BEN ASHAARI

Thursday, November 30, 2017

RESIPI PUCUK PAKU DAN PETOLA TUMIS BELACAN

rsz_pucuk_paku_sama_petola
Assalammualaikum, salam semua..Entah bila punya resipi che mat lupa taruk kat blog. Jadi malam ni marilah kita tengok resipi mudah cara2 kau nak menghabiskan stok2 sayur yang mula kelihatan uzur dalam peti sejuk masing2. Tak salah kita gabungkan beberapa jenis sayur dalam satu masakan, alaa macam sayur lodeh tu, kau tengok lah berapa banyak jenis dimasukkan sekali. Macam dalam gambar kat atas tu, che mat gabungkan pucuk paku merah dengan petola...mesti hairan, yea dak. Tapi kau percayalah nak, tak rugi mencuba, sedap okeh, lawankan pulak dengan ikan goreng dan sambal belacan. Satu lagi kalau menu2 macam ni, tak boleh dimeriahkan sangat dengan lauk pauk yang macam2, nanti rasa tak sedap sebab dah bercampur aduk. Dia kena yang simple2 jer, nasi panas, sambal belacan, ikan goreng dan kicap.....atau kalau suka kau bikin telur mata. nasi tu masak lembut sikit, baru terangkat masa makan....tak padang yang lain dah wakk!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk paku jenis merah
1 biji petola manis saiz sederhana
1 camca besar sos tiram
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci belacan
10 tangkai cili padi kampung
Garam secukup rasa
1/2 cawan air
Hirisan cili merah untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk paku merah diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Petola manis dikupas kulit hingga bersih, cuci, toskan dan potong sederhana tebal. Tumbuk bawang besar, bawang putih, belacan dan cili padi hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 atau 3 camca besar minyak masak. Tumis bahan2 tumbuk halus tadi hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan sos tiram, kacau dan tuang air. Biarkan mendidih. Masukkan petola dan juga pucuk paku, kacau rata.
  3. Masak hingga petola dan pucuk paku lembut. Perasakan dengan garam secukupnya, dan jika suka berkuah, boleh tambah sedikit atau secukupnya air panas. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan cili merah (jika suka), hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Sedap dimakan panas... Selamat mencuba!!

BEN ASHAARI CUKUP USIA 41 HARI INI...

...Salam semua. Entri ringkas kali ini bagi memperingati ulang tahun Ben Ashaari yang ke 41...akhirnya kita orang sebaya (termasuk jugak Sis Linn, 41 dah...baru adil!), walaupun sebenarnya che mat lagi muda dari dia orang, haha!...Tatau dah nak tulis apa, saban tahun ucapan yang sama di masa yang sama. Selagi kita mampu dan masih berblog, tulis saja lah sebagai kenangan satu ketika nanti. Jadi hari ni che mat nak tuliskan beberapa perkara pasal Ben Ashaari...

  • Kalau nak tau Ben ni walaupun nampak macam kurang mesra, macam 'kejung' ajer, tapi dia baik orangnya, memang ada kala, semua cakap dia mesti betul, tak mo mengalah dan nak menang saja. Tu belum degil dan kepala batu dia lagi, kau sabar ajer lah!...Tapi hati dia lembut wakk...ibarat bunga rose kena hujan, lentuk ajer...haha
  • Satu yang che mat puji, Ben tak pernah lupa apa kebaikkan yang kau pernah buat kat dia, walaupun kau pernah bertekak, rasa macam nak tumbuk muka dia, tapi dia tetap kenang budi kau...serius yang tu memang 'dia'....tu pengalaman che mat lah, tatau lah kalau korang...
  • Dan...dia ni kalau berkawan, dia akan terima seadanya, contoh macam dia dengan che mat... Kita ni hanya seorang 'pak tua' yang serba kekurangan..yang dia pulak tahap2 'retis'..tapi dia tetap hormat pada 'pak tua' ni....bagus kan, sebab dia tau kedudukan 'pak tua' tinggi sikit dari dia..haha....makan hati leer kau, Ben!!..
  • Hampir 10 tahun dah che mat kenal Ben, dari belom dia ada anak hingga dah 3 orang sekarang ni. Dan bila ke Johor, Sedenak adalah destinasi wajib mereka, alhamdulillah, masih sudi datang menziarah. Kukuhnya persahabatan tak perlu kau berjumpa hari2...Ibarat kata Usman Awang - 'biar mati adat - jangan mati sahabat - setia hingga ke kubur'...
Sempena genap usia Ben Ashaari ke 41 hari ini, saya ucapkan selamat hari lahir Ben, moga Allah swt melindungai ben sekeluarga dari segala kejahatan dunia dan akhirat. Dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan sentiasa diberkati oleh yang maha Esa....Maaf atas segala usik gurau dan teguran saya yang mungkin agak kasar selama ini...Tapi tu normal lah, dah nama pun 'che mat gebu'...

