BEN ASHAARI

Thursday, August 31, 2017

RESIPI KUIH LAPIS SAGU UBI

rsz_kltu1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat curi2 masa masukkan satu entri kuih. Disebabkan che mat macam rajin sikit, kita cuba bikin kuih lapis sagu ubi. Resipi che mat dapat di sini. Bahan2 seratus peratus ikut resipi yang diberi cuma teknik membuat tu che mat guna cara sendiri. Resipi asal guna loyang bulat berukuran 6 inci, tapi che mat guna loyang 4 segi berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci. Ada cerita sedih sebenarnya masa buat kuih lapis sagu ubi ni tadi. Sepatutnya ada 9 lapis, tapi disebabkan kecuaian lapisan pertama rosak. Maka dapat 8 lapisan sahaja, tapi kalau anda bikin nanti, akan dapat 9 lapisan. Bila tengok tekstur kuih lapis sagu ubi terinngat kuih orang peranakan baba nyonya. Mereka suka bikin kuih lapis sagu ubi dan seperti kebiasaan, lapisan mesti dalam angka ganjil sama ada 7, 9 atau 11 dan biasanya lapisan terakhir akan diberi warna merah garang, simbol tuah katanya. Banyak mana lapisan sebenarnya ikut suka masing2. Tapi untuk resipi ini 9 lapisan cukup elok terutama ketebalan setiap lapis yang boleh anda siat sehelai demi sehelai. Buat dia senang, dan kalau nak mencuba, boleh lihat resipi di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung sagu ubi
1 cawan tepung gandum
3 cawan santan (sederhana pekat)
3/4 cawan gula pasir
1/4 camca teh garam
1 helai daun pandan, potong kecil
Sedikit pewarna makanan hijau, merah jambu dan merah pekat

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan dalam periuk, tambah gula dan daun pandan. Masak dengan api kecil hingga gula larut dan santan panas, tak perlu sampai mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan biar sejuk, keluarkan daun pandan tadi. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, masukkan tepung sagu ubi, tepung gandum dan garam. Kacau rata dan tuang santan yang telah sejuk tadi. Kacau rata dengan whisk hingga semua sebati dan tidak berbintil2. Tapis dan ketepikan.
  3. Bahagikan bancuhan tapi kepada 3 bahagian sama banyak (anggaran setiap 1 bahagian 1 1/3 cawan). Satu bahagian dibiarkan pada warna asal (putih), satu lagi diberi warna hijau dan satu lagi diberi warna merah jambu. Kacau rata dan ketepikan,
  4. Panakan kukusan, balut tutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sediakan loyang 4 segi berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci. Sapu dengan sedikit minyak makan (atau minyak kelapa) pada bahagian dalam dan tepi loyang. Masukkan dalam kukus dan panaskan 3-4 minit.
  5. Bahagikan setiap bancuhan kuih lapis kepada 3 bahagian sama banyak. Tuang 1 bahagian putih dalam loyang dan kukus 2 - 3 minit atau hingga permukaannya kelihatan pucat. Kemudian tuang pula 1 bahagian yang bewarna hijau dan kukus 2 - 3 minit hingga permukaannya pucat. Tuang pula 1 bahagian merah jambu. Lakukan kaedah sama secara berselang seli - putih - hijau - merah jambu dan untuk lapisan terakhir (merah jambu), tambah beberapa titik pewarna merah, kacau rata dan tuang. Kukus selama 10 minit, agar kuih betul2 masak dan tanak. Biarkan kuih betul2 sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang. Potong dan boleh hidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Disebabkan kuih ini menggunakan tepung sagu ubi, ia agak liut dan lebih mudah untuk mengeluarkannya dari loyang walaupun tak dialas dengan plastik. Jika anda guna santan kotak, cukup satu kotak (200ml) dan selebihnya tambah air untuk mendapat ukuran 3 cawan. Che mat oleskan permukaan kuih dengan sedikit minyak kelapa dara untuk mengelakkan kuih kelihatan kering...Selamat mencuba!!



