BEN ASHAARI

Tuesday, October 31, 2017

RESIPI PAJERI MANGGA MUDA

rsz_pmm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin pajeri mangga muda. Ada yang panggil pajeri atau paceri. Tapi kedua2nya benda yang sama. Biasanya pajeri orang buat menggunakan nanas atau terung. Tapi ada juga yang diubahsuai menggunakan buah kedondong @ amra, mangga muda dan jiran che mat (Ben Ashaari), mak dia buat pajeri buah rambutan. Resipi kuah dia sama, cuma bahan untuk 'pajeri' tu ajer kita gantikan. Sabtu lepas, sedara kami kasi 4 biji buah mangga muda (pelam bengkok), mula2 che mat nak bikin kerabu, tapi mangga tu muda sangat. Kalau nak bikin kerabu, guna mangga mengkal lagi elok. Jadi yang muda ni che mat ambik 2 biji dan kita test bikin pajeri...Ehhh, sedap wakk!...Che mat suka pajeri yang kering sedikit, tak berapa gemar yang berkuah macam kari. Resipi mudah sangat, kalau nak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini....Jommm....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji mangga atau pelam muda (che mat guna pelam bengkok, setiap satu sebesar tapak tangan)
1 camca besar penuh kerisik
1 cawan santan sederhana cair
1 camca besar penuh cili kisar
2 camca besar rata rempah kari Baba's (boleh guna rempah kari ikan atau daging)
1 biji cili merah, belah dua tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah dua tapi tak putus
1 camca besar cuka makan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa (anggaran 4 - 5 camca besar)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas mangga muda, kemudian potong besar2 memanjang, dan rendam dalam air garam. Ketepikan. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis kayu manis dan bunga lawang hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan santan dan air. Kacau dan biarkan mendidih. Tambah kerisik dan gula, kacau dan masak sekejap. Masukkan mangga muda (toskan airnya), gaul rata.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan tambah cuka makan. Masukkan cili merah dan cili hijau, kacau rata dan masak hingga kuahnya pekat dan mangga empuk. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan pajeri mangga dengan nasi putih atau nasi minyak. Selamat mencuba!


Saturday, October 28, 2017

RESIPI ASAM PEDAS AYAM BELIMBING BULUH

image-2017-10-28
Assalammualaikum, salam semua. Lama juga tak masukkan entri dalam blog, maklumlah masak pun biasa2 saja dan kebanyakkannya che mat pernah kongsikan resipinya. Hari ni memang plan nak masak asam pedas ayam, tapi tak nak masak asam pedas yang pekat sangat, nak kuah dia sederhana, tak cair. Mula2 ingat nak masukkan kentang tapi teringat ada stok belimbing buluh, ok kita masukkan belimbing buluh. Ayam che mat guna ayam kampung, jadi saiznya tidaklah besar mana, dah nama pun ayam kampung, kalau ayam kampung kawin saiznya mungkin lebih besar sikit. Bila masak asam pedas, tak kiralah asam pedas ikan, ayam atau daging, kuah dia paling che mat suka. Selain sedap dimakan sama nasi panas, kuah asam pedas juga enak jika dicecah sama lempeng pekak, roti canai atau roti biasa. Kali ni che mat hanya masukkan bunga kantan dan daun limau purut, kita skip daun kesom, Tapi bagi yang gemar aroma daun kesom, boleh gantikan daun limau purut dengan daun kesom. Resipi mudah dibuat dan jika nak mencuba, boleh rujuk di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (che mat guna ayam kampung yang usia dalam 6 bulan )
10 - 12 biji belimbing buluh
1 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
2 kuntum bunga kantan, dibelah 2 setiap 1
3 helai daun limau purut, dikoyak (atau segenggam daun kesom)
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
1/3 cawan jus asam jawa
1 camca teh lada hitam, tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam kampung dipotong ikut suka, cuci dan toskan. Gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus dari sebiji limau nipis, gaul rata dan perap 10 minit. Kemudian cuci bersih dan toskan. Belimbing dibuang sedikit bahagian pangkal dan hujungnya. Belah dua tapi tak putus setiap satu, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai titik dan bahan2 tumbuk halus (boleh juga dikisar halus). Kemudian tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Gunakan api sederhana dan kacau sentiasa (tambah sedikit lagi minyak masak jika perlu).
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya hingga ayam tenggelam. Masukkan kiub pati ayam Maggi (jika guna) dan lada hitam tumbuk. Kacau rata dan masak hingga ayam empuk (tambah air panas jika kuah kering tapi ayam masih belum empuk).
  4. Masukkan bunga kantan, daun limau purut dan jus asam jawa, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan belimbing buluh, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas ayam dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