Wednesday, November 29, 2017

RESIPI TERUNG PIPIT TUMIS CILI HIJAU

rsz_shtp
Assalammualaikum, selama semua. Hari ni che mat nak berkongsi satu resipi legend. Biasa makan terung pipit atau ada juga yang panggil terung rimbang/palembang?..Terung pipit ialah terung bersaiz kecil seperti kacang pis. Biasanya pokok terung pipit tumbuh liar di kawsan2 belukar. Batang pokok berduri dan daunnya sama seperti pokok terung biasa tapi berduri di bahagian bawah daun. Ianya juga salah satu bahan yang dimasukkan dalam kari hijau Thai. Pagi tadi che mat kemas2kan belakang rumah, sambil potong ranting2 pokok terung pipit tu, sempat jugalah kutip terung pipit. Walaupun tak banyak, tapi dapat juga dalam 1 cawan lebih. Jadi lepas kemas2, kita pun on lah projek memasak. Biasanya menu klasik ini menjadi bekal di zaman2 arwah tok dan arwah uwan ketika arwah bekerja dulu. Dan menu ini juga menjadi kegemaran arwah Bak tapi arwah Bak suka guna ikan bilis tamban. Kali ini che mat tak taruk belacan, tapi digantikan dengan pati kiub ikan bilis Maggi dan isi ikan tenggiri masin. Disebabkan mak che mat kena pantang makan belacan, kita kenalah ubah sedikit rencahnya. Kalau yang takde pantang larang, che mat syorkan guna belacan. Satu lagi pesan mak che mat, gunakan minyak goreng dari lebihan goreng ikan masin. Ini akan menjadikan masakan lagi enak dan berperisa....Resipi che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ cawan terung pipit, yang telah diasingkan dari tangkainya, dicuci dan toskan
1 genggam longgar ikan bilis, dibersihkan cuci dan rendam sekejap
12 tangkai cili hijau, hiris (boleh lebih atau kurangkan)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 camca besar jus asam jawa
1 kiub pati ikan bilis Maggi
1 keping hirisan nipis ikan tenggiri masin, diambil isinya sahaja
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 5 camca besar). Tumis isi ikan masin tenggiri hingga harum. Kemudian masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Tambah cili hijau dan ikan bilis. Kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan terung pipit, kacau rata dan tuang air. Hancurkan kiub pati ikan bilis Maggi dan masukkan ke dalam kuali, kacau rata dan kecilkan api. Tutup kuali agar terung pipit cepat empuk. Kacau sekali sekala.
  3. Bila terung pipit empuk, boleh masukkan jus asam jawa, garam secukup rasa dan sedikit gula. Jika suka berkuah, boleh tambah sedikit air panas. Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

Monday, November 20, 2017

RESIPI LONTONG GORENG

rsz_kggp
Assalammualaikum, selamat pagi!..Jarang2 betul dapat update resipi belah pagi macam ni. Di sebabkan ni ari che mat akan berada diluar kawasan sekejap, jadi secepat kilat kita update blog dulu sebelum pergi. Pagi2 ni marilah kita bersarapan lontong goreng. Ni saja cara nak menghabiskan belen ketupat yang dah mula kejung dalam peti sejuk. Baki dalam 8 ketul macam tu (ke 9 ketul eks?..hurmm), banyak juga bila dah dicampur dengan rencah2 dan sayur2an (che mat guna taughe dan sayur kailan, tu pun sebab nak habiskan stok dalam peti sejuk). Lontong goreng ni takde undang2 yang harus awak2 kena ikut, kau lebur ajerlah apa yang kau suka. Nak rencah udang, daging atau ayam semua boleh. Kalau nak sekalu harungkan udang, ayam dan daging pun tak kesah. Suka pedas? Tak jadi hal, henyakkan cili padi atau lebihkan cili kisar. Kan kita yang buat dia, betul tak, apa yang che mat kongsikan hanya idea, selebihnya pandai2 lah ikut selera masing2. Selain untuk sarapan pagi, sesuai juga untuk minum petang...Meh kita tengok resipi dia, memang mudah sangat...jommm