Friday, August 25, 2017

RESIPI TEMPE MENDOAN

rsz_tmi
Assalammualaikum, salam semua. Kali ni che mat nak kongsikan satu resipi dari Indonesia, iaitu 'tempe mendoan'...ia seakan2 tempe goreng biasa tapi berbeza dari segi bumbu atau ramuannya dan juga keadaan 'tempe mendoan' itu sendiri. Mendoan maksudnya 'setengah masak' jadi tepung salutan tidak terlampau garing, tapi masih rangup. Biasanya tempe mendoan digoreng dalam saiz yang lebar dan tipis. Gunakan tempe berbungkus plastik untuk mendapat hirisan tempe yang lebar. Tapi kalau takde, boleh juga guna tempe bungkus daun. Dari yang che mat baca dan dari ig masakan teman2 di Indonesia, tempe mendoan berasal dari satu tempat bernama Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia. Dihidangkan dengan sambal kicap yang ditambah sedikit petis dan bawang goreng atau boleh dimakan berulamkan cili padi, tu bagi mereka yang suka pedas. Sedap dimakan sebagai cemilan diwaktu2 petang atau dihidangkan dengan nasi putih....Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 paket tempe berbungkus plastik
3 camca besar penuh tepung gandum
2 camca besar penuh tepung ubi
2 camca besar penuh tepung beras
1 pokok daun bawang, hiris halus
3/4 cawan air atau secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
4 ulas bawang putih
2 biji bawang merah kecil
1 camca besar ketumbar biji
3 biji buah keras
1/2 inci ubi cekur (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sediakan tepung menggoreng dahulu. Satukan semua jenis tepung dalam mangkuk besar. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Tambah bahan2 tumbuk halus, hirisan daun bawang dan garam secukup rasa. Kacau hingga semua rata. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Sementara itu, tempe berbungkus plastik dikerat dua bahagian untuk setiap satu bungkus tempe. Hiris tipis lebar (satu bahagian 3 keping). Buat hingga siap.
  3. Celup tempe tadi dalam adunan tepung dan goreng dalam minyak panas. Sederhanakan api, balik2kan tempe agar masak sekata. Bila tepung kelihatan pucat dan sedikit kekuningan, boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur. Buat kaedah sama untuk baki tempe. Hidangkan dengan sambal kicap yang ditambah sedikit petis dan bawang goreng...Selamat mencuba!!.

RESIPI KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING RUSA

rsz_kknm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak satu menu berprofile tinggi. Tapi bukan selalu boleh masak macam ni, sekali2 ok lah. Kebetulan ada stok daging rusa liar yang abang ngah che mat kasi tempoh hari. Atas permintaan bonda, dia suruh masak kari dengan nangka muda. Ok, bahan2 semua dah ada, tak jadi masalah nak masak. Oh yea, biasanya kalau nak masak kari atau gulai, kami akan gunakan nangka 'temabal' atau nangka muda yang takde biji atau bijinya masih kecil. Kalau nangka muda yang sudah berbiji, lebih sesuai dimasak lemak putih yang dimasukkan lada hitam tumbuk. Nangka che mat beli yang siap dikupas, balik tinggal potong kecil2, rebus dan boleh dimasak. Sekarang tak susah, kat pasar2 basah atau pasar tani mudah untuk kita dapatkan bahan2 mentah untuk masakkan kampung. Che mat guna kurang lebih 600 gram nangka muda (kurang lebihlah yea, agak2 saja) dan daging rusa dalam 500 gram. Lauk macam ni kalau dah simpan satu hari rasa dia lagi sedap. Cuma nak pesan, apa2 masakan yang bersantan, kalau masa baru masak atau baru dipanaskan, pastikan periuknya jangan ditutup rapat, renggangkan sedikit untuk mengelakkan lauk cepat basi. Satu lagi air wap pada permukaan bahagian dalam tudung periuk tu kasi lap kering. Bahan2 untuk masak resipi ni agak banyak juga, tapi kalau nak mencuba, resipi macam kat bawah ni....

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram nangka muda yang telah siap dikupas kulitnya
500 gram daging rusa
3 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
1 keping asam gelugor
1/4 cawan cili kisar (atau boleh tambah sedikit lagi)
1.5 liter santan cair
400 ml pati santan
2 camca besar kerisik
3/4 camca besar gula melaka
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
3 batang serai, dihiris
20 biji cili padi kampung (optional)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka dipotong kiub, cuci kemudian rebus dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam, rebus hingga nangka 1/2 empuk. Toskan. Daging rusa dihiris nipis, gaul dengan sedikit tepung gandum dan perap 20 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Sementara itu satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari daging dan kacau hingga menjadi pes, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga layu dan wangi. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing, Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan daging rusa, gaul rata dan masak hingga daging rusa kecut. Tuang santan cair, kacau dan biarkan mendidih. Masak hingga daging rusa empuk, dan tambah air panas jika kuahnya kering. Masukkan pula nangka yang telah direbus tadi. Kacau dan tuang pati santan. Tambah keririsk dan asam gelugor. Kacau rata.
  4. Masak hingga mendidih, gunakan api sederhana dan kacau sentiasa. Bila nangka empuk, boleh masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Wednesday, August 23, 2017