Wednesday, October 18, 2017

RESIPI BUTTER CHICKEN @ AYAM MENTEGA

image-2017-10-18
Assalammualaikum, salam semua. Selamat menyambut hari Hari Deepavali bagi mereka yang berugama Hindu. Hari ni che mat bikin butter chicken atau ayam mentega, yelah sempena Deepavali yea dak..ehemm, bahaya ni kang ada ustaz masuk bagi ceramah, yelah takut juga sekarang ni, nak2 di laman FB, ada saja ucapan perayaan yang menyalahi hukum, baru2 ni ada baca ucapan 'happy birthday' pun salah ...hurmm tatau lah mana satu yang betul. Che mat dah lama juga nak mencuba resipi ini dan ada macam2 versi. Resipi yang ini dah lama tersimpan cuma belom tergerak nak mencuba. Hari ni, alhamdulillah Allah swt gerakkan hati. Buat dia tak susah dan bahan2 juga takde banyak mana..

image-2017-10-18 (1)
Butter chicken che mat makan dengan roti nan, atau boleh juga dihidangkan dengan sebarang jenis roti. Nak dengan nasi pun boleh. Paling sedap bila roti nan dicecah dengan butter chicken dan masa makan ulamkan dengan cili hijau, tapi pastikan cili hijau yang segar. Che mat guna kurang lebih 600 gram isi ayam bahagian dada. Tapi kalau dapat gunakan isi ayam bahagian peha, lagi sedap. Biasanya  isi ayam bahagian dada agak kering sedikit. Satu lagi, gunakan butter atau mentega berkualiti seperti golden churn, scs, anchor dan sebagainya. Jangan guna buttercup, sebab rasa dia kurang sedap. Jika teringin nak mencuba, che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 + gram isi ayam, dihiris kecil, cuci dan toskan*
3 ulas bawang putih, tumbuk halus*
1/2 cawan yogurt perisa asli(plain yogurt)*
2 camca teh rata serbuk cili*
2 camca besar jus limau nipis*
1 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap 1 jam)
1 1/2 camca besar tomato puree
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh lada hitam, tumbuk kasar
1 camca teh penuh serbuk cili
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 cawan susu sejat
2 camca besar penuh mentega berkualiti tinggi
1 genggam daun ketumbar, hiris kasar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HANCUR :-)
2 biji bawang holland, saiz sederhana (atau boleh guna bawang besar biasa)
2 biji tomato masak ranum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak, kemudian masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis bawang putih hingga layu, masukkan lada hitam tumbuk dan juga bahan2 kisar hancur. Kacau rata dan masak hingga pekat. Masukkan serbuk cili, serbuk kunyit dan tomato puree, kacau rata dan masak sekejap hingga naik minyak, gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tambah isi ayam yang diperap tadi, gaul rata dan masak hingga isi ayam berubah warna. Tuang susu cair, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar, gaul rata dan biarkan sebentar. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan roti atau nasi. Kalau dengan roti, che mat cadangkan dimakan dengan cili hijau sebagai ulam. Selamat mencuba!

