BEN ASHAARI

Friday, December 29, 2017

RESIPI AYAM BUAH KELUAK

rsz_ayambuahkluak
Assalammualaikum, salam semua. Semalam che mat masak ayam buah keluak, dan hari ini baru berkesempatan nak tulis di blog. Ayam buah keluak salah satu resipi klasik orang peranakan baba nyonya. Memasaknya mudah tapi nak mengerjakan buah atau biji keluak tu agak memakan masa. Buah keluak sebenarnya biji dari buah pokok kepayang. Buah kepayang bentuknya seperti bola rugby dan didalamnya terdapat beberapa biji keluak. Sebelum boleh dijual, biji keluak perlu melalui beberapa proses agar ia selamat dimakan. Biji/buah keluak popular di Indonesia dan juga di kalangan orang2 peranakan Baba Nyonya di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Selain itu hidangan dari Indonesia yang menggunakan isi buah keluak, ialah masakan rawon. Masakan ini tekenal di Singapura...

rsz_buah_keluak
Ok, macam mana nak beli buah keluak?...Cara nak pilih yang elok macam mana?..Che mat sendiri pun banyak belajar dari rakan2 orang peranakan dan juga dai internet. Buah keluak yang bagus, isinya bewarna hitam. Kulitnya buah keluak juga bersih, maksud bersih ialah tiada tanda2 berkulat. Pilih buah keluak yang berat. Penyediaan buah keluak sebelum boleh dimasukkan ke dalam masakan agak leceh. Buah keluak perlu direndam 4 - 5 hari dan air rendaman perlu diganti setiap hari. Dan jangan lupa berus buah keluak hingga bersih, kemudian cuci dan rendam. Biasanya semakin hari, air rendaman semakin bersih..

cats
Isi buah keluak perlu dikeluarkan terlebih dahulu, cara che mat ialah dengan mengetuk pada permukaan licin di buah keluak dengan anak lesung batu, bila bahagian licin retak, kita potong guna gunting hingga terbuka. Kendian isinya dikorek keluar menggunakan sudu kecil...seterusnya nanti kita cerita kat resipi yea....Meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 biji buah keluak yang telah melalui proses pembersihan
1/2 keping dada ayam, cincang halus*
1 camca teh gula*
1 camca teh garam*
1/2 ekor ayam (kurang lebih 600 gram), potong ikut suka, cuci dan toskan
20 tangkai cili kering, potong, buang biji, rendam dalam air panas, toskan dan kisar halus
4 helai daun limau purut
1 batang serai, diketuk
1/3 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6  biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang cili merah
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Buah keluak dikeluarkan isinya, kemudian tumbuk halus, campurkan dengan bahan2 bertanda (*) dan kacau rata. Isikan kembali ke dalam tempurung buah keluak seperti dalam gambar di atas. Buat hingga siap dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai titik hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. 
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut dan berubah warna. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), kacau dan biarkan mendidih. Tambah buah keluak dan masukkan daun limau purut, koyak2kan daun tadi agar aromanya keluar.
  4. Tuang jus asam jawa, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga ayam empuk dan kuahnya pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

Thursday, December 28, 2017

RESIPI KUIH SERABAI

rsz_serabaii
Assalammualaikum, salam semua. Petang ni mood rajin datang, lagi pun mak che mat berpuasa, jadi elok kita bikin pemanis mulut yang kurang manis. Dan kebetulan sekarang ni kan musim durian, boleh lah kita manfaatkan durian tu yea dak. Biasa makan kuih serabai? Kuih Serabai ini kalau kita perhatikan, dia lebih kurang macam apam, sebab menggunakan ibu roti sebagai agen penaik. Disamping itu dimasukkan juga nasi sejuk yang ni menjadikan kuih serabai lembut sampai ke petang, tak risau keras atau bantat. Che mat dah pernah buat kuih serabai ni dulu dan buatnya tak susah, masak atas dapur gas saja. Biasanya kuih serabai kita makan dengan kuahnya yang seperti kuah pengat. Kalau dicampur dengan durian, lagi lah bertambah sedap jadinya...

rsz_serabaii1
Resipi yang ini akan menghasilkan hampir 30 keping kuih serabai, tapi bergantung pada saiz acuan yang kita guna. Che mat guna acuan seperti yang ini , rasanya boleh beli dikedai2 menjual bahan2 baking atau kedai serbanika. Kalau baru beli, pastikan dicuci bersih dahulu sebelum digunakan. Jika ada acuan diperbuat dari tembaga, yang itu lagi elok. Alternatif lain jika takde acuan, boleh saja guna non stick pan saiz kecil atau guna non stick pan saiz besar dan kita bikin seakan2 pancake, kan kita yang buat dia betul tak?.Tak lupa ucapan terima kasih che mat pada blog ini atas perkongsian resipi kuih serabai....Jomm cuba buat sendiri!

