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN MENYALUT NUGGET :-)
3 biji telur, dipukul sedikit
Serbuk roti warna kuning @ oren secukupnya (anggaran 250 gram)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Isi ayam dicincang halus (che mat masukkan dalam food processor dan kisar halus). Roti yang berendam dengan susu tadi diramas hingga hancur (kalau takde susu, boleh guna air masak). Masukkan isi ayam yang dikisar tadi ke dalam mangkuk besar. Tambah roti, bawang putih tumbuk, serbuk bawang, telur, tepung gandum, baking powder, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh rata). Gaul hingga semua sebati. Ketepikan.
  2. Panaskan kukus, sapu tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan minyak makan. Tuang adunan nugget ke dalamnya dan ratakan. Sapu tapak tangan dengan sedikit minyak masak, dan ratakan permukaannya hingga licin. Tutup permukaan tin dengan tudung periuk atau aluminium foil dan kukus dengan api sederhana selama 25 minit. Angkat dari kukus dan keluarkan dari tin, sejukkan.
  3. Kepingan nugget yang telah sejuk tadi boleh dipotong ikut suka, che mat potong bentuk jejari. Buat hingga siap. Kemudian setiap satu potongan nugget dicelop dalam telur dan golekkan atas serbuk roti. Celop sekali lagi nugget tadi dalam telur dan golekkan sekali lagi atas serbuk roti . Tujuannya untuk mendapat salutan yang cantik. Susun dalam dulang. Buat hingga siap.
  4. Nugget yang telah siap bersalut boleh disusun dalam belas kedap udara dan simpan dalam freezer untuk kegunaan kemudian. Atau boleh digoreng terus dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan. Hidangkan bersama sos kegemaran anda...Selamat mencuba!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.