BEN ASHAARI

Tuesday, September 19, 2017

JUS ASAM KUNYIT MADU, SEDAP LAGI BERKHASIAT

rsz_jk1
Jarang sebenarnya che mat ambik makanan tambahan untuk tubuh badan, kecuali ulam2 dan ada juga lah ubat2 dari doktor jika perlu. Baru2 ni nampak jiran che mat, Ben Ashaari minum jus asam kunyit madu. Mula2 ingatkan minuman ini hanya untuk wanita, maklumlah bab2 kunyit ni kan biasanya lebih berkait rapat dengan wanita yea dak. Tapi sebab ben minum, che mat pun teringin juga nak mencuba, dengar cerita khasiatnya banyak dan elok untuk kesihatan dalaman tak kira lelaki, wanita atau pun anak dara...ehemm. Kata orang kalau tak cuba tak tau, dah cuba, dah rasa baru lah kita tau keberkesanannya. Alhamdulillah, beberapa hari lepas che mat terima kiriman jus asam kunyit madu ni, packing dia pun lawa, botol ala2 hipster sikit, kiranya minuman kesihatan style modern. Ramuan yang digunakan juga dari bahan2 alami seperti kunyit, halia, asam jawa, temukunci (yang ni elok untuk wanita), habbatussauda, saffron (koma-koma), madu dan gula melaka....

rsz_jk
Mula2 teragak2 juga nak minum, tapi bila dah minum, rasa dia, punya lah sedap kalau ikutkan hati, sebotol tu boleh habis sekali minum, tapi kita ikutlah sukatan yang diberi ( 60 ml sekali minum, pagi dan malam, sebelum tidur). Rasa dia seakan2 minuman asam boi, lagi sedap bila dah disejukkan dalam peti sejuk. Hari pertama che mat minum, biasa2 saja, cuma keesokkan hari tu asyik buang angin, kejap2 ehem...ehem. Masuk hari ke dua, bangun pagi dah mula rasa ringan badan. Buat kerja rumah pun bess ajer, mak che mat pun minum juga dan dia beri komen yang sama, badan dia rasa ringan. Alhamdulillah, kesan JAKM amat positif...Sebenarnya jus asam kunyit madu (JAKM) ini banyak khasiatnya...meh che mat kongsikan apa khasiat2nya..
  • Menurunkan berat badan
  • Merawat kulit bermasalah
  • Membuang angin dalam badan (patutlah che mat, asyik ehem ehem ajer) 
  • Menaikkan aura seri wajah
  • Menstabilkan kolestrol (yang ni penting)
  • Atasi masalah keletihan
  • Atasi masalah bau badan
  • Melancarkan sistem pencernaan 
  • Mencegah batuk/selsema/asma
  • Membantu ibu2 dalam pantang/selepas bersalin
  • Atasi migrain
  • Merawat luka jahitan selepas bersalin
  • Meningkatkan kesuburan suami isteri 
  • Merawat masalah rahim/peranakan
  • Merawat haid tidak teratur dan darah kotor
...banyakkan, tapi kena ingat lambat atau cepat keberkesanannya bergantung pada tubuh badan masing2. Ada yang minum, terus esok dah terasa dan ada juga lepas 2 - 3 kali minum baru nampak kesan...Kalau nak tau kena lah cuba, lagi pun tak rugi apa2, kebaikkan dia untuk tubuh badan kita juga...Che mat dapatkan JKAM di sini...

Sunday, September 17, 2017

RESIPI KEK PISANG

rsz_kpm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mood rajin singgah sekejap, jadi che mat bikin kek pisang. Semalam abang long che mat bawak balik pisang dari masjid, pisang emas dalam 2 sisir macam tu. Disebabkan pisang dah mula masak ranum dan maka che mat rembat 5 biji untuk bikin kek. Resipi kek pisang agak mudah disediakan, hanya guna minyak jagung, tapi kalau takde minyak jagung, belasah pakai minyak masak pun jadi juga wakk, macam che mat bikin tu, guna minyak masak ajer. Kalau nak guna mentega pun boleh, kasi cairkan dulu, biar sejuk kendian boleh gunakan. Mungkin kek akan bertambah sedap dan lembap...