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan tepung beras (che mat campur 1 cawan tepung beras + 1 cawan tepung gandum)
3/4 cawan nasi sejuk*
1 cawan air*(*dikisar halus)
1/2 cawan air
1 camca besar gula
1 camca teh rata garam
1/2 cawan santan

BAHAN-BAHAN DISATUKAN :-)
1 camca teh rata instant yeast
1 camca besar gula
3 camca besar air suam

BAHAN-BAHAN KUAH DURIAN :-)
Beberapa ulas durian atau secukupnya
3 camca besar hirisan gula melaka*
1 cawan air*(*dimasak hingga gula larut dan tapis)
600 ml santan sederhana pekat
1/4 camca teh garam
1 camca besar rata tepung gandum*
1/3 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
Gula pasir secukup rasa
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK ADUNAN KUIH SERABAI :- Satukan instant yeast, gula dan air suam. Kacau rata dan biarkan 5 minit hingga bancuhan kelihatan berbuih2. Sementara itu, masukkan tepung ke dalam mangkuk besar, tambah nasi kisar, santan. garam dan gula. Kacau rata. Tuang bancuhan yeast tadi dan juga1/2 cawan air. Kacau hingga semua sebati dan licin, Tutup permukaan mangkuk dengan kain bersih dan rehatkan 2 jam sehingga adunan naik. Sementara itu kita buat kuah durian...
  2. UNTUK KUAH DURIAN :- Masukkan air gula merah ke dalam periuk bersama2 santan dan daun pandan. Masak hingga mendidih. Masukkan durian dan tambah gula pasir secukupnya (yang ni ikut citarasa masing2lah yea nak manis atau kurang manis). Masak sekejap, perlahankan api dan tuang bancuhan tepung gandum dan garam. Kacau rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK KUIH SERABAI :- Panaskan acuan kuih serabai atas dapur, guna api kecil. Lenser dengan sedikit minyak makan pada setiap lubang acuan. Kemudian tuang sesenduk kecil adunan kuih serabai tadi pada setiap lubang acuan. Tutup permukaan acuan dan masak hingga permukaannya kelihatan berlubang2 dan kering. Perlahan2 angkat keluar kuih serabai (che mat gunakan pisau kecil untuk keluarkan kuih serabai dari acuan). Pastikan anda sapu sedikit minyak makan sebelum ditaruk adunan baru. Buat hingga siap..
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Susun kuih serabai dalam bekas, dan sediakan piring sesuai untuk menghidang. Kuah durian boleh kita masukkan dalam mangkuk berasingan dan hidangkan dengan kuih serabai tadi. Kalau kuih tak habis, boleh simpan dalam peti sejuk, tapi pastikan disimpan dalam bekas bertututp untuk mengelakkan kuih jadi kering.. Selamat mencuba!!

Thursday, December 21, 2017

RESIPI KUIH KASWI LABU

rsz_kklm
Assalammualaikum, hai semua...sihat ke?..Hari ni che mat nak berkongsi dengan anda resipi kaswi labu. Ini pertama kali che mat bikin kaswi labu, lari dari kebiasaan. Kalau kuih kaswi gula merah dan kaswi pandan dah biasa bikin. Kejadian kaswi labu ni semua gara2 dari lebihan secoreng labu dalam peti sejuk. Dua tiga hari lepas che mat ada masak lemak labu taruk daun turi, nak dihabiskan  semua labu tu agak banyak sebab kami kan tinggal bertiga sahaja. Jadi che mat potong secoreng dan simpan dalam peti sejuk. Nyaris2 dah terlupa, dari membazir meh kita bikin sesuatu untuk dimakan, lagi pun mak che mat berpuasa sunat Khamis hari ni, boleh juga dia makan waktu berbuka nanti, yea dak...