RESIPI SPAGHETTI OLIO AYAM MADU

rsz_2soam
Assalammualaikum, salam semua. Tarik nafas sekejap.............alhamdulillah, masih diberi kesihatan untuk memasak dan berblog, walaupun entri semakin kurang, maklumlah tuan punya blog pun usia dah 40 an, yea dak. Bukan che mat tak masak, tapi masak menu2 yang semuaya dah ada dalam blog. Asyik nak ulang tayang, nanti orang bosan pulak (bukan orang saja yang bosan, pakcik kau pun bosan jugak dah...huhu). Hari ni skip nasi lah, kita makan spaghetti olio, menu ringkas dan cepat dimasak. Spaghetti che mat rebus lama sikit sampai betul2 lembut. Tak boleh dah kau nak rebus ikut arahan pada bungkusan spaghetti, sebab che mat tak boleh nak 'gigit', maklumlah pagar kurang. Tapi mana yang ada gigi tu, boleh saja nak rebus ikut arahan pada bungkusan. Minyak zaitun memainkan peranan utama dalam masakan spaghetti olio, sebab ia memberi satu rasa istimewa. Che mat masukkan apa yang ada saja dan dada ayam tu diperap dengan sedikit lada hitam, garam dan madu. Suka pedas boleh lebihkan chili flakes atau lada hitam....Jika nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram spaghetti yang belum direbus
1 keping dada ayam, potong kiub, cuci dan toskan*
1 camca besar madu*
1/2 camca teh lada hitam serbuk*
1/2 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap sekejap)
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh penuh chili flakes (boleh beli di pasaraya)
1/2 biji lemon
Brokoli, sebesar penumbuk kanak2, dipotong kecil, cuci dan toskan
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning), didadu
Lada hitam serbuk secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak zaitun untuk menumis
Hirisan daun parsley, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus spaghetti dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam. Rebus hingga spaghetti lembut, atau boleh ikut arahan pada bungkusan spaghetti (che mat rebus lembut sikit sebab gigi kurang...ehemm). Toskan dan gaul dengan sedikit minyak zaitun. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak zaitun dalam kuali atau frying pan jenis mungkum. Masukkan ayam yang diperap tadi dan goreng hingga ayam berubah warna dan kekuningan. Tolak ke tepi kuali dan masukkan bawang holland dan bawang putih, masak hingga bawang layu dan gaul rata dengan ayam tadi.
  3. Masukkan chili flakes dan brokoli, gaul rata dan masak hingga brokoli lembut. Tambah traffic light capsicum dan masak sekejap. Boleh masukkan spaghetti yang direbus tadi. Gaul rata hingga rata, tambah lada hitam dan garam jika perlu. Akhir sekali perahkan jus lemon, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun parsley sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!!

Saturday, August 12, 2017

RESIPI SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

rsz_gsp1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mendung dan hujan di kampung che mat. Lepas saja jemur baju, terus gerimis, terpaksa angkat balik kain baju dan masukkan dalam bakul. Takpe lah lagi pun dah lama juga tak hujan kat sini. Jadi che mat teruskan dengan aktiviti memasak. Hari ni menu yang penuh kenangan, iaitu siput sedut masak lemak, taruk pulak batang keladi. Menu ini menjadi kegemaran arwah Bak, tapi sejak arwah mengidap penyakit gout, kami amat jarang menyediakan hidangan siput sedut, tak sampai hati nak makan. Disebabkan teringin, hari ni che mat masak. Siput sedut kami beli di Rengit, satu bungkus tu RM 9. kurang lebih 1 kg berat dia. Saiz siput tak besar sangat dan tak kecil sangat, kiranya saiz sedang2.

rsz_gsp
Seperti biasa, kalau masak lemak, che mat lebih suka masukkan batang keladi. Ada orang suka masukkan sayur labu, pucuk turi. pucuk ubi dan sulur keladi, terpulang pada selera masing2. Hidangan seperti ini paling ngam dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam2man seperti petai. timun atau pun jering (atau apa2 saja ulaman yang anda gemari). Nak lagi sedap, renjiskan dengan sedikit kicap lemak manis Jalen, mesti bertambah nasi...Resipi tak susah nak disediakan. Kalau kita masak sendiri, kebersihan lebih terjamin terutama bab2 mencuci siput sedut tu, betul tak?...Resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
2 - 3 pelepah batang keladi sayur
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1000 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
Secubit belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput dicuci hingga betul2 bersih, bilas 4 - 5 kali hingga jernih airnya. Toskan, kemudian kerat bahagian bucu siput, kerat pada ruas ke 3 dari atas, buat satu persatu hingga siap. Taruk siput yang siap dipotong tadi dalam besen dan tuang air hingga siput tenggelam. Ambik dengan tangan, toskan dan masukkan ke dalam tapis. Tujuan buat macam ini, untuk mengelakkan serpihan kulit siput terikut masuk dalam masakan kita. 
  2. Sementara itu buang kulit luar batang keladi, kerat pendek, cuci, toskan dan celur dalam air mendidih yang dimasukkan sekeping asam gelugor. Celur hingga 1/2 lembut dan toskan. 
  3. Masukkan siput ke dalam periuk bersama2 serai yang dititik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Masukkan santan cair, kacau dan biarkan hingga menggelegak.
  4. Tambah batang keladi dan tuang pati santan. Kacau rata dan masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil dan kacau sentiasa. Masak hingga batang keladi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, ikan goreng dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

