RESIPI KUIH LAPIS SAGU UBI

rsz_kltu1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat curi2 masa masukkan satu entri kuih. Disebabkan che mat macam rajin sikit, kita cuba bikin kuih lapis sagu ubi. Resipi che mat dapat di sini. Bahan2 seratus peratus ikut resipi yang diberi cuma teknik membuat tu che mat guna cara sendiri. Resipi asal guna loyang bulat berukuran 6 inci, tapi che mat guna loyang 4 segi berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci. Ada cerita sedih sebenarnya masa buat kuih lapis sagu ubi ni tadi. Sepatutnya ada 9 lapis, tapi disebabkan kecuaian lapisan pertama rosak. Maka dapat 8 lapisan sahaja, tapi kalau anda bikin nanti, akan dapat 9 lapisan. Bila tengok tekstur kuih lapis sagu ubi terinngat kuih orang peranakan baba nyonya. Mereka suka bikin kuih lapis sagu ubi dan seperti kebiasaan, lapisan mesti dalam angka ganjil sama ada 7, 9 atau 11 dan biasanya lapisan terakhir akan diberi warna merah garang, simbol tuah katanya. Banyak mana lapisan sebenarnya ikut suka masing2. Tapi untuk resipi ini 9 lapisan cukup elok terutama ketebalan setiap lapis yang boleh anda siat sehelai demi sehelai. Buat dia senang, dan kalau nak mencuba, boleh lihat resipi di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung sagu ubi
1 cawan tepung gandum
3 cawan santan (sederhana pekat)
3/4 cawan gula pasir
1/4 camca teh garam
1 helai daun pandan, potong kecil
Sedikit pewarna makanan hijau, merah jambu dan merah pekat

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan dalam periuk, tambah gula dan daun pandan. Masak dengan api kecil hingga gula larut dan santan panas, tak perlu sampai mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan biar sejuk, keluarkan daun pandan tadi. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, masukkan tepung sagu ubi, tepung gandum dan garam. Kacau rata dan tuang santan yang telah sejuk tadi. Kacau rata dengan whisk hingga semua sebati dan tidak berbintil2. Tapis dan ketepikan.
  3. Bahagikan bancuhan tapi kepada 3 bahagian sama banyak (anggaran setiap 1 bahagian 1 1/3 cawan). Satu bahagian dibiarkan pada warna asal (putih), satu lagi diberi warna hijau dan satu lagi diberi warna merah jambu. Kacau rata dan ketepikan,
  4. Panakan kukusan, balut tutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sediakan loyang 4 segi berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci. Sapu dengan sedikit minyak makan (atau minyak kelapa) pada bahagian dalam dan tepi loyang. Masukkan dalam kukus dan panaskan 3-4 minit.
  5. Bahagikan setiap bancuhan kuih lapis kepada 3 bahagian sama banyak. Tuang 1 bahagian putih dalam loyang dan kukus 2 - 3 minit atau hingga permukaannya kelihatan pucat. Kemudian tuang pula 1 bahagian yang bewarna hijau dan kukus 2 - 3 minit hingga permukaannya pucat. Tuang pula 1 bahagian merah jambu. Lakukan kaedah sama secara berselang seli - putih - hijau - merah jambu dan untuk lapisan terakhir (merah jambu), tambah beberapa titik pewarna merah, kacau rata dan tuang. Kukus selama 10 minit, agar kuih betul2 masak dan tanak. Biarkan kuih betul2 sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang. Potong dan boleh hidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Disebabkan kuih ini menggunakan tepung sagu ubi, ia agak liut dan lebih mudah untuk mengeluarkannya dari loyang walaupun tak dialas dengan plastik. Jika anda guna santan kotak, cukup satu kotak (200ml) dan selebihnya tambah air untuk mendapat ukuran 3 cawan. Che mat oleskan permukaan kuih dengan sedikit minyak kelapa dara untuk mengelakkan kuih kelihatan kering...Selamat mencuba!!


Post a Comment

4 Comments

  1. alahai..cantiknye..nape pandai sangat ni che mat? jeles akak..

    ReplyDelete
  2. Auh...sukernyer pakcik mat datang blog diary kiter..
    Sebab mak kiter citer pakcik mat ni super teror masak...paling best air asam budu...mmmmmm...dap...mmmmm
    TQ pakcik mat...

    ReplyDelete
  3. Auh....sukernyer pakcik mat pun baca blog diary kiter..Mak kiter pernah canal pakcik mat in super terror masak...
    Paling bezz air asam budu..mmm...dap....mmmm

    ReplyDelete
  4. Saya suka cube resipi dari pakcik mat ni..sure jadi dan yang paling best sedap.. terima kasih atas perkongsian ilmu..saya budak baru belajar...

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.