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 - 9 biji ketupat segera yang telah direbus
1 genggam longgar taugeh, cuci dan toskan
4 - 5 pokok baby kailan, cuci dan potong kecil
1 keping dada ayam, hiris kecil, cuci dan toskan*
1/2 camca teh lada sulah*
1 camca besar kicap lemak manis Jalen*
1/2 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap sekejap)
2 ulas bawang putih, cincang halus
3 biji bawang merah kecil, hiris halus
1/4 bahagian trafficlight capsicum. potong dadu (optinal)
1/2 camca besar rempah kari daging (baba's)
2 camca besar cili kisar
1 camca besar sos tiram
1 camca besar sos cili
1 camca besar kicap pekat Jalen
1 camca teh gula
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur, dipukul sedikit
1/4 cawan air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Hirisan cili merah, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketupat dipotong kiub (che mat potong 6 setiap 1 biji ketupat), ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah rempah kari, kacau rata dan masukkan isi ayam yang diperap tadi, masak hingga isi ayam berubah warna. 
  2. Masukkan sos tiram, sos cili dan gula. Kacau rata dan tambah air, biarkan mendidih. Masukkan kailan, kacau rata dan masak hingga kailan lembut. Boleh masukkan ketupat, traffic light capsicum dan kicap pekat, gaul hingga semua rata. Tolakkan ketupat ke tepi kuali, tuang sedikit minyak masak dan masukkan telur, masak hingga telur kental dan hancurkan. Gaul rata dengan ketupat tadi.
  3. Tambah kicap cair secukup rasa dan akhir sekali masukkan taugeh, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas, selamat mencuba!!

Sunday, November 19, 2017

RESIPI KUIH TALAM KELADI

image-2017-11-19
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi kuih talam keladi. Tak merancang sebenarnya nak bikin kuih, ceritanya semalam kami ke pasar pagi di Benut, dan che mat beli seketul keladi, boleh tahan juga saiznya. Memandangkan kat rumah kami hanya tinggal 3 beranak, jadi seketul keladi tu boleh dibuat 2- 3 jenis masakan atau menu. Sebahagian che mat goreng untuk sarapan pagi, dan dalam masa sama, curi 2 keping untuk bikin kuih talam dan selebihnya dimasak asam rebus sama ikan pari masin, tambah pulak dengan daun selasih, memang terangkat wakk rasa dia. Talam keladi resipi che mat ni tak banyak guna keladi, kurang lebih 100+ gram sahaja dan kurang manis...

image-2017-11-19 (1)
Lapisan atasnya memang nipis dan che mat lebih suka kuih2 talam yang bahagian kepala dia kurang tebal. Perasan tak sekarang ni, ada kuih seri muka atau di Singapura dia orang panggil kuih puteri salat, ada tu bahagian pulut dia nipis, tapi bahagian atas atau kepalanya, punya lah tebal, tenggelam rasa pulut. Untuk resipi ni che mat guna acuan bulat bersaiz 8 inci atau boleh guna acuan 4 segi berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci. Bahagian kepalanya ditambah sedikit perisa keladi atau boleh juga diganti dengan esen vanilla. Bagi nampak naik seri, beri sedikit pewarna ungu. Resipi ini boleh dikatakan agak mudah disedikan. Jika nak mencuba, boleh lihat resipi yang che mat kongsikan di bawah ..

BAHAN-BAHAN LAPISAN BAWAH :-)
120 gram keladi yang telah dikupas dan dipotong kiub
300 ml santan
65 gram tepung beras
1 camca teh rata tepung gandum
50 gram gula halus
1/4 camca teh garam

BAHAN-BAHAN LAPISAN ATAS :-)
100 ml santan
60 gram gula halus
2 camca besar rata tepung beras
1 1/2 camca besar tepung jagung
1 biji telur gred A
1/4 camca teh perisa keladi ( boleh ganti dengn esen vanilla)
Secubit garam
4 - 5 titik pewarna makanan ungu (violet)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kukus atau rebus keladi hingga empuk, kemudian pecah2kan keladi dengan garfu, tak perlu sampai hancur. Ketepikan dan biarkan sejuk sedikit. Panaskan kukusan, balut penutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sementara kukus panas, alas acuan bulat saiz 8 inci dengan plastik bersih (atau boleh guna tin 4 segi saiz 7 inci x 7 inci x 3 inci). Sapu permukaan plastik tadi dengn minyak masak. Ketepikan.
  2. Satukan semua bahan untuk lapisan bawah kecuali keladi yang telah direbus tadi. Kacau rata dengan whisk hingga tidak berbintil2. Tapis dan masukkan keladi, kacau hingga rata dan tuangkan ke dalam loyang atau tin yang telah disediakan. Kukus dengan api sederhana selama 15 - 20 minit atau hingga permukaannya kental.
  3. Sementara bahagian bawah masak, siapkan untuk bahagian atasnya pula. Satukan semua bahan2 untuk bahagian atas, kacau rata dengan whisk hingga gula larut. Kemudian tapis dan perlahan2 tuangkan dalam loyang tadi. Sambung kukus dengan api sederhana selama 20 - 25 minit. Bila masak, sejukkan kuih talam sepenuhnya sebelum dipotong dan hidangkan. Selamat mencuba!!