rsz_kpm1
Che mat bakar dalam tin kek yang berukuran 4 inci x 8 inci x 3 inci, tapi boleh juga dibakar dalam loyang bulat saiz 8 inci, atau dalam acuan cup cake. Ada sedikit 'derhaka' dari resipi asal, gula che mat kurangkan jadi 1/2 cawan sebab pisang tu kan dah manis, kalau suka boleh guna gula perang. Esen vanilla pula che mat ganti dengan sedikit esen pisang dan penggunaan jus limau, ganti dengan susu segar (atau boleh taruk air). Kek macam ini paling sedap dimakan waktu petang bersama teh panas...memang nikmat!..Resipi che mat ambik dari blog Kak Azie di sini...dan jika anda nak mencuba boleh lihat resipnya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji pisang emas
1/2 cawan gula kastor (resipi asal guna 1 cawan)
1 cawan minyak jagung (che mat guna minyak masak)
4 biji telur gred A
1 camca besar susu segar (boleh ganti dengan air)
Beberapa titik esen pisang (resipi asal guna esen vanilla dalam 1/2 camca teh)
1 1/2 cawan tepung gandum*
1/2 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*
Secubit garam halus*(*disatukan, gaul rata dan diayak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 160 C, lenser tin kek berukuran 4 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega atau minyak masak, alas dasar tin dengan kertas minyak (boleh juga guna tin bulat berukuran 8 inci). Pisang emas dilecek hingga hancur dan ketepikan.
  2. Putar minyak masak, gula kastor dan telur hingga berkrim (anggaran 4 - 5 minit). Masukkan pisang lecek dan putar rata. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar sebati. Matikan mixer, tambah esen pisang dan susu segar, gaul dengan spatula hingga sebati.
  3. Tuangkan ke dalam tin kek dan bakar dalam oven selama 55 minit hingga 1 jam atau bila kita uji kek dengan mencucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate dan keluarnya bersih, tanda kek telah cukup masak. Keluarkan dari oven. Biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan kek sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!!..

Saturday, September 16, 2017

RESIPI GULAI TUMIS SIPUT SEDUT

rsz_gtss
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak siput sedut. Kali kita cuba versi tumis pulak. Iaitu bahan2 perencahnya ditumis dengan sedikit minyak. Biasanyakan main lebur semua dalam periuk. Kata orang kalau ditumis ia akan tahan lebih lama, lambat basi (tapi kala menu2 macam ni, tak sempat basi dah licin, yea dak. Tak salah kita mencuba). Semalam masa ke pasar pagi di Simpang Renggam, che mat nampak orang jual siput sedut yang agak besar saiznya. Ada dua saiz, yang besar RM 14 sekilo dan saiz satu lagi RM 12 sekilo. Tapi kan yang RM 14 tu macam tak banyak beza saja dengan yang RM 12. Ok, takpe, beli sekilo untuk dimasak keesokkan harinya (hari ini). Selalunya kalau beli siput, che mat akan sucikan dulu siput tu dengan hampas kelapa untuk satu malam. Kalau susah nak dapat hampas kelapa, boleh lah minta sedikit hampas kelapa dengan orang2 yang berniaga santan segar. Jangan taruk kelapa parut, sebab dulu che mat pernah buat dan hasilnya bila masak isi siput rasa tak sedap...rasa tengek!..Untuk sayurnya che mat masukkan batang keladi sayur....Resipi boleh dikatakan senang dimasak, meh che mat kongsikan...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok keladi sayur
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput sedut yang telah disucikan dengan hampas kelapa, dicuci bersih sehingga air bilasannya jernih. Kemudian kerat hujung siput pada ruas ke tiga dari atas (boleh rujuk videonya di IG che mat di sini ). Cuci bersih dan toskan. Batang keladi dibuang kulit luarnya, kerat pendek cuci dan celur dalam air mendidih yang dimasukkan sekeping asam gelugor, celur hingga setengah lembut. Toskan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 camca besar). Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan siput sedut, gaul rata dan masak hingga berubah warna.
  3. Tuang santan cair dan masukkan bali asam gelugor, masak hingga mendidih. Tambah batang keladi dan daun kunyit. Gaul dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
  4. Masak dengan api sederhana dan dikacau sentiasa hingga batang keladi empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Thursday, September 14, 2017