Sunday, October 15, 2017

RESIPI BOTOK - BOTOK JOHOR

rsz_bbjb (1)
Assalammualaikum, salam semua. Sepatutnya che mat masukkan entri botok-botok ni siang tadi, tapi masa tak mengizinkan. Jadi malam ni sebelum tidur, kita curi masa sedikit untuk masukkan resipi ini kat blog. Botok-botok satu hidangan klasik di Johor, biasanya orang2 berketurunan Jawa suka makan botok2, tapi sekarang ia menjadi hidangan untuk semua bangsa. Botok2 diperbuat dari campuran rempah ratus, ulam-ulaman dan juga ikan yang disusun secara berlapis2 kemudian dibungkus dengan daun pisang dan dikukus hingga masak. Kebiasaannya di Johor, orang guna ikan parang, ikan tenggiri dan kembung. Kali ni che mat guna ikan tongkol jenis lembut yang isinya putih. Rasanya lebih sedap dari ikan tenggiri ( itu pada tekak che mat lah, kalau tekak orang lain tu kita tatau lah ). Membuat botok2 tidak susah mana, cuma nak mendapatkan ulam-ulaman tu saja agak sukar. Tidah menjadi masalah jika kita gunakan setakat yang ada. Macam che mat buat, bukan cukup lengkap tapi rasa dia in sha Allah tidak mengecewakan. Jika ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping ikan tongkol (jenis lembut), setiap satu sebesar tapak tangan orang dewasa, perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan
4 helai daun pisang berukuran 14 inci x 12 inci, dilap bersih dan layur sekejap atas api hingga lembut
4 helai daun pisang berukuran 16 inci x 4 inci, dilap bersih dan layur sekejap atas api hingga lembut
4 batang lidi pecungkil gigi yang belum diguna
2 camca besar jus asam jawa
1 cawan santan
2 camca besar kerisik
1 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh rempah kari ikan Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih (jika saiz besar, guna 2 ulas)
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
3 biji buah keras, dihiris
1 camca teh lada hitam
Belacan, sebesar ibu jari
8 -10 tangkai cili kering, dibuang biji, cuci dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN ULAM (secukupnya) :-)
rsz_daun2
  1. Pucuk puding belacan
  2. Daun kesom
  3. Pucuk mengkudu
  4. Daun kaduk
  5. Pucuk ubi pulut (boleh guna pucuk ubi biasa)
  6. Pucuk betik
  7. Pucuk bebuas
  8. Daun kunyit
  9. Daun cekur
  10. Daun selasih
CARA MEMBUATNYA :-)
rsz_bebotok
  1. Semua ulam2man tadi dicuci dan toskan. Biar hingga airnya kering. Ketepikan pucuk ubi dan pucuk betik. Yang lain semuanya dihiris halus dan masukkan ke dalam satu bekas. Ketepikan.
  2. UNTUK REMPAH :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari ikan  dan kacau hingga menjadi pes. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis pes rempah hingga harum dan naik minyak. Masukkan jus asam jawa, santan dan kerisik. Kacau rata dan masak hingga pekat dan bila dikacau rempah tidak melekat dikuali. Masukkan gula melaka dan garam secukup rasa. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan hingga rempah sejuk dan bahagikan kepada 4 bahagian sama banyak.
  3. UNTUK BOTOK-BOTOK :- Ambil sehelai daun pisang yang besar. Alaskan dengan pucuk ubi secukupnya dan lapiskan dengan pucuk betik. Sudukan 1/2 bahagian rempah. Taruk sekeping isi ikan atasnya. Ratakan 1/2 bahagian lagi rempah. Tutup rempah tadi dengan 1/4 bahagian ulam2man yang telah dihiris halus. Tekan2 sedikit dan bungkus seperti dalam gambar, gunakan daun pisang saiz kecil tadi sebagai 'tali pinggang', semat dengan lidi dan gunting bahagian atasnya agar nampak kemas. Buat hingga selesai.
  4. Kukus botok2 atas air mendidih selama 25 minit. Boleh hidangkan bersama nasi panas atau boleh dimakan begitu sahaja. Jangan lupa simpan botok2 yang tidak habis dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama...Selamat mencuba!!

Tuesday, October 10, 2017

RESIPI UDANG MASAK KARI HIJAU THAI

rsz_tgcp (1)
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak kari hijau thai, atau Thai green curry. Biasanya resipi menggunakan ayam atau daging. Tapi kali ni kita guna udang. Biasalah kan kita yang buat dia. Rasa dah tentulah ada beza sebab udang kan tak sama dengan ayam atau daging. Che mat guna udang saiz besar dalam 9 ekor. Cara memasak kali ni agak berbeza sedikit dan lebih authentic thai style, iaitu dengan memasak santan pekat hingga keluar minyak dan masukkan pes kari hijau dan masak dengan api kecil hingga pes garing. Maksudnya pes tadi digoreng menggunakan minyak kelapa yang terhasil dari santan pekat tadi. Rasa dia pun ada beza dari biasa.