rsz_kklm1
Resipi sebenarnya ada banyak kat internet, google ajer, berderet keluar resipi kaswi labu, tapi kebanyakkan blogger guna resipi yang sama. Yang ini che mat cedok dari blog Kak Wan, tapi buat 1/2 sahaja dari resipi asal, itu pun dah banyak juga sebab che mat guna acuan kuih lompang( cawan teh cina yang kecil2 tu). Dan che mat tambah sedikit air kapur dan pewarna makanan, sebab labu tu pucat sangat, Kalau labu anda elok warnanya, tak perlu guna pewarna. Tapikan ada satu yang kurang puas hati sikit, tentang kelapa dia. Kalau dapat untuk makan kuih kaswi, apam atau untuk bikin serunding, biar parutan kelapa dia kasar sedikit. Yang macam dalam gambar tu halus, yang tu sesuai kalau kita nak perah untuk santan. Tapi kurang sesuai untuk makan dengan kuih, rasa berhampas walaupun kelapa jenis kulit basah (kelapa inti). Apa2 pun dah selamat masuk perut, alhamdulillah. Ok resipi che mat kongsikan kat bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram labu yang telah dikupas kulitnya
90 gram gula pasir (resipi asal 100 gram)
125 ml santan pekat (guna santan kotak)
125 gram tepung ubi*
125 gram tepung gandum*
1 camca besar rata tepung jagung*(*disatukan dan gaul rata)
175 ml air
1/4 camca teh garam
1/2 camca teh air kapur makan
Beberapa titik pewarna makanan kuning telur (optional)
1 helai daun pandan
Kelapa parut putih + secubit garam = gaul rata dan kukus 5 minit, sejukkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kukus labu hingga lembu, ketepikan. Santan, gula, garam, air dan daun pandan dimasukkan ke dalam periuk kecil. Masak dengan api kecil sambil dikacau hingga gula larut, tak perlu sampai mendidih. Sejukkan dan tapis.
  2. Masukkan labu ke dalam mesin pengisar (blender) bersama santan yang telah dimasak tadi. Kisar halus dan tuang ke dalam mangkuk. Masukkan tepung yang telah disatukan tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga licin. Kemudian tapis, tambah pewarna kuning makanan dan air kapur. Kacau hingga semua rata dan sebati.
  3. Panaskan kukus, balut tutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sapu acuan kuih lompang dengan sedikit minyak makan. Tuang bancuhan kuih  kedalam acuan hingga hampir penuh. Kukus selama 20 minit, gunakan api sederhana. Bila masak sejukkan sekejap dan keluarkan kuih kaswi labu dari acuan. Gaulkan dengan kelapa parut dan boleh hidangkan...Selamat mencuba!

Wednesday, December 20, 2017

RESIPI TAUHU TELUR TUMIS DAGING CINCANG

rsz_ttgc
Assalammualaikum, salam semua, selamat bertemu kembali walaupun dah makin jarang kemas kini blog, che mat tetap ada. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi ringkas tapi cukup sedap. Resipi asal dari Kak Azian Hasan yang che mat ambik dari IG beliau di sini. Kak Azian Hasan atau lebih 'manja' dipanggil dengan nama Kak Yan, rasanya tidak asing bagi mereka2 yang selalu menonton Rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO), beliau sedikit masa dulu kerap muncul di NLKO dalam segman memasak. Kak Yan terkenal dengan penyediaan resipi2 ringkas untuk ibu2 bekerja dan juga resipi untuk bekalan anak ke sekolah - BENTO. Kalau tak silap, Kak Yan sudah menghasilkan 2 atau 3 buah buku masakan...errrr, nanti eks che mat tanya dia untuk kepastian atau awak2 semua boleh lah google untuk lebih maklum. Berbalik pada resipi hari ini, apa yang buat che mat tertarik nak mencuba selain ia mudah dah ringkas. Resipi ini versatile, boleh dimakan dengan nasi, bubur nasi, kuey teow. Kata Kak Yan, terung juga enak dimasak cara begini. Bagi yang tak makan daging lembu, gantikan saja dengan daging ayam. Che mat rekomen anda simpan resipi ini untuk bulan puasa nanti, terutama hidangan masa sahur, in sha Allah berbaloi memasaknya...Resipi seperti di bawah...Dan terima kasih sekali lagi Kak Yan yang sweet2 comel macam gula2 kapas itu..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 batang tauhu telur
12 kuntum cendawan butang (boleh guna yang dalam tin, toskan airnya)
1 camca besar penuh tepung jagung
2 camca besar air
1 cawan daging cincang, taruk dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 pokok daun bawang, hiris
1 biji kecil cili merah, buang biji dan dadu kecil
1/2 cawan air