RESIPI PISANG MUDA MASAK LEMAK

rsz_pmck
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak kongsikan resipi tradisi yang begitu klasik. Mesti ramai yang pernah makan, terutama hidangan lauk pauk yang bertemakan masakan kampung, menu ini antara  yang harus ada. Pisang muda masak lemak atau ada yang panggil gulai pisang muda. Menu klasik ini che mat masak atas permintaan bonda. Kebetulan pokok pisang emas depan rumah berbuah, dan che mat ambik dalam lebih kurang 1 sisir untuk dimasak gulai. Ada stok cendawan kukur kering, kita rendam dan masukkan sekali. Untuk rencahnya. kita guna tulang ikan masin kurau, tetapi harus direndam 1 - 2 jam untuk mengurangkan rasa masinnya. Masakan seperti ini boleh dimasak lebih dan rasanya lebih enak bila keesokkan hari nya. Tapi harus dipanaskan lah untuk mengelakkan lauk basi. Satu lagi petua yang selalu che mat tulis, tudung periuk jangan sekali2 ditutup rapat ketika lauk tengah panas, ini boleh menyebabkan wap yang terkumpul di bahagian dalam penutup periuk akan menitis masuk ke dalam masakan kita dan boleh menyebabkan lauk kita cepat basi. Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang muda (che mat guna pisang emas)
4 - 5 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isinya, cuci dan rendam 1 jam
1 cawan cendawan kukur kering, direndam hingga kembang
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
20 ulas cili padi (boleh lebih atau kurangkan)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang dicuci bersih, buang sedikit bahagian hujung dan pangkalnya. Hiris serong setiap satu dan rendam dalam air. Buat hingga siap. Cendawan kukur yang telah kembang dibersihkan. Toskan airnya dan perah. Tumbuk cendawan tadi dalam lesung batu. jangan tumbuk sampai hancur, sekadar pecah2kan sahaja. Tujuannya untuk mengeluarkan aroma cendawan kukur bila dimasak nanti. Ketepikan.
  2. Toskan pisang tadi, masukkan ke dalam periuk bersama cendawan kukur, serai titik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak sekejap atas api. Kemudian tuang santan cair, kacau dan masak hingga pisang empuk. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  3. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

Saturday, September 9, 2017

RESIPI KAMBING BLACK PEPPER

rsz_1kbp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi mudah dan sedap. Kalau masak ni, tak payah dah lauk lain. Ada nasi panas dah cukup. Resipi kambing black pepper atau kambing masak lada hitam boleh disediakan sendiri rumah. Bahan2 pun tak banyak dan boleh ikut citarasa masing2. Che mat kebetulan ada sayur2 yang tak habis digunakan, jadi dari terbuang elok dimanfaatkan dalam masakan, kan kita yang buat dia. Kalau tak suka sayur boleh guna daging saja dan hias dengan hirisan daun bawang. Tak makan daging kambing, boleh ganti dengan daging lembu. Raya korban yang lepas tu hari mesti ada yang dapat daging dan masih berbaki dalam freezer, boleh lah mencuba. Che mat sarankan guna daging batang pinang yang mudah empuk atau kalau guna daging biasa, bolehlah direbus dulu dan air rebusannya jangan dibuang, kita gunakan sebagai kuah. Jika ingin mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram daging kambing
2 inci halia, ditumbuk
4 ulas bawang putih, ditumbuk
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning), dipotong kiub
5 tangkai bunga bawang, contoh di sini (optional), dikerat pendek, cuci dan toskan
1 camca teh penuh tepung jagung*
3 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata)
2 cawan air
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN SOS :-)
2 camca besar penuh sos tiram
2 camca besar kicap lemak manis
1 camca besar lada hitam, ditumbuk hancur
1/4 camca teh minyak bijan (optional)
4 camca besar air panas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dihiris nipis. Masukkan sedikit tepung gandum dan gaul hingga rata. Perap 10 minit, kendian cuci hingga bersih dan toskan. Gaul dengan halia dan bawang putih yang ditumbuk halus. Perap 30 minit (simpan dalam peti sejuk).
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 4 camca besar. Goreng daging yang diperap tadi hingga berubah warna. Tuang air dan kacau rata, masak hingga daging empuk. Sementara itu satukan semua bahan2 untuk sos dan kacau rata. Masukkan ke dalam kuali berisi daging dan gaul hingga rata.
  3. Tambah bunga bawang dan hirisan bawang besar. Masak hingga lembut, masukka traffic light capsium, kacau rata. Masukkan sedikit lagi air jika suka masakan berkuah. Tambah bancuhan tepung jagung dan kacau rata hingga kuah pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas...Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.