MAEPRANOM
Disebabkan che mat kesuntukan masa dan pes homemade yang frozen dah habis, maka ku beli pes instant cap makcik rambut kembang "Meapranom', pes halal dari Thailand. Tapi kalau anda rajin nak bikin sendiri, boleh rujuk resipi pes kari hijau homemade di sini  . Terung pipit dan terung bulat antara bahan wajib dalam kari hijau thai selain daun limau purut dan daun selasih, tapi sebenarnya yang sayuran tu ikut selera kita, Che mat masukkan trafficlight capsicum. Sos ikan digunakan sebagai pengganti garam dan sedikit gula melaka dimasukkan untuk mengimbang rasa masam dari jus limau nipis...Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
9 - 10 ekor udang saiz besar, dibersihkan
2 paket pes kari hijau Thai (seperti dalam gambar)
1 biji limau nipis, perah jusnya
1/3 cawan terung pipit. asingkan dari tangkainya, cuci dan toskan
1 biji terung bulat ungu, dipotong dadu, direndam
1/4 bahagian traffic light capsicum, dipotong kiub
Beberapa biji cili padi merah dan hijau, diketuk
1 biji bawang besar saiz kecil, dibelah 6
1 cawan pati santan
1 1/2 cawan air
3 helai daun limau purut, disiat
1 genggam daun selasih
1/2 camca besar gula melaka
Sos ikan secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan 1/2 cawan pati santan dalam periuk. Masak dengan api kecil hingga pati santan kental dan pekat. Masukkan pes instant kari hijau thai, kacau rata dan terus memasak dengan api kecil hingga terbit minyak dan rempah garing. Tuang air, kacau rata dan biarkan mendidih.
  2. Masukkan terung pipit dan masak hingga terung 1/2 empuk. Tambah terung bulat (toskan dulu airnya) dan masak sekejap. Tuang jus limau nipis, kacau dan masukkan udang, traffic light capsicum, bawang besar belah dan daun limau purut. Kacau rata.
  3. Masukkan pati santan, tambah gula melaka dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sentiasa. Akhir sekali masukkan daun selasih dan cili padi. Kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas... Selamat mencuba!

Friday, October 6, 2017

RESIPI KUIH BINGKA PISANG

rsz_kbp
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Kat rumah che mat ni kadang2 pening juga kepala, kalau masa stok makanan banyak, sampai tatau apa nak buat. Contohnya macam pisang, ada orang beri dan ada juga yang sendiri punya (maksudnya sendiri punya pokok pisang yea, bukan sendiri punya pisang!), kalau masa banyak sampai tatau nak bikin apa. Dah nama pun rezeki yea dak, takkan kita nak tolak. Biasa kalau dah banyak sangat, che mat ambil isi dia, kemudian bekukan dalam freezer, bila2 nak bikin cekodok atau kuih tinggal keluarkan, biar sampai hilang suhu sejuk dia dan bolehlah kita jadikan bahan cemilan. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi mudah dan rasa dia in sha Allah sedap...