BAHAN-BAHAN SOS (DISATUKAN) :-)
2 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap cair
1 camca besar kicap lemak manis
1/4 camca teh minyak bijan
1/2 camca teh serbuk lada sulah (che mat tambah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tauhu telur di potong 5 atau 6 setiap 1, kemudian masukkan ke dalam mangkuk. Satukan tepung jagung dengan 2 camca besar air dan kacau rata. Tuang ke dalam mangkuk berisi tauhu telur. Gaul perlahan dan goreng satu persatu hingga kekuningan. Angkat dan toskan. Cendawan butang dihirs 3 setiap 1 biji, kemudian goreng sekejap hingga layu, angkat dan toskan. Ketepikan
  2. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan dalam anggaran 2 camca besar. Tumis bawang putih hingga harum dan layu. Masukkan daging cincang, kacau rata dan masak hingga airnya kering dan daging cincang berubah warna. Masukkan bahan2 sos dan juga air. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Baki terpung jagung untuk menggoreng tauhu telur tadi, boleh dimasukkan ke dalam kuah. Kacau dan masak hingga pekat. Kemudian boleh tambah tauhu telur dan cendawan tadi. Gaul hingga rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan cili merah yang didadu sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas. Selamat mencuba!!

Friday, December 8, 2017

RESIPI KUIH BINGKA DURIAN

rsz_kbd
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak berkongsi dengan anda semua resipi kuih bingka durian yang sedap, lemak, wangi dan mudah dibuat. Kan sekarang ni musim durian, jadi bila dah musim durian, maka keluarlah segala resipi berasaskan durian, termasuk seri muka durian, kek durian, cis kek durian, kek durian dan macam2 lagi lah. Kalau durian banyak, boleh kita bekukan dalam freezer. esok2 bila teringin nak makan bubur kacang durian, dah ada stok. Satu che mat nak kongsikan, bila kita bikin kuih atau kek yang ada durian, kesedapan bergantung pada mutu atau jenis durian. Kalau guna durian biasa2, mungkin rasa dia pun biasa2 juga. Kalau guna isi durian jenis berkualiti, sudah tentu rasa dan keharuman dia berbeza. Pada che mat tak tak kesah apa jenis durian pun, semua ok. Kalau isi durian kita tu macam keras sikit, pun boleh dijadikan bingka, kau kisar kasi halus. Cuma kalau isi durian yang bagus, lembut, kuih bingka akan jadi sedap dan masa makan tu terasa isi durian dia. Resipi asal bingka durian ini dari blog Kak Yatie Memories....Terima kasih kak Yatie....Tapi che mat buat setengah bahagian saja dari resipi asal. Kat bawah ni resipi yang che mat gunakan....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji telur gred A
1/2 cawan santan pekat (boleh guna santan kotak - 125 ml)
1 cawan tepung gandum
1 camca besar mentega, cair dan sejukkan
1 cawan penuh isi durian, dilecek
1/4 cawan + 3 camca besar penuh gula pasir
2 cawan air
1/4 camca teh garam
Sedikit pewarna makanan kuning
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 6 inci x 6 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dengan aluminium foil, lebihkan pada bahagian kanan dan kiri tin, tujuan untuk memudahkan kita angkat keluar kuih bingka bila masak nanti. Sapu juga mentega pada permukaan aluminiun foil tadi. Masukkan tin ke dalam oven dan biarkan tin panas.
  2. Dalam satu mangkuk besar, satukan semua bahan2 diatas kecuali isi durian, pewarna makanan kuning dan bijan. Kacau semua hingga rata dan sebati. Tapiskan bancuhan ke dalam mangkuk bersih. Masukkan isi durian dan pewarna makanan kuning. Kacau hingga rata.
  3. Berhati2 keluarkan tin dari oven, kemudian tuang bancuhan tadi. Tabur bijan rata2 atasnya sebagai hiasan. Bakar selama 50 minit hingga 1 jam. Untuk mendapat permukaan kuih yang perang, tukar fungsi api oven pada grill dan sambung membakar selama 5 - 7 minit. Uji kuih dengan mencucuk bahagian tengah kuih dengan lidi sate bersih, jika keluarnya bersih, tanda kuih telah masak.
  4. Keluarkan kuih dari oven. Biarkan 15 minit, dan boleh keluarkan kuih bingka durian dari tinnya. Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong. Boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi. Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.