Sunday, August 6, 2017

RESIPI UDANG MASAM MANIS SAMA NANAS

rsz_umss
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu ringkas yang disukai oleh semua peringkat umur. Dari yang kecik sampai yang tua (ehemmm...)..Udang masam manis sama nanas, resipi paling senang dan udang anda boleh ganti dengan ketam, ayam dan ikan. Nanas sebagai salah satu bahan penyedap yang menghasilkan rasa masam manis yang asli, walaupun ada penggunaan sos plum dan che mat masukkan juga sedikit gula (atau secukup rasa). Kali ni kita guna udang galah dalam 6 ekor. Besar mana itu terpulang pada anda, che mat guna yang saiz sederhana. Biasanya ada capsicum hijau dan kuning tapi tadi dalam peti sejuk cuma ada yang kaler merah ajer, ok lah kan guna apa yang ada. Nak pedas, boleh titikkan sedikit cili padi, ikut selera masing2, tapi kalau ada anak2, seelok2nya biarlah tak pedas. Che mat guna nanas segar, kalau takde, boleh guna yang dalam tin, tak jadi masalah. Sedap dimakan dengan nasi putih atau pun nasi minyak...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 - 7 ekor udang galah, dibersihkan dan toskan*
1/2 camca teh garam*
1 camca teh serbuk kunyit*(*disatukan dan gaul rata)
1  biji bawang holland, hiris bulat dan leraikan
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 1/2 cawan nanas yang telah dipotong kiub
1/2 biji capsicum merah, potong dadu
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 camca besar cili kisar
3 camca besar cili sos
1 camca besar sos tomato
1 camca besar sos plum
1/2 camca besar gula
Garam secukup rasa
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng udang yang telah diperap dengan garam dan serbuk kunyit tadi. Goreng hingga udang berubah warna pada kedua2 bahagian. Angkat dan toskan. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 4 camca besar.
  2. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos plum. Kacau rata dan tuang air. Bila mendidih, masukkan nanas dan masak sekejap.
  3. Tambah leek (toskan airnya) dan capsicum merah. Kacau dan masukkan udang dan bawang besar, gaul rata. Tambah gula dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak hingga bawang lembut. Rasa dan jika suka lebih manis, boleh masukkan sedikit lagi gula. Masak sekejap dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas...Selamat mencuba!!

Wednesday, August 2, 2017

RESIPI SAMBAL HIJAU UDANG GERAGAU

image-2017-08-02
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi ringkas dan senang dimasak. Biasa makan udang geragau?..Udang geragau selalunya bermusim, tapi kalau yang kering memang ada dijual, tak ikut musim. Udang geragau yang che mat guna ni jenis beku. Udang geragau bahan utama dalam pembuatan belacan dan cencaluk. Yang segar pula sedap dibuat jemput2 atau cekodok. Kali ni kita cuba pulak bikin sambal hijau, guna udang geragau. Terlebih dahulu udang kita kena rendam dan buang segala kekotorannya. Kadang2 ada ranting2 kayu, pasir halus dan juga anak2 ikan yang perlu kita buang. Bila dah bersih dari benda2 asing, boleh lah ditoskan. Sepatutnya resipi ini guna cili hijau dan cili padi hijau. Tapi takde stok cili padi hijau, che mat guna cili padi merah thai dalam 15 biji, kalau suka pedas boleh tambah lagi. Sedap dimakan dengan nasi panas, ikan goreng dan renjisan kicap. Kalau ada petai atau jering, lagi lah pengsan... Resipi seperti di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan udang geragau segar yang telah dibersihkan
1/4 cawan jus asam jawa
2 helai daun limau purut (optional)
1 batang serai, diketuk
Garam gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAMBAL HIJAU :-)
12 biji cili hijau
1/4 cawan cili padi hijau
1 biji tomato hijau, buang bijinya
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kisar halus buah keras dan bawang putih dengan sedikit air. Masukkan tomato hijau, bawang merah, cili hijau dan cili padi hijau. Kisar hingga hancur, tak perlu terlalu halus. Jika suka boleh juga ditumbuk dengan lesung batu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan masukkan bahan2 kisar tadi. Kacau rata dan masakk hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa, jika perlu tambah sedikit lagi minyak masak.
  3. Masukkan jus asam jawa, kacau rata dan masak sekejap. Tambah udang geragau dan daun limau purut, kacau dan masak hingga pekat terbit minyak. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.