rsz_kbp1
Pernah makan kuih bingka pisang atau kuih bakar pisang? Resipi ini che mat pernah buat sekali, banyak tahun dulu. Dan teman2 blogger masakan ketika itu, rata2 telah mencubanya. Buatnya memang mudah dan bahan2 juga tak banyak. Kali ni che mat kurangkan sukatan gula dia, tau sajalah pisang sendiri dah manis, kau taruk lagi gula, mau manis berganda. Bingka pisang sedap dimakan sejuk. Kalau nak makan esok, buat malam ni, kalau suka, boleh dinginkan dalam peti sejuk, lagi sedap. Nak memotongnya juga lebih mudah, kemas ajer...Kalau dah sedia, jomm kita semak resipi kat bawah ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram pisang yang telah dibuang kulitnya (che mat guna pisang lemak manis)
1 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula perang (soft brown sugar @ gula pasir biasa)
1 cawan santan ( che mat guna 200ml santan kotak + 50 ml air)
1 cawan susu sejat
2 camca besar mentega, dicairkan dan biar sejuk
1/4 camca teh garam
1 biji telur
1 camca teh esen vanilla (atau boleh guna beberapa titik esen pisang)
Bijan secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega. Alas tin dengan aluminium foil dan lenser juga permukaan aluminium foil tadi dengan mentega. Masukkan pisang dalam mangkuk besar. Lecek pisang hingga hancur dan ketepikan.
  2. Satukan susu cair, santan, mentega, garam, gula perang dan telur ke dalam mangkuk. Kacau rata dengan whisk hingga gula hancur. Masukkan tepung gandum dan kacau hingga rata dan tepung tidak berbintil2. Kemudian ditapis (kalau nak cepat, boleh kisar bahan2 tadi dengan blender).
  3. Kemudian masukkan (no.3) ke dalam mangkuk berisi pisang lecek tadi. Tambah esen vanilla atau esen pisang, gaul rata dengan spatula. Tuang ke dalam tin yang telah disediakan. Tabur atasnya dengan bijan hingga rata. Masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan dan bakar selama 1 jam atau hingga masak dan permukaannya keperangan (nak kerak boleh tambah waktu membakar, tapi pastikan jangan sampai rentung).
  4. Keluarkan dari oven. Biarkan kuih bingka suam dan boleh keluarkan dari loyang. Biar sejuk baru dipotong dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi.
CATATAN MAT GEBU :- Selapas 50 minit membakar, periksa kuih bingka dengan mencucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate bersih, Jika keluarnya masih ada sedikit adunan yang melekat, itu tanda kuih hampir masak dan tambah masa membakar 6 - 7 minit lagi. Masa membakar, kuih bingka akan naik tinggi terutama di bahagian tengahnya, ini normal. Bila kuih cukup masak dan mula sejuk, ia akan kembali kepada bentuk asal....Selamat mencuba!!

Thursday, October 5, 2017

RESIPI KARI DAGING SAMA REBUNG MADU

rsz_krsd
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang dah lama che mat tak masak, iaitu kari daging sama rebung madu. Rebung madu ni ada masa dia akan keluar banyak, ada kala tak muncul2. Banyak pokok buluh madu kat kediaman che mat telah dibuang atas faktor kekangan masa nak mengerjakannya. Kalau dibiarkan pokok akan merimbun besar dan risau jika ia menjadi sarang ular. Tapi kami masih ada tinggalkan beberapa pokok lagi. Rebung madu lebih popular di negeri2 belah utara Malaysia. Kalau kami di Johor, rebung buluh betong menjadi pilihan dan ia juga sesuai dijeruk. Resipi che mat ini mudah, macam resipi kari daging biasa cuma kalau selalu kita taruk kentang dan tomato, tapi kali ni tukar dengan rebung madu. Rebung madu yang telah siap direbus boleh beli dipasaraya2 atau di pasar tani (sesetengah tempat, kat pasar biasa pun ada jual). Daging che mat guna belen daging korban tempoh hari. Jika nak mencuba, resipi che mat tuliskan di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging lembu, hiris dan cuci bersih, toskan*
1 inci halia, hiris*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*(*rebus hingga empuk dan asingkan air rebusannya)
Rebung madu yang telah siap direbus secukupnya (yang ni che mat agak2 saja, dalam 1 mangkuk saiz sedang)
500 ml pati santan
1/3 cawan cili kisar
3 camca besar rempah kari
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
1/2 camca besar minyak sapi
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
1 tangkai daun kari, dilurut

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan layu. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Sementara itu satukan rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes. Masukkan ke dalam periuk, kacau dan masak hingga rempah garing dan naik minyak (tambah sedikit lagi minyak masak jika perlu).
  2. Masukkan daging, kacau rata dan tuang air rebusannya. Tambah rebung dan biarkan mendidih. Masukkan asam gelugor dan jika perlu tambah sedikit air panas. Masak sekejap dengan api sederhana. Tuang pati santan dan kacau rata. Biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau sentiasa.
  3. Masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Biarkan mendidih perlahan 10 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman kegemaran anda...Selamat mencuba!!