Monday, November 6, 2017

RESIPI KUIH BINGKA PANDAN

rsz_kbpl
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni bonda che mat berpuasa sunat, jadi lepas masak tadi rasa macam nak bikin kuih. Plan asal nak bikin apam kampung, tapi takde pulak kelapa yang sesuai. Che mat suka kelapa yang tidak terlalu tua untuk dimakan sama apam, kalau kelapa tua, rasa macam berhampas, tak sedap. Maka kita tukar plan dari apam ke kuih bingka pandan atau kuih bakar pandan. Kalau belah2 utara awak panggil kuih bengkang eks?... Resipi kali ni che mat ambik dari  blog blogger masakan terkenal, Puan Azie dari Azie Kitchen, di sini . Che mat berkenan dengan resipi kuih bingka yang ni kerana penggunaan tepung yang agak sikit dan dari hasil gambar dari blog kak Azie, kuih bingka dia nampak lembut, maklumlah kita yang makan ni kan gigi dah goyang, ada tu dah lucut pun yea juga, jadi kena pilih makanan yang lembut2 biar senang dimakan...

rsz_kbpl1
Ternyata sangkaan che mat tepat sekali, kuih bingka pandan kali ni menepati selera dan yang penting lembut. Menggunakan 100% jus pandan tanpa ditambah sebarang pewarna makanan. Tapi kalau anda suka, tak salah masukkan sedikit pewarna makanan hijau bagi nampak lebih cantik. Che mat bakar dalam tin 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dan masa membakar kurang lebih 1 jam 10 minit, Ini kerana nak mendapatkan permukaannya yang sedikit gelap dan berkerak. Kuih ini boleh juga dibakar dalam tin muffin, tapi pastikan tin tadi dioles dengan mentega rata2 untuk mengelakkan kuih melekat bila masak nanti. Cara membuatnya cukup mudah, boleh masukkan semua bahan2 dalam blender atau boleh juga dikacau dalam mangkuk besar menggunakan whisk. Oh yea, che mat ada tambah mentega cair dalam resipi, kalau resipi asal takde...Nak mencuba...boleh semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir (che mat kurangkan 1 camca besar)
2 cawan santan
1 cawan jus pandan (kisar 5-6 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan tapis)
2 camca besar mentega, dicairkan dan sejukkan
1/4 camca teh garam
3 biji telur gred A
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 190C. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dengan aluminium foil dan sapu permukaannya dengan mentega. Masukkan tin tadi ke dalam oven dan biarkan ia panas.
  2. Pukul telur, garam dan gula pasir hingga gula larut. Masukkan jus pandan dan santan. Kacau rata. Tambah tepung gandum, gaul hingga rata dan tidak berbintil2. Akhir sekali masukkan mentega cair, gaul rata dan tapis adunan tadi ke dalam jug.
  3. Berhati2 keluarkan tin tadi dari oven. Tuang adunan kuih bingka dan tabur bijan rata2 atasnya sebagai hiasan. Bakar 1 jam 10 minit atau hingga kuih bingka masak (hingga permukaan kuih keperangan). Uji dengan mencucuk lidi sate bersih di bahagian tengah kuih, kalau keluarnya bersih tanda kuih sudah masak. 
  4. Keluarkan dari oven dan biarkan sekejap. Keluarkan kuih dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan. Potong dan hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi...
CATATAN MAT GEBU :- Masa membakar, kuih akan naik tinggi, ini normal kerana kuih bingka mengandungi telur dan bila sejuk ia akan turun balik. Semasa panas, kuih bingka pandan nampak lembut, tapi bila dah cukup sejuk, kuih jadi elok, cantik dan mudah dipotong. Jika untuk sarapan pagi, che mat sarankan anda buat kuih bingka ni malam, esok pagi kuih sudah cukup sejuk untuk dipotong. Selamat mencuba!!