Sunday, October 1, 2017

RESIPI BUBUR ASYURA

rsz_bamg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ini 10 Muharram 1439 hijrah. Menjadi amalam masyarakat Melayu  kita biasanya pada 10 Muharram selain berpuasa sunat mereka juga akan membuat bubur asyura. Tradisi membuat bubur asyura ini sebagai mengingati sejarah kapal Nabi Allah Nuh a.s yang selamat mendarat setelah 40 hari mengharung banjir besar yang melanda muka bumi pada ketika itu. Bubur asyura pada ketika itu dimasak dengan campuran tujuh bahan2 bijirin (kekacang dan bijirin) dan terhasillah satu hidangan yang lazat. Atas perintah Nabi Nuh a.s, bubur asyura diagih2kan pada semua sebagai tanda syukur kerana selamat mendarat. Bubur asyura itu sendiri bermaksud 'bubur untuk kesejahteraan'. Amalam memasak bubur asyura berterusan sehingga ke hari ini, terutama bagi masyarakat Melayu. Cuma keadaan dan rasanya berbeza2 mengikut negeri masing2.

rsz_bamg1
Di Johor. bubur asyura lebih cair dan seperti bubur lambuk. Ada negeri2 lain bubur asyura mereka manis dan seakan2 kuih talam, boleh dipotong2. Bubur asyura di Johor biasanya berencahkan daging atau ayam, Ada yang masukkan udang kering dan ditambah sedikit santan untuk mendapat rasa lemak. Resipi che mat mungkin agak berbeza sedikit, kerana menggunakan beberapa jenis kekacang seperti kacang dhal. kacang kuda, kacang merah, kacang pis, kacang tanah dan kacang phool. Che mat masukkan juga satu tin isi jagung manis. Rencah untuk bubur asyura, che mat guna daging lembu (belen daging korban), dalam 300 gram. Kalau nak ganti dengan daging kambing atau isi ayam pun boleh. Tidak sesukar mana nak membuatnya, cuma bubur asyura perlu dimasak dengan api kecil dan dikacau selalu untuk mengelakkan ia hangus atau berkerak. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan beras cap rambutan (atau beras siam)
10 cawan air
1/2 cawan santan pekat
300 gram daging, hiris, cuci dan rebus hingga empuk, ketepikan
1 helai daun pandan, disimpul
1 sup bunjut tulang ADABI
1 inci halia, diketuk
3 ulas bawang putih, hiris
4 biji bawang merah, hiris
1 batang serai, diketuk
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*(*rempah tumis)
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
Garam secukup rasa
1 camca teh penuh minyak sapi
Minyak untuk menumis
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
1 genggam kacang dhal, cuci dan rendam 10 minit
1 cawan kacang kuda, yang telah direbus (guna yang dalam tin pun boleh)
1 cawan kacang merah yang telah direbus (guna yang dalam tin)
1 tin kecil kacang pis, toskan airnya
1 tin kecil isi jagung manis, toskan airnya
1 cawan kacang phool (che mat guna yang dalam tin)
1/3 cawan kacang tanah, cuci dan toskan
Telur dadar, dihiris nipis
Hirisan daun bawang/daun sup
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 3 camca besar), masukkan minyak sapi dan masukkan rempah tumis, serai, halia, bawang putih dan bawang merah. Masak hingga bawang layu dan naik bau. Tuang air dan masukkan juga air rebusan daging tadi. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  2. Masukkan beras, kacang dhal, sup bunjut tulang - adabi dan daun pandan, kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga beras kembang. Tambah daging rebus dan semua jenis kekacang dan juga isi jagung manis. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga menjadi bubur. Tambah lada hitam, pati santan dan perasakan dengan garam secukupnya. 
  3. Tambah air panas jika suka bubur lebih cair. Kacau dan masak untuk 5 - 6 minit lagi dengan api kecil. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan telur dadar. hirisan daun bawang/daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.