Sunday, November 5, 2017

RESIPI MI KARI

rsz_mkcm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni tiba2 mengidam mi kari, dah macam pembawak budak pulak che mat tu kan. Sekarang ni dasatlah, apa2 orang sebut, contohnya betik masak air atau bening, terus tu jam jugak tekak nak makan bening betik, apa punya 'saka' pun tatau lah. Macam mi kari yang che mat bikin ni, tau dak, jam 11+ pagi tadi tiba2 nak makan mi kari. Pada hal dah siap masak untuk makan tengah hari. Disebabkan nak sangat buat, kita gunakan apa yang ada dalam peti sejuk, kiranya mi kari bidan terjun ajer lah, janji ada rupa mi kari. Che mat ada belen dada ayam saiz besar, ada pula seketul rangka ayam dan sedikit sawi jepun, taugeh dan ada 2 keping tauhu 'pok' saiz besar yang tersimpan dalam freezer. Alhamdulillah, kira ok lah bahan2 untuk mi kari, walaupun ringkas. Mi dia che mat guna mi lidi (itu saja yang ada kat rumah), tapi perlu direbus dulu sebelum boleh dimakan dengan kuah kari.

rsz_mkcm1
Kalau orang tanya, resipi mi kari che mat ni berapa orang boleh makan. Hurmm masalah juga sebab kita kat rumah ni cuma ada 3 orang dan buat pun tak banyak. Tapi resipi yang ni boleh makan untuk 5 - 6 orang, bergantung pada keadaan masa makan tu, maksudnya tengah lapar atau tidak. Untuk kuah mi kari, che mat guna air rebusan tulang ayam dan bahagian dada ayam tu direbus sekali dan digunakan sebagai bahan tambahan semasa menghidang. Kalau suka nak tambah kerang atau udang, silakan, atau ada yang suka makan sama sambal pun boleh. Ikut selera masing2...Resipi seperti di bawah ini....

BAHAN-BAHAN KUAH MI KARI :-)
1 keping dada ayam saiz besar, cuci bersih dan cucuk dengan garfu*
1 rangka ayam atau boleh guna 4 - 5 kaki ayam, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, hiris nipis*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*
2 biji keledek oren saiz sederhana (atau boleh ganti dengan 2 biji kentang) kupas, potong dadu besar2 dan rendam
2 camca besar penuh rempah kari daging Baba's
2 camca besar cili kisar
2 camca besar cili sos
1 kiub pati ayam MAGGI (optinal)
2 keping tauhu pok saiz besar, potong kecil
1 bungkus bebola ikan/fishcake(che mat guna jenama Mushroom), dihiris
400 ml santan (kalau guna santan kotak yang 200ml tu, tambah air jadikan 400 ml)
Air rebusan ayam secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah kecil. hiris
2 ulas bawang putih, dihiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 biji buah keras, dihiris
1 batang serai, dihiris
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya (che mat guna mi lidi kering, rebus hingga lembut, tos dan cuci bawah air paip untuk membuang kanjinya, toskan)
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
Hirisan daun sup/daun bawang
Hirisan cili hijau dan cili merah
Limau kasturi, dibelah 2 setiap 1
Sawi jepun secukupnya, dicelur
Taugeh secukupnya, dibersihkan dan celur sekejap
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI :- Masukkan semua bahan2 bertanda (*) ke dalam periuk dan masukkan juga keledek, tuang air secukupnya (anggaran 1.5 liter) dan rebus hingga isi ayam empuk, keluarkan isi ayam dan asingkan. Keluarkan juga rangka ayam tadi. Keluarkan keledek yang telah empuk, masukkan dalam satu bekas dan lecek halus. Isi ayam dicarik2 dan ketepikan. Air rebusan ayam ditapis dan ketepikan. Sementara itu satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum. Tambah cili kisar. Kacau rata dan masak hingga garing. Tambah pes rempah dan sos cili, masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air rebusan ayam, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan santan dan kiub pati ayam Maggi (jika guna). Kacau rata dan tambah keledek lecek, fishcake atau fish ball dan juga tauhu pok. Perasakan dengan garam secukupnya. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau selalu. Biarkan mendidih perlahan selama 8 - 10 minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI KARI :- Masukkan mi secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang secukupnya kuah kari bersama isi2nya. Hiaskan dengan sawi celur, taugeh, hirisan cili hijau/cili merah,  hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng dan telur rebus. Akhir sekali perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